Majlis Fatwa Kebangsaan: Koleksi Fatwa Berkaitan Alkohol Dalam Makanan Dll

Primary tabs

Isikandungan fatwa berkaitan alkohol dalam makanan dan lain-lain:
1. Alkohol Menurut Pandangan Islam
2. Alkohol Sebagai Penstabil Minuman Ringan
3. Fatwa Berkaitan Etil Alkohol Dalam Makanan
4. Penggunaan Alkohol Semasa Solat
5. Ubat yang mengandungi alkohol.


Fatwa 1:


Alkohol Menurut Pandangan Islam

Keputusan:
Tapai ubiMuzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-7 yang bersidang pada 11 - 12 April 1984 telah membincangkan Alkohol Menurut Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

  1. Setiap minuman arak mengandungi alkohol. Bukan semua alkohol itu mengandungi arak. Alkohol dari proses pembuatan arak hukumnya haram dan najis, tetapi alkohol yang dibuat bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis tetapi haram diminum.
  2. Minuman ringan yang dibuat sama caranya dengan membuat arak sama ada mengandungi sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.
  3. Minuman ringan yang dibuat bukan dijadikan arak atau bahan yang mabuk dan tidak sama caranya dengan proses arak adalah halal.
  4. Tapai halal dimakan.
  5. Alkohol yang terjadi sampingan dalam proses pembuatan makanan tidak najis dan boleh dimakan.
  6. Ubat-ubatan dan pewangi yang ada kandungan alkohol adalah harus dan dimaafkan.


Keputusan (English):
Alcohol From Islamic Point of View
Decision:
The 7th Muzakarah (Conference) of the Fatwa Committee of the National Council for Islamic Religious Affairs Malaysia held on 11th -12th April 1984 has discussed alcohol from Islamic point of view. The Committee has decided that:
1. All liquor contains alcohol, but not all alcohol is liquor. Alcohol produced from liquor process is regarded as najis (ritually impure) but not alcohol produced from other than liquor process. Both types however are prohibited to be consumed.
2. Soft drink produced in the same way of liquor production and contains either little amount of alcohol or the alcohol has been distilled is prohibited to be consumed
3. Soft drink produced not to become liquor or intoxicants item and produced not in the same process of liquor is lawful
4. Tapai (fermented rice) is lawful to be eaten
5. Alcohol produced as by product in food process is not najis and can be consumed
6. Medicines and fragrances containing alcohol are lawful

Sumber: http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/alkohol-menurut-pandangan-islam



Fatwa 2:


Alkohol Sebagai Penstabil Minuman Ringan

Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-22 yang bersidang pada 24 Nov 1988 telah membincangkan Alkohol Sebagai Penstabil Minuman Ringan. Muzakarah telah memutuskan bahawa kordial yang mengandungi bahan citarasa(flavour) yang dimasukkan alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan untuk tujuan minuman sekiranya:

  1. Alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak.
  2. Bahawa kuantiti alkohol dalam citarasa (flavour) itu adalah sedikit iaitu tidak memabukkan.


Keputusan (English):
Alcohol As Soft Drink Stabilizer
Decision:
The 22nd Muzakarah (conference) of the Fatwa Committee National Council of Islamic Religious Affairs Malaysia held on 24th November 1988 has discussed alcohol as soft drink stabilizer. The Committee has decided that cordial containing flavor that has alcohol substance in it as stabilizer is lawful for the drinking purpose, if:

  1. The alcohol is not produced from liquor production
  2. The quantity of alcohol is minimal and it is not intoxicated


Sumber: http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/alkohol-sebagai-penstabil-minuman-ringan



Fatwa 3:


Fatwa Berkaitan Etil Alkohol Dalam Makanan

Makan & Minum
Tarikh Keputusan: 29 Jun, 2010
Huraian Tajuk/Isu: Fatwa Berkaitan Etil Alkohol Dalam Makanan
Keputusan:
Dimaklumkan bahawa telah dibincang dan dibahaskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor pada 16 Rejab 1431 bersamaan 29 Jun 2010. Setelah dilihat dengan penuh penelitian, maka keputusannya adalah seperti berikut.

