Marilah Kita Memahami Hadis Rasulullah dengan ILMU

Primary tabs

Oleh: Ustaz Emran

Pada hari ini, tidak ramai orang dapat memahami hadis rasulullah dengan kefahaman yang sahih yang dikehendaki oleh Islam. Apabila saya ditanya kefahaman yang bagaimanakah yang sahih, maka saya tidak mampu lagi berkata bahawa kefahaman yang didasari oleh hadis rasulullah itu adalah kefahaman yang sahih lantaran kerana dari sebuah hadis sahaja manusia boleh berselisih lalu berbeza kefahaman dan pegangan.

Saya hanya mampu mengatakan kefahaman yang terhasil daripada hadis dengan menggunakan KAEDAH yang diguna pakai dan DIAMALKAN oleh para sahabat, tabien dan para ulama ahlul sunnah wal jamaah itulah yang sahih dan TERJAMIN.

Saya sangat berbesar hati sekiranya adik-adik muda yang ingin berjinak-jinak dengan ilmu agama dapat melakukan muhasabah dengan tidak GOPOH menggunakan nama RASULULLAH di dalam MEMPROMOSIKAN apa yang diyakini oleh mereka sebagai KEBENARAN kerana boleh jadi mereka tersilap lalu menyebabkan mereka terjebak di dalam dosa PENDUSTAAN ke atas nama rasulullah akibat kejahilan.

Tidak perlulah menggunakan tajuk RASULULLAH MENJAWAB KHAWARIJ atau RASULULLAH MENJAWAB sekian dan sekian pada perkara yang tidak Qat’ie sebaliknya sudah memadai sekiranya pihak tertentu menggunakan tajuk yang umum kerana dikhuatiri kita menjadi seperti Qais yang mengakui memiliki Laila tetapi Laila sebaliknya berlepas diri.

Marilah kita mencontohi para sahabat apabila Utbah bin Muslim pernah meriwayatkan bahawa beliau pernah berkawan dengan Ibn Umar ra selama tiga puluh empat bulan dan seringkali ketika beliau ditanya dengan sesuatu persoalan maka djawab oleh beliau dengan berkata : "Aku tidak tahu".

Demikian juga Ibnu Abi Laila ra yang menyebutkan aku pernah melihat seratus dua puluh lebih para sahabat rasulullah salallahualaihiwasalam dari kalangan Ansor yang apabila ditanyakan dengan sesuatu permasalahan agama maka dia menyerahkan kepada yang lain sehingga sahabat yang lain itu menyerahkan kembali kepada yang lain sehingga seringkali persoalan itu kembali kepada sahabat yang pertama ditanyakan tadi.

Mengetahui Hadis sahaja tidak mencukupi ini jelas daripada sabda rasulullah yang bermaksud : "Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengarnya daripadaku. Saksikanlah ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba hamba-Mu." (Diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Jabir (2/240), Sunan Abu Daud 1825 dan disampaikan oleh Rasulullah Sallahualaihi wasallam dalam sabda baginda di dalam khutbah Haji terakhir, di Lembah Uraynah, Bukit Arafah)

Kenapa baginda rasul mengatakan bahawa yang terakhir mendengar hadis ini boleh jadi memahaminya lebih baik daripada yang mendengar secara langsung daripada baginda ?

Apakah orang yang menguasai hadis rasulullah yang jelas itu boleh sahaja tidak memahami maksud dan kehendaknya ?

Ya, boleh sahaja dan hal ini dibuktikan oleh baginda sendiri.

Ini kerana mengetahui hadis sahaja tidak mencukupi tetapi memerlukan kemahiran lain yang mendorong kepada kefahaman yang benar yang dikehendaki oleh syarak.

Menurut riwayat Abdullah Ibnu Masud ra pernah menyebut : "Manusia akan selalu dalam keadaan baik selama mahu mengambil ilmu dari para pembesar(ulama) mereka dan jika mereka mengambil dari Ashoghir yang buruk maka mereka pasti hancur." (Ibn Abd Bar Jami’ Bayan al Ilmi, ms. 248).

As-shoghir ialah pemuda yang mentah dan jahil dan sebahagian ulama mengatakan mereka ialah ahlul bid’ah dan maksudnya ialah sama dengan golongan Ruwaibidhoh.

Dimaksudkan dengan pengetahuan mendalam ialah mereka (ulama’) haruslah memiliki kekuatan ilmu secara ilmiah terhadap kitab Alllah iaitu Al-Qur’an dengan menguasai ilmu alat dan kaedah seperti bahasa arab dan sasteranya, hadith dan usulnya serta ilmu tafsir dan kaedah penafsiran yang sahih, usul fiqh dan lain-lain ilmu yang berkaitan.

Firman Allah swt yang bermaksud :

" Maka kami memberi kefahaman kepada Sulaiman dan masing-masing kami berikan hukum (keputusan) dan pengetahuan." (Al-Anbiya :79).

Kerana itu pada kitab Al-Faqih Wal Mutafaqih oleh Imam Khatib al-Baghdadi ra menyebutkan bahawa Imam Syafie ra pernah menyebut :

"Tidak halal bagi seseorang itu memberikan fatwa di dalam agama kecuali mereka yang mengetahui tentang kitab Allah baik nasakh dan mansukhnya, muhkamat dan mutasyabihat, ta’wil dan penurunannya, makkiyah dan madaniyah dan lain-lain serta juga menguasai hadis seperti mana perlunya dia menguasai Al-Qur’an, mahir bahasa arab dan juga mahir ilmu usul dan kemahiran yang berkaitan." (lihat Al-Faqih Wal-Mutafaqih dan I’lamul Muwaqi’in oleh Imam Ibnu Qayyim Jilid 1, ms. 45).

Baiklah, lupakanlah dahulu isu tersebut marilah kita bersama-sama membuat sedikit pemerhatian ringkas tentang tajuk hadis dan kaedah memahaminya yang mana boleh jadi dapat mencelikkan mata kita daripada sebuah TAASUB YANG BUTA.

Hadis Kepimpinan Itu Milik Golongan Quraisy

Di dalam sebuah hadis riwayat Anas Bin Malik ra, baginda Nabi salallahualaihiwasalam pernah bersabda yang bermaksud : "Para Imam (pemimpin) itu daripada golongan Quraisy. Sesungguhnya mereka itu mempunyai hak ke atas kamu dan kamu pula mempunyai hak ke atas mereka seperti itu juga. Selama mereka berkasih sayang maka berbalaslah kasih sayang, Jika mereka berjanji, mereka memenuhi,Jika mereka memerintah, maka mereka adil. Siapa saja di antara mereka yang tidak berbuat demikian, maka dia akan mendapatkan laknat Allah, laknat para malaikat, dan laknat seluruh manusia."

Hadis riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya, jilid 3, ms. 139 dan berkata Haitsami bahawa rijalnya siqah dan hadis ini disahihkan oleh Syeikh Ahmad Syakir dan Syeikh Albani.

Hadis ini juga dikeluarkan oleh Abu Daud At-Thiyalisy dalam musnadnya jilid 2 ms. 163

Imam Al-Bukhari juga tidak ketinggalan meriwayatkan hadis yang sama maksudnya apabila menyebut di dalam bab Pemerintah daripada Qurasiy dengan lafaz dari Mu’awiyah bara yang menyebut dia mendengar Nabi salallahualaihiwasalam pernah bersabda (yang bermaksud) :

"Sesungguhnya urusan pemerintahan ini adalah di tangan Quraisy tidaklah ada seorang pun yang memusuhi mereka melainkan Allah akan menyungkurkan wajahnya di dalam neraka selama mereka itu melaksanakan agama."

Hadis diriwayatkan oleh Bukhari di dalam Kitab Al-Ahkam, bab Pemerintah daripada Quraisy Jilid 13 ms. 114 di dalam Fathul bari.

Al-Imam Muslim mengeluarkan hadis daripada Ibnu Umar ini di dalam Kitab Al-Imarah dengan lafaz yang bermaksud : "Urusan pemerintahan ini sentiasa berada di tangan Quraisy selama masih berbaki dua orang di antara manusia."

Hadis riwayat Muslim, jilid 4 ms. 1820

Imam Muslim juga turut meriwayatkan hadis serupa daripada Abu Hurairah ra dengan lafaz yang bermaksud : "Manusia mengikuti Quraisy pada perkara pemerintahan ini dengan yang Muslim akan mengikuti orang-orang muslimin daripada kalangan mereka dan yang kafir pula akan mengikuti golongan yang kafir daripada kalangan mereka."

Hadis riwayat Muslim, Jilid 3 ms. 1451.

Manakala Al-Imam At-tirmidzi pula meriwayatkan hadis daripada Amr bin Al-Ash bahawa dia pernah mendengar Nabi salallahualaihiwasalam pernah bersabda (yang bermaksud ):

"Quraisy adalah pemimpin manusia di dalam kebaikan dan keburukan sehingga hari kiamat"

Hadis riwayat Tirmidzi jilid 4, ms. 503 dengan Imam At-tirmidzi menyebut hadis ini hasan gharib sahih.

Burhanuddin al-Halabi (w. 841 H) berkata di dalam Sirah Halabiyah, jilid 2, ms. 480 bahawa Hadis yang mengisahkan perihal kepimpinan adalah ditangan golongan Quraisy adalah hadis sahih yang diriwayatkan oleh hampir 40 orang sahabat."

Imam Ibnu Hazm ra pula menganggap hadis-hadis tersebut sebagai hadis yang mutawatir. Dia berkata: "Riwayat hadis ini datang secara mutawatir." (Al-Fasl fi Milal wal Ahwa wan Nihal, Jilid 4, ms. 89).

Al-Imam Ibnu Taimiyyah ra pula berpendapat hadis ini mutawatir pada makna tetapi tidak pada sanadnya. (Minhaj Sunnah An-Nabawiyyah, jilid 2, ms. 85-86).

Pendapat Ulama Ahlul Sunnah Wal Jamaah terhadap Isu Pemerintah daripada Quraisy

Ulama Ahlul Sunnah Wal Jamaah bersepakat berkenaan hendaklah mengangkat Imam daripada golongan Quraisy dan sejumlah besar di kalangan mereka pula meletakkan syarat pengangkatan Imam hendaklah daripada bangsa Qurasiy berdasarkan hadis-hadis dan dalil yang banyak.

Para Imam empat mazhab (Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad) turut bersepakat di dalam hal ini.

Al-Imam Ahmad berkata : "Tidak boleh ada khalifah dari selain Quraisy." (Al-Ahkam As-Sultoniyah, ms. 20)

Imam Ahmad juga berkata lagi : "Urusan pemerintahan ini sentiasa berada di tangan Quraisy selama masih berbaki dua orang di antara manusia dan tidaklah ada orang yang cuba menanggalkan daripada mereka kepimpinan itu atau keluar daripada mereka dan tidaklah mengangkat selain mereka sehinggalah hari kiamat." (Tabaqat Hanabilah, Jilid 1,ms. 26)

Al-Imam Syafie juga mengatakan perkara yang sama di dalam kitabnya Al-Umm Jilid 1 ms. 143 dan Al-Imam Abu Hanifah ra di dalam Kitab Usul Ad-Din ms. 275.

Manakala Imam Malik dengan tegas mengatakan : "Tidak boleh ada Imam melainkan kepada Quraisy dan tiada hak pemerintahan kepada selain daripada mereka KECUALI kepada orang yang menyeru kepada Imam Quraisy." (Lihat Ahkam Al-Quran Ibnul Al-Arabi Jilid 4, ms. 1721)

Bagaimana situasi Kita hari Ini ?

Sebuah persoalan perlu ditujukan kepada golongan pro-KERAJAAN yang mengajak ketaatan kepada pemimpin yang ada hari ini secara mutlak dengan ketaatan yang buta agar menjawab hadis ini dan menyatakan apakah sikap mereka terhadap hadis kepimpinan daripada Quraisy ini ?

Kadang-kadang saya terasa lucu dengan mereka, jika mereka mengatakan kami tidak mentaati pemerintah di dalam maksiat tetapi hanya pada perkara kebaikan dan selama pemerintah melaksanakan kitab Allah maka apakah bezanya dengan kita ? Bukankah itu juga slogan kita ?

Bukankah itu juga ucapan kita agar ketaatan itu tidak berlangsung kecuali di atas syariat Allah.

Saya mendapati ada penulis muda yang mula mengubah suai sedikit demi sedikit di dalam artikel-artikel mereka bagi menyedapkan rasa pembaca agar tidak menganggap mereka sebagai golongan pengampu dengan mengatakan kami tidak taat buta sebaliknya hanya di dalam perkara yang makruf (kebaikan sahaja)

Lalu bukankah kita sama sahaja kenapa sampai menuduh saya dan mereka yang tidak menyokong kerajaan di dalam pilihanraya sebagai pemberontak ? Khawarij ? dan

pelbagai lagi tuduhan yang menyakitkan ?

Jawapannya mudah, mereka mahu mempromosikan ajaran baru iaitu pemerintah jangan digulingkan sekalipun ada cara dan jalannya yang aman dan damai.

Jangan digulingkan kerana itulah suruhan agama, itulah arahan rasulullah lalu berusaha keras melakukan pendustaan di atas nama agama dengan mengaitkan Rasulullah di dalam jenayah ilmiah bagi membenarkan dakwaan mereka bahawa pemerintah zalim perlu dibela dan dipertahankan.

Apakah Illat hadis-hadis yang menyebut perihal Pemerintah yang Zalim perlu ditaati dan tidak digulingkan ?

Menurut al-Amidi, Illat ialah sesuatu sifat yang jelas dan konsisten (mundabit) dan dengan menetapkan hukum yang sesuai dengan sifat tersebut dapat mencapai sesuatu matlamat iaitu untuk mencapai kemaslahatan atau mencegah kerosakan.( Lihat di dalam Al-Ihkam Li al-Amidi)

Jawapannya ialah untuk mengelakkan mudharat peperangan, kerosakkan, perpecahan seperti yang tercatat di dalam Al-quran dengan jelas :

Yang bermaksud :

"Berkata Musa: "Wahai Harun, apa yang menghalangi kamu ketika kamu melihat mereka telah sesat, (sehingga) kamu tidak mengikuti aku? Maka apakah kamu telah (sengaja) mendurhakai perintahku?" Harun menjawab : "Wahai putera ibuku, janganlah kamu pegang janggutku dan jangan (pula) kepalaku; sesungguhnya aku khuatir bahawa kamu akan berkata (kepadaku): "Kamu telah memecah belah di antara Bani Israil dan kamu tidak memelihara amanatku." (Surah Thaha : 92-94)

Para ulama menyebut Wajhul Istidlal Hadis-hadis yang menyangkut persoalan ketaatan kepada pemerintah yang zalim ialah berkait soal kemudharatan dan bahaya perpecahan yang dirisaukan oleh rasulullah yang akan tercetus akibat proses penukarannya yang berlaku.

Inilah yang menjadi Illat kepada larangan menjatuhkan pemerintah yang zalim.

Oleh yang demikian, sebahagian golongan Khawarij apabila mendapati hal ini maka mereka mengambil tindakan mengkafirkan perlaku dosa besar dan pembuat maksiat agar dengan hal sedemikian membolehkan mereka keluar daripada kewajipan pemerintah kerana gugur hak ketaatan disebabkan pemerintah bukanlah lagi seorang Islam yang zalim tetapi seorang yang kafir dan apabila kafir dibolehkan untuk diperangi.

Sedangkan yang dikafirkan oleh Khawarij itu bukanlah siapa tetapi sahabat rasulullah radiallahuanhum ajmaien dan tuduhan-tuduhan khawarij adalah sangat tidak berasas dan pengkafiran mereka kepada perlaku dosa besar adalah sangat jauh dari pertunjuk agama.

Adapun pada hari ini, perbuatan para sesetengah ulama yang mengkafirkan sebahagian daripada pemerintah bukanlah termasuk dalam jenayah Khawarij tetapi berasaskan kepada fakta yang kukuh dan sabitan-sabitan hukum yang jelas yang memerlukan kepada kebenaran di zahirkan demi Amar Makruf Nahi Mungkar.

Janganlah menyamakan para ulama yang mengkafirkan sesetengah pemerintah yang tidak berhukum dengan hukum Allah kerana pemerintah atau individu tersebut jelas tidak beriman dengan hukum Allah dan mengatakan hukum Allah ini sudah tertolak,ketinggalan zaman, lapuk dan pelbagai lagi yang menghina adalah sama dengan sikap Khawarij yang mengkafirkan Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib ra sahabat yang terjamin syurga hanya kerana menerima majlis tahkim dengan Muawiyah, tidak mengambil ghanimah di dalam peperangannya.

Itu tuduhan yang melulu tetapi itulah sikap golongan yang jahil.

Adakah sama Khawarij dan pejuang Islam ?

Adakah sama pemerintah yang menolak Al-Quran sebagai sumber penghukuman kerana engkar dan tidak percaya dengan Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib yang berhukum dengan Majlis tahkim dan berijtihad menanguhkan Qisos terhadap Utsman bin Affan ?

Jauh beza situasinya dan jauh pula tersasar kaitannya lalu siapakah Khawarij ?

Maka para ulama di dalam Firaq (ilmu perbandingan aliran) menyebut Khawarij ialah golongan yang mengkafirkan perlaku dosa besar dan keluar daripada pemerintah yang melaksanakan hukum Allah serta tidak menerima tafsiran sahabat di dalam agama tetapi menafsirkan Al-quran secara zahir. (Lihat Kitab Al-Milal Wan Nihal )

Musuh Allah dibela dan ulama yang haq dicela

Memahami Illat hadis dan wajhu dilalahnya adalah penting supaya kefahaman kita terhadap hadis tidak bercanggah dengan maqasid syarak dan kehendak Islam yang menjadi amalan dan pegangan ahlul sunnah wal jamaah.

Apabila gugurnya Illat (punca hukum itu terjadi) di dalam sesebuah hadis maka gugurlah pula hukum larangan atau tegahan yang dibawa oleh hadis tersebut.

Ini bermakna sekiranya Illat (punca hukum itu terjadi) hadis yang melarang supaya menjatuhkan pemerintah yang zalim ialah kerana dibimbangi perpecahan, huru-hara dan pembunuhan maka jika situasi ini telah hilang dengan diganti suasana yang aman, wujud pilihan dan kemampuan untuk menukar pemerintah tanpa mencetuskan huru-hara dan kekacauan seperti yang dirisaukan atau menjadi Illat kepada larangan di dalam hadis maka gugurlah juga tegahan yang melarang kita menjatuhkan pemerintah yang zalim kerana Illatnya telah juga hilang.

