JH-MANHAJ-002- Jangan Terperangkap Dalam Istilah

Primary tabs

Setiap cabang ilmu mempunyai istilah-istilah yang tertentu dan khusus. Ianya difahami oleh mereka yang dianggap ahli atau pakar dalam ilmu tersebut. Begitu juga ilmu kajian hadith. Tiada siapa yang dapat menafikan bahawa untuk menjadi seorang pengkaji yang berjaya, pengkaji hadith perlu menguasai beberapa kemahiran termasuklah kemahiran mengenal pasti maksud sesuatu istilah yang digunakan dalam ilmu kajian hadith.

Perkara sebegini bukanlah mudah seperti yang disangka oleh sebahagian penuntut ilmu. Ada yang merasakan bahawa ia semudah mengambil mana-mana buku Mustolah al-Hadith lalu membacanya atau mempelajarinya bersama seorang guru yang mahir lalu setelah buku itu dikhatamkan, maka dia telah pun tahu semua istilah dengan maksudnya yang tepat. Alangkah baiknya kalau ia semudah itu! Namun hakikatnya tidak sebegitu.

Kekeliruan boleh berlaku pada diri seorang pengkaji terutamanya jika pembacaannya terhad kepada beberapa buah buku atau beberapa orang guru sahaja. Ini adalah perkara lumrah termasuklah ilmu-ilmu Islam yang lain bahkan termasuk juga ilmu keduniaan.

Kegagalan memahami sesuatu istilah dengan maksudnya yang sebenar bakal menjatuhkan seorang pengkaji ke dalam lembah kesilapan dan salah faham, ada yang serius dan ada yang tidak. Misalnya, jika seorang pengkaji hadith bertemu dengan istilah yang digunakan oleh imam-imam salaf pada kurun awal seperti Ali Ibn al-Madini atau Ahmad Ibn Hanbal, lalu ditafsirkan istilah tersebut berdasarkan penggunaannya pada kurun-kurun selepas itu contohnya menurut penggunaan al-Iraqi atau Ibn Hajar al-Asqalani, di sana ada 2 kemungkinan - 1- Mungkin istilah itu sama sahaja pada penggunaan mereka, 2 - Mungkin istilah itu telah melalui proses perubahan berdasarkan zaman menjadikannya dua istilah yang berbeza. Maka di sini ada kemungkinan kajian pengkaji ini tidak tepat seperti yang disangka.

Itu secara teori. Mari kita lihat beberapa contoh ringkas yang sememangnya berlaku dalam alam realiti.

Pertama, istilah thiqah yang sering ditafsirkan sebagai seorang periwayat yang diterima agamanya dan juga diterima hafazannya atau pemeliharaannya terhadap hadith itu. Atau dalam erti kata lain, dia seorang yang adl dan dhobit. Itu yang kita fahami pada masa kini. Tahukah anda bahawa penggunaan istilah thiqah dalam kalangan ulama sejak zaman salaf tidak hanya terhad pada maksud yang dinyatakan tadi? Terdapat ulama hadith yang menggunakan istilah thiqah dengan maksud periwayat itu baik agamanya tanpa mengira hafazannya terhadap hadith. Ada ulama lain pula yang menggunakannya dengan maksud periwayat itu hadir dalam majlis pembacaan hadith walaupun dia tidak adl dan tidak dhobit!

Kedua, istilah hadith hasan yang sering dikaitkan pada zaman ini seiringan dengan hadith sahih dengan maksud keduanya adalah istilah bagi hadith yang diterima dan diyakini datangnya dari Rasulullah SAW. Sedangkan istilah hadith hasan digunakan oleh ulama hadith sepanjang zaman dengan pelbagai maksud. Terdapat ulama yang menggunakan istilah hasan untuk hadith yang sahih dan tiada beza antara hadith hasan, hadith sahih dan hadith hasan sahih seperti yang kita lihat dalam buku-buku al-Tirmidzi dan juga pendapat al-Bukhari dan lain-lain lagi. Terdapat juga yang menggunakannya dengan maksud hadith yang mana kedudukannya tidak sekuat hadith sahih. Malah terdapat juga yang menggunakan istilah hasan untuk hadith-hadith yang mana maksudnya baik dan indah tetapi dhaif bahkan palsu! Maka seorang pengkaji harus berhati-hati apabila melihat istilah hadith hasan digunakan oleh ulama hadith.

Di sini kita dapat lihat - dengan penerangan yang ringkas ini - bagaimana perlunya seorang pengkaji hadith berhati-hati ketika bertemu dengan istilah:

1- Dia perlu memastikan siapakah ulama hadith yang menggunakan istilah tersebut lalu dikaji tentang diri ulama itu, apakah corak penggunaan istilah tersebut di sisi beliau.

2- Dia perlu membuat perbandingan antara ulama yang menggunakan istilah yang sama agar dapat dilihat adakah di sana ada persamaan atau perbezaan.

3- Membaca dan meneliti banyak buku Mustolah al-Hadith sejak dahulu hingga kini untuk mendapat penjelasan tentang penggunaan istilah. Buku yang saya cadangkan antaranya ialah Syarh Ilal al-Tirmidzi karya Ibn Rajab al-Hanbali dan buku al-Nukat Ala Ibn al-Solah karya Ibn Hajar al-Asqalani. Manakala buku moden pula, saya cadangkan agar pembaca yang berminat boleh membeli atau muat turun buku-buku berikut untuk mendapat gambaran yang lebih jelas:

- Al-Manhaj al-Muqtarah - Dr. Hatim al-Syarif

- Ulum al-Hadith Fi Dhau Tatbiqat al-Muhaddithin al-Nuqqad - Dr. Hamzah al-Malibari

http://saaid.net/book/open.php?cat=91&book=671

- Syarh Lughat al-Muhaddith - Abu Muadz Toriq Ibn Awadhillah

- Al-Tabayun al-Manhaji - Abdullah al-Sad

http://www.almeshkat.net/books/open.php?cat=32&book=1524

wallahu alam..

alitantawi