JH-MUTIARA-003- Solat dan Ibu Bapa

Primary tabs

 

 

أَفْضَلُ الأَعْمَالِ الصَّلاَةُ لِوَقْتِهَا وَبِرُّ الْوَالِدَيْنِ

Maksudnya: Sebaik-baik amalan ialah solat pada waktunya dan melakukan kebaikan terhadap kedua ibubapa.

(Hadith riwayat Muslim – no.266)

Huraian:

Rasulullah SAW mengingatkan umat Islam dalam sabdanya yang ringkas ini bahawa ada perkara yang perlu menjadi keutamaan dalam hidup seorang muslim. Maka Rasulullah SAW menegaskan bahawa di antara perkara paling penting ialah solat pada waktunya yang telah ditetapkan dan juga melakukan kebaikan kepada ibu dan bapa.

Bahagian pertama hadith ini menekankan kepada solat dan keperluan ia ditunaikan dalam waktunya yang telah ditetapkan. Ketetapan waktu solat bukanlah satu perkara yang bersifat kebetulan dan ia bukanlah ketetapan yang ditetapkan oleh Rasulullah SAW atau para sahabatnya. Ia adalah ketetapan daripada Allah SWT. Ia mendidik diri muslim dan muslimah agar mempunyai satu disiplin dalam hidupnya yang tidak boleh ditinggalkan walau dalam apa jua keadaan. Solat lima waktu dalam sehari dan semalam adalah menjadi satu bentuk hubungan kerohanian antara hamba dan Tuhannya. Ia adalah satu bentuk santapan jiwa yang mana jika dilakukan dengan syarat-syarat, rukun-rukunnya serta penghayatan, ia dapat memberi kekuatan pada kita dalam menghadapi cabaran hidup. Oleh itu ia amat penting dalam hidup seorang muslim.

Manakala bahagian kedua hadith ini memberikan penumpuan kepada hubungan manusia dengan orang yang paling hampir dengan dirinya – ibu dan ayah. Mereka adalah asal usul dirinya dan merekalah permulaan dirinya. Oleh itu Rasulullah SAW amat memberikan tumpuan kepada hubungan yang baik antara anak dan ibu bapanya. Bukan hanya Islam yang mementingkan hubungan baik antara anak dan ibu bapa, malah semua ajaran dan budaya kemanusiaan memandang perkara ini sebagai antara ramuan asas kebahagiaan dan ketenangan hidup.

Marilah kita sama-sama menjaga hubungan kita dengan Allah SWT – solat lima waktu – dan juga hubungan kita sesama manusia terutama hubungan kita dengan kedua ibu bapa.