Islam Progresif: Wacana Kritis dalam Pemikiran Keagamaan dan Keintelektualan Muslim - Bahagian Ke-II

Primary tabs

Muhammad Nazreen Jaafar | Intern, Islamic Renaissance Front
(Nota: Bahagian pertama artikel boleh dibaca di sini..)

Sebelum ini, dalam bahagian pertama kemasan artikel ini, saya dengan lanjut menimbangtara definisi dan takrif yang melantunkan wahana kritis dalam elemen beragama. Tambahan pula, saya juga melampirkan beberapa pandangan akademik yang lanjut untuk memahami bahasa kritis ini di dalam ruang lingkup Islam yang serba progresif, maju dan mempunyai jaringan konteks dengan keseimbangan penguraian teks dan akal mengikut paradigma zaman yang tidak mendap dan rigid.

Seterusnya, di dalam bahagian kedua ini saya cuba memaparkan beberapa pemikiran intelektual dan sarjana Islam klasik tentang bagaimana lakurnya tradisi kritis dalam menterjemah, menelusuri ruang-ruang ilmu yang harus malah wajib untuk dibahaskan secara kritis dan berkondisi. Sebagaimana yang kita faham dalam tradisi lampau intelektual Islam menggayakan pandangan yang berbeza, kritikal dan tergeser, sebenarnya itulah jalan yang memangkin kepada kerencaman progresif di dalam pemikiran-pemikiran Islam yang ditawarkan.

Kenapa persoalan kritikal ini penting?

Pemikiran kritis juga bertindak menghalang berlakunya kepercayaan tahyul dan pembacaan sejarah yang tidak kritikalBagi pendapat saya, tugas untuk membebaskan potensi manusia daripada belenggu yang terkurung, menyedarkan manusia supaya tidak ragu-ragu juga merupakan tindakan yang bersifat keagamaan. Tambahan, dalam memupuk manusia untuk keluar daripada pemikiran yang menghalang dan menutupi akal budi, perkara demikian tidak kurang adalah kesinambungan yang menutup ruang-ruang kemanusiaan yang sememangnya mekar dengan sikap yang gemarkan pertanyaan.

Jadi, pemaparan sikap manusia beragama memerlukan kesepaduan antara sikap kreatif dengan pandangan kritikal dan diselangi pula dengan komitmen moral-etika yang memberi tumpuan kepada akar permasalahan dalam memahami nalar (reasoning).

Pemikiran kritis juga bertindak menghalang berlakunya kepercayaan tahyul dan pembacaan sejarah yang tidak kritikal. Sesungguhnya ia menolak kejahilan yang senang menyeru agar 'kembali' ke sumber teks iaitu al-Qur’an dan al-Hadith semata dalam usaha mendapatkan perspektif 'Islami' yang tulen dan menolak unsur subjektiviti manusia.

Setiap penafsiran itu tidak dapat terelak daripada konteks penafsir sepertimana yang diterangkan di dalam “The Intersubjective Hermeuneutic of Mohamad Mojjtahed Shabestari” yang diterangkan secara padat:

"Verses do not speak by themselves. It is the interpreter (mufassir) who raises the question first, and then seeks its meaning by interpreting different verses. Wherefrom does the interpreter derive his basic assumptions? His question contains basic assumption that are not derived from the Qur’an itself, but from various (human) khowledge".

[Ayat-ayat al-Qur’an tidak berbicara secara tersendiri. Akan tetapi para mufassir-lah yang bertanyakan soalannya, kemudian mencari makna dengan mentafsir ayat yang berbilang. Dari manakah seorang pentafsir itu memperoleh asas anggapannya? Persoalannya mengandungi asas anggapan yang tidak bersumberkan dari al-Qur’an semata, tetapi daripada berbagai cabang ilmu pengetahuan (manusiawi)].

Muhammad ArkounWalaupun ada waktunya, keadaan pemikiran kritis ini seumpama membentuk kekeliruan dan keraguan, ia masih lebih baik daripada terus hanyut ke lembah kejahilan yang tidak berlandaskan nilai kesejagatan dan kemanusiaan. Sesungguhnya, terdapat beberapa teguran di dalam Al-Qur’an tentang perlunya sifat pertanyaan dan persoalan merupakan bukti (ayat) Tuhan di muka bumi ini adalah suruhan dan dokongan untuk manusia terus (berfikir) yang merupakan kelaziman dan kecenderungan untuk bersifat kritikal.

Makna dan kekentalan ide kepada kehidupan keagamaan yang berkomited adalah nurani  dalam tindakan perlaksanaan kehidupan yang diberkati sa'adah atau kebahagiaan.

Jadi, perkara terpenting yang dimaksudkan menerusi perlaksanaan tugas 'Khalifah Allah di Muka Bumi' dan istilah 'zilullah fil ardh' (Bayangan Tuhan di Muka Bumi) bukanlah dengan sebegitu mudah tersandar dengan meletakkan latar pemerintahan khilafah atau semudah mewarnai 'Negara Islam' sebagai tugas ideal seorang mukmin semata-mata. Tetapi hal yang lanjut seperti tanggungjawab memikirkan pandangan pembaharuan (manar) dan membudayakan pemikiran kritis juga merupakan peranan lanjut yang harus dilakarkan bersama demi pembangunan manusiawi.

Keperihatinan minda sepertimana yang dianjurkan oleh Muhammad Arkoun, usaha memikir ulang khazanah pemikiran Islam mengenalpasti dua keperluan utama yang selalu dilepas pandang kelompok ortodoks dan 'reactionary' umumnya, iaitu keperluan tertentu masyarakat Islam untuk berfikir mengenai masalah-masalah yang tidak pernah mereka fikirkan dan kedua, keperluan pemikiran kontemporari atau moden yang membuka ufuk pengetahuan baru yang bersistematik dalam merungkai masalah kewujudan manusia.


Inteligensia Muslim yang berfungsi

kehendak untuk berfikir bermula daripada kehadiran semangat memerdekakan 'state of mind' daripada terikat dengan pautan yang menolak manar (pembaharuan) dalam arca pemikiran.Sarjana terkemuka, Syed Hussein al-Attas di dalam 'Backwardness and the Will to Think' megatakan bahawa kelompok intelektual yang berfungsi di dalam mana jua masyarakat Islam adalah kriteria yang penting demi memastikan saringan progresif dan kemajuan terus berkembang. Beliau menjelaskan bahawa kelompok ini harus memiliki ciri-ciri tersebut iaitu keupayaan untuk mengutarakan masalah-masalah masyarakat, mendefinisikan masalah, menganalisis masalah-masalah dan seterusnya, mencari penyelesaian terhadap masalah

Al-Attas menambah bahawa sesuatu masyarakat yang tidak mempunyai watak yang berfungsi untuk maju lantas membentuk kebekuan pemikiran tanpa ada ranah pemikiran yang kritis serta hanyut dengan keterbelakangan sejarah. Hal ini menyebabkan mereka berada di tahap kesedaran dan ketajaman minda mereka terus tertinggal dalam mendahului perubahan jangka masa panjang. Sudah pastilah, kehendak untuk berfikir bermula daripada kehadiran semangat memerdekakan 'state of mind' daripada terikat dengan pautan yang menolak manar (pembaharuan) dalam arca pemikiran.

Beliau juga menyenaraikan sifat-sifat penting dalam berfalsafah sebagai berikut; keinginan untuk mengetahui rangkaian sebab - persoalan, menghormati kaedah saintifik, penggunaan kecerdasan dengan meluas serta mencegah korupsi ide dalam masyarakat.

Jadi, perungkaian di atas justeru membawa kita kepada persoalan untuk memahami intelektual yang harus berfungsi dalam merumuskan hal masyarakat dengan pendekatan kritis. Hari ini, malangnya, istilah ‘alim hanya merujuk kepada seseorang yang menguasai ilmu keagamaan atau yang lebih parah, seseorang yang konsisten dalam melakukan ibadah dan kewajiban keagamaan semata-mata. Sesungguhnya inilah bentuk korupsi makna yang harus diperbetulkan seadilnya.


Beberapa tokoh kritis dalam Tradisi Intelektual Muslim Silam

Al-Muhalla kaarya Ibn HazmA. Ibn Hazm dan Kewajipan Berfikir

Ketika dalam era Islam abad pertengahan, kritik golongan yang menentang epistemologi filsafat datang daripada kelompok ortodoks yang berpendirian kesucian beragama akan tercalar dengan penajaman ilmu falsafah. Singgungan Ibn Hazm terhadap golongan fuqaha’ merupakan satu contoh, di mana mereka menurutnya:

Repeating the letter of texts mechanically without understanding their meaning and not bothering themselves to understand it; or else they devoted themselves to casuistry but without recurring to the textual sources...because their preoccupation is to maintain their prestige and their social position.

(Mengulangi huruf di dalam nas secara makanikal tanpa memahami maknanya dan tidak mengambil endah untuk menelususrinya; atau hanya mengabdikan diri dengan maksud tanpa mengambil kira sumber nas-nya…kerana keasyikan mereka hanyalah untuk mengekalkan kedudukan meraka yang ulung di mata masyarakat).

Dalam kitabnya bertajuk al-Muhalla, Ibn Hazm secara tegasnya menulis:

"Seorang mujtahid yang pandangannya atau hasil ijtihadnya mengelirukan sesungguhnya jauh lebih baik daripada para pentaqlid yang mana pendapat mereka itu adalah benar”.

Jadi menurut Ibn Hazm falsafah dapat dijadikan panduan hidup untuk manusia demi menjamin perilaku hidup yang sempurna malahan mampu digunakan untuk mencari kebenaran yang tersirat dan terpancar daripada latar alamiah aqal budi manusia. Bagi beliau, falsafah merupakan suluhan gagasan etika yang melengkapi nilai keagamaan yang memangkin kepada manfaat sejagat dan bukan diasingkan dengan entiti-entiti yang terlindung di dalam korpus agama semata-mata.


I’tiqad Pembaharuan Jamaluddin al-Afghani

Jamaluddin al-Afghani merupakan antara tokoh pemikir yang terawal merasakan peri-pentingnya kelompok intelektual perlu secara tuntas mendepani wacana kritis dalam menentukan pemikiran dan perbuatan manusia. Malah, lebih lanjut al-Afghani menyatakan sikap pembekuan minda dan intelektual di kalangan ulama’ merupakan benih kemunduran paling utama di kalangan umat Islam.

Al-Afghani dengan dukacitanya mempamerkan kritikan tajam terhadap kelompok agamawan yang mengabaikan pemupukan kemajuan dan modeniti kerana merasakan tugas mereka sudah sempurna dengan hanya memberikan tumpuan kepada ilmu Ketuhanan, yang pada mereka sudah cukup menjamin kesempurnaan di akhirat kelak.

Al-Afghani mengecam sikap mereka dengan katanya:

"We can say that reform will never be achieved by the Muslims except if the leaders of our religion first reform themselves and gather the fruits of their science and knowledge. If one considers, he will understand this truth, that the ruin and corruption we have experienced first reached our ulama’ and religious leaders, and then penetrated the rest of their community".

(Kita boleh mengatakan bahawa reformasi atau pengislahan tidak mungkin dicapai oleh Muslimin kecualilah para pemimpin daripada agama ini mengislahkan diri mereka dahulu dan meraih hasil daripada ilmu dan pengetahuan tersebut. Sekiranya seseorang berfikir, dia pasti akan memahami kebenaran ini; di mana segala kemusnahan dan kebejatan yang dialami pada mulanya terkesan kepada para ulama’ dan pemimpin agama kita sebelum merebak kepada masyarakat keseluruhannya.).

Bagi Jamaluddin Al-Afghani yang berpegang teguh pada semangat aliran rasionalis dalam tradisi Islam, kecenderungan fakulti minda manusia yang kritikal menampakkan potensi yang besar dan hanya boleh dihadkan oleh keinginan mereka. Beliau bersungguh-sungguh menganjur agar dicedok dan digali semula pemikiran falsafah yang pernah subur dalam pemikiran keintelektualan Islam dan pada zaman sebelumnya.

Sesungguhnya telah lebur tradisi intelektual dan rasional di dalam agama bersamaan dengan tewasnya para intelektual Muktazilah yang telah berjuang mempertahankan semangat dan falsafah rasionalis di dalam agama ini beberapa kurun yang terdahulu di waktu Islam menjadi peneraju dunia.

BERSAMBUNG BAHAGIAN AKHIR