Alhamdullilah fatwanya:

  1. Setiap minuman arak mengandungi Alkohol Etanol yang memabukkan tetapi bukan semua alkohol itu dari arak. Alkohol dari proses pembuatan arak hukumnya haram dan najis.
  2. Minuman ringan yang dibuat sama caranya dengan membuat arak samada mengandungi sedikit alkohol atau alkohol yang disulingkan adalah haram diminum.
  3. Minuman ringan yang dibuat bukan untuk dijadikan arak atau bukan yang memabukkan dan tidak sama caranya dengan proses arak adalah halal.
  4. Alkohol yang terjadi sampingan dalam proses pembuatan makanan dan minuman tidak najis dan boleh dimakan.


Kandungan Etil Alkohol yang terdapat di dalam makanan dan minuman yang dibenarkan adalah tidal lebih daripada 0.01%.

Oleh itu, produk yang boleh diberikan pensijilan halal adalah :

  1. Kod sampel : 229 (L-090310-UCK(b)
  2. Kod sampel : 231 (L-090310-RT(a)
  3. Kod sampel : 232 (L-090310-RT(b)
  4. Kod sampel : 233 (L-090310-RT(c)


Manakala baki produk yang lain tidak menepati syarat dan tidak boleh diberi pensijilan halal.

Oleh kerana masalah ini berkaitan dengan isu nasional, maka produk yang mengandungi lebih daripada 0.01% Etil Alkohol akan dibawa ke Muzakarah Jawatankuas Fatwa Kebangsaan untuk dibincangkan sebagaimana yang telah diperuntukan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor seksyen 51 (1) :
"Walau apapun kuasa Jawatankuasa Fatwa di bawah seksyen 47, apabila Jawatankuasa Fatwa mendapati bahawa suatu fatwa yang dicadangkan dibuat adalah berkaitan dengan perkara-perkara yang menyentuh kepentingan kebangsaan. Jawatankuasa Fatwa hendaklah menangguhkan perbincangan tentang fatwwa yang dicadangkan itu dan mengemukakan perkara itu kepada Majlis".

والله أعلم بالصواب


Status Penwartaan: Tidak Diwartakan

Negeri: Johor
Sumber: http://muamalat.islam.gov.my/fatwa-negeri/fatwa-berkaitan-etil-alkohol-dalam-makanan



Fatwa 4


Penggunaan Alkohol Semasa Solat

Ibadah

Tarikh Keputusan: 1 Jan, 1970
Keputusan: Menurut maklumat yang di terima alkohol ialah nama yang digunakan di dalam kaedah saintifik kepada sebatian yang mempunyai kumpulan hidroksi (-OH), dan dikenali ada dua jenis yang agak baik, iaitu:

  1. Alkohol kayu (methanol)
  2. Alkohol biji-bijian (ethanol)


Kedua jenis alkohol ini mempunyai sebatian yang merupakan formula am struktur (R-OH).

Methanol adalah sebatian yang mempunyai formula struktur (CH-OH). Di hospital ia dikenali dengan nama 'spirit' yang dipakai untuk membunuh kuman. Jenis ini tidak digunakan untuk minuman.

Ethanol adalah sebatian yang mempunyai formula struktur(CH3CH2-OH) bahan inilah yang digunakan sebagai campuran dalam minuman keras.

Dari penjelasan ringkas mengenai jenis alkohol itu dapat dapat disimpulkan bahawa setiap arak atau minuman keras ada mengandungi alkohol tetapi tidak semua alkohol itu adalah arak.

Alkohol dari proses pembuatan arak hukumnya haram dan najis. Alkohol yang dibuat bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis tetapi haram diminum.

Selain itu alkohol juga terhasil dari lebihan proses pembuatan makanan seperti tapai,sama ada dari ubi kayu atau pulut. Ianya adalah tidak najis dan harus dimakan.

Ubat-ubatan, minyak wangi yang dicampurkan alkohol yang diproses bukan untuk pembuatan arak adalah harus dan dimaafkan.

Status Penwartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Kelantan
Sumber: http://muamalat.islam.gov.my/fatwa-negeri/penggunaan-alkohol-semasa-solat

Gambar dari wikipedia.org



Fatwa 5


Ubat yang mengandungi alkohol

Lain-lain

Tarikh Keputusan: 21 Nov, 1986
Huraian Tajuk/Isu: Terdapat ubat homeopati yang mengandungi campuran 1/1000 alkohol.
Keputusan:
ubat-ubatan yang mengandungi kandungan alkohol yang sedikit adalah harus dan boleh dimaafkan.

Status Penwartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Pulau Pinang
Sumber: http://muamalat.islam.gov.my/fatwa-negeri/ubat-yang-mengandungi-alkohol-0