Persoalan Illat dan maqasid syarak ini adalah penting dan wajib dipelajari oleh para pendakwah supaya dapat mengeluarkan keputusan hukum yang sahih daripada dalil-dalil nash malangnya golongan pro-Murjiah dan seumpama dengan mereka telah menolak ilmu usul fiqh yang mulia ini dengan mengatakan ianya bukan sunnah dan menganggap ianya sebuah ajaran yang tidak benar dan sebagainya.

Sungguh buruk sikap mereka itu sehingga menjadikan hadis-hadis rasulullah difahami secara zahir oleh pemikiran mereka yang singkat dan cetek lalu ditafsirkan agama menurut kehendak-kehendak mereka sehingga jadilah agama ini benar-benar menjauh daripada manusia dan fitrahnya.

Baiklah kembali kepada hadis Pemerintah daripada Quraisy ini, bagaimanakah golongan Pro-Kerajaan dan Pemerintah mahu menjawabnya ?

Ahlul Sunnah Wal Jamaah berpendapat pemerintah mestilah daripada Quraisy dan pendapat yang mengatakan Syarat Pemerintah daripada Quraisy ini hanyalah datang sebagai bab fadhilat dan kelebihan bukan kewajipan atau syarat ialah golongan Khawarij dan Murjiah. (Lihat Kitab Al-Fasl fil Milal wal Ahwa wan Nihal, Jilid 4, ms. 89 dan Ghayatul Maram fi Ilmil Kalam, ms. 383)

Golongan yang membenci Khawarij pastinya tidak mahu bersependapat dengan Khawarij di dalam memahami hadis ini bukan ?

Lalu tiada jalan lain maka mereka mesti menerima pendapat Ahlul Sunnah Wal Jamaah bahawa pemerintah haruslah daripada golongan Quraisy dan jika sedemikian, bagaimanakah status pemerintah-pemerintah yang ada sekarang ini yang bukan daripada keturunan Quraisy ?

Mahu dipecatkah ? Mahu diganti dengan keturunan Quraisy kah ?

Nabi salallahualaihiwasalam pernah bersabda (yang bermaksud ): "Quraisy adalah pemimpin manusia di dalam kebaikan dan keburukan sehingga hari kiamat." (Hadis riwayat Tirmidzi dengan darjat Hasan Gharib Sahih).

Imam Malik ra pun turut mengatakan : "Tidak boleh ada Imam melainkan kepada Quraisy dan tiada hak pemerintahan kepada selain daripada mereka KECUALI kepada orang yang menyeru kepada Imam Quraisy." (Lihat Ahkam Al-Quran Ibnul Al-Arabi Jilid 4, ms. 1721)

Lalu bagaimana ?

Bukankah menurut kaedah Anda memahami hadis-hadis mengenai pemerintahan secara zahir adalah mewajibkan taat kepada pemerintah maka bukankah RASULULLAH jelas menyuruh anda mentaati dan menyerahkan hak pemerintahan kepada golongan Quraisy ?

Atau bagaimana ?

Isu Pemerintah Daripada Quraisy Di sisi pengajian Fiqhul Hadis

a) Hadis Pemerintah daripada Quraisy berperanan sebagai muqayyad kepada hadis kewajipan mentaati pemerintah iaitu apabila disebut ketaatan kepada pemerintah ialah terikat kepada selama pemerintah itu Muslim, melaksanakan kitab Allah (muqayyad) maka demikian juga syarat pelaksanaan hukum hadis itu iaitu pemerintah yang hendak ditaati itu haruslah pula seorang daripada Quraisy.

Hadis –hadis yang menyebut pemerintah daripada Quraisy adalah lebih mutawatir dan lebih jelas dan terang daripada hadis mentaati pemimpin yang zalim. Bahkan para ulama menyebut bahawa kesemua hadis-hadis yang membawa kepada ketaatan kepada pemimpin itu sebenarnya merujuk kepada pemimpin daripada Quraisy berdasarkan kaedah Mutlak dan Muqayyad.

Hadis-hadis berkenaan ketaatan kepada pemimpin itu sebenarnya telah di Muqayyadkan (Diikat dan dibatasi maksudnya oleh suatu batasan yang mempersempitkan fungsi atau peranan hukumnya atau memperfokuskan pada maksud dan maknanya secara terperinci)

Apabila bertembung antara hadis yang memiliki lafaz Mutlak dengan hadis yang memiliki lafaz Muqayyad, maka hendaklah hadis lafaz Mutlaq tersebut difahami mengikut petunjuk yang dibawa oleh hadis yang memiliki lafaz Muqayyad.

Ini adalah kerana hadis yang membawa lafaz Muqayyad berperanan melengkap dan memperincikan lagi hukum yang dibawa oleh hadis lafaz Mutlak tersebut.

Mengamalkan lafaz muqayyad bererti telah mengamalkan petunjuk hukum yang terkandung dalam lafaz mutlak, namun apabila hanya mengamalkan lafaz mutlaq tidak bererti kita telah mengamalkan petunjuk hukum yang terkandung di dalam lafaz muqayyad. Sehingga usaha mengabungkan kedua-duanya merupakan kewajipan yang penting yang harus dilakukan. (Lihat di dalam Al-Ihkam fi Usul al-Ahkam)

Para ulama yang mengatakan bahawa pemerintah itu wajib daripada Quraisy maka mereka mengikat syarat ketaatan kepada pemerintah hanya berlaku apabila pemerintah itu daripada bangsa Quraisy seperti mana halnya pemerintah haruslah seorang Muslim dan mendirikan solat serta menegakkan hukum Allah.

b) Memahami Hadis rasulullah dengan melihat kepada Maqasid Syarak dan Wajhul Dilalah dan dhawabit (prinsip ) Usul

Hadis-hadis rasulullah berkait soal pemerintahan ini sebenarnya tidaklah berlaku tuntutan dan tidak jatuh hukumnya secara mutlak dan umum untuk sepanjang zaman bahkan para ulama ada yang mengikat kelangsungan hukum tersebut hanya terbatas kepada khilafah di zaman rasulullah salallahualaihiwasalam, ada yang mengikat tuntutan hadis tersebut kepada khalifah yang di angkat oleh umat Islam dan tidak bermaksud pemerintahan beraja.

Ini berdasarkan hadis rasulullah yang bermaksud : "Berlaku zaman nubuwwah ke atas kamu selama mana yang dikehendaki oleh Allah, kemudian Allah menamatkannya apabila Dia kehendaki, kemudian berlaku zaman khilafah di atas manhaj nubuwwah selama mana yang dikehendaki oleh Allah, kemudian ditamatkan apabila dikehendaki olehNya.

Kemudian akan berlaku zaman pemerintahan beraja yang sangat kejam selama mana yang dikehendaki oleh Allah, kemudian akan ditamatkan apabila dikehendaki. Kemudian akan berlaku zaman pemerintahan beraja yang memaksa ke atas rakyatnya selama mana yang dikehendaki oleh Allah, kemudian akan ditamatkan apabila dikehendaki, Kemudian akan berlaku zaman khilafah di atas manhaj nubuwwah.." – Hadis riwayat Ahmad dan Thiyalisi serta disahihkan oleh Al-Hafiz Al-Iraqi dan Albani dan selain dari keduanya.

Di antara ulama yang membezakan di antara Khalifah dan raja ialah Imam Ibnu Khaldun di dalam kitabnya Al-Mukadimah ms.190.

Ini kerana katanya Khalifah ialah pemerintah yang bertangungjawab di dalam pemerintahan menurut syarak dan bertanggungjawab menguruskan urusan umat dengan mengikut prinsip-prinsipnya adapun raja ialah pemerintah yang mentadbir menurut kemahuan dan kehendaknya tanpa terbatas oleh peraturan tertentu.

Ini boleh dilihat bahawa Para Rasul seperti Daud dan Sulaiman ialah Raja yang berkuasa memerintah dan mewarisi takhta mereka sedangkan rasulullah tidak diberikan kerajaan seperti itu sebaliknya memilih untuk menjadi seorang rasul dan hamba kepada Allah seperti hadis riwayat Abu Hurairah sedang baginda tetap memimpin perang, menjadi Imam dan ketua umat Islam di Madinah dan kemudian setelah wafat diganti oleh Abu Bakar sebagai Khalifah yang pertama sekaligus menunjukkan wujud perbezaan di antara status seorang raja atau Khalifah. (Lihat Majmuk Al-Fatawa Jili 35, ms. 34)

Khalifah misalnya boleh dipecat oleh ahli Syura dan perlantikannya juga dibuat oleh Syura yang diangkat dari wakil-wakil umat sedangkan raja-raja ialah pemerintah yang diangkat berdasarkan warisan dan kedua-duanya adalah melalui daripada sistem yang berbeza.

Maka para ulama yang mengadakan pembahagian dan membezakan di antara khalifah dan raja berpendapat tidak terpakai tuntutan-tuntutan hadis dan ketaatan kepada pemerintah terhadap raja dan mereka juga tidak meletakkan syarat keturunan Quraisy untuk membolehkan seseorang menjadi raja.

Adapun golongan ulama yang menyatakan bahawa Khalifah boleh disamakan dengan raja dan sebagainya maka mereka tetap MENSYARATKAN bahawa hendaklah seorang raja atau pemerintah itu MESTILAH daripada QURAISY.

Dibolehkan seseorang pemerintah itu digelarkan Khalifah sekalipun dia ialah seorang raja atau pun bukanlah Khalifah Ar-Rasyidun selama dia menepati syarat iaitu daripada keturunan Quraisy. (Al-Imamah Al-Uzma Indal Ahlul Sunnah Wal Jamaah, ms. 40)

Berdasarkan hadis –hadis yang jelas mengangkat Quraisy ini telah menyebabkan golongan selain Quraisy tidak berhak menjadi ketua negara.

Hukum ini yang banyak dipegang oleh para ulama terdahulu seperti al-Mawardi dan lain-lain di kalangan ulama Ahlul Sunnah bahkan sehingga ianya termasuk di dalam perkara yang menjadi Ijmak mereka. (al-Ahkam al-Sultaniyyah wa al-Wilayat al-Diniyyah, ms.6)

Walaubagaimanapun hadis ini juga mesti mengandungi wajhul istidlal dan Illat yang menjadi punca larangan mengangkat selain daripada mereka dan sebab mengapa diperintahkan mengangkat Quraisy.

Menurut Imam Ibnu Khaldun, Illat yang melatar belakangi kepimpinan di tangan Quraisy ialah kerana mereka merupakan golongan yang kuat dan berwibawa. Tidak ada satu bangsa yang dapat menandingi mereka dalam hal kewibawaan politik di zaman Rasulullah dan awal Islam kerana pada merekalah kesatuan arab yang berasaskan sistem kabilah itu terbentuk dan dapat disatukan. Dengan demikian hanya merekalah yang berhak memegang kekuasaan politik.

Penyerahan kekuasaan kepada golongan lain akan menimbulkan kekacauan dan tidak menolak kemungkinan akan terjadi peperangan sesama umat Islam tanpa ada yang dapat menyelesaikannya.

Menurut beliau Illat yang terkandung dalam penyebutan "golongan Quraisy" akan terus berlaku dengan syarat ‘Asabiyyah kewibawaan dan kekuatan politik dapat dipenuhi.

Dengan demikian para penguasa umat Islam terdiri daripada kaum yang mempunyai kekuatan ‘asabiyyah dan kekuasaan yang diakui pada zamannya supaya dapat memimpin orang lain dan kesatuan umat dapat dicapai dengan pembelaan yang baik. Dengan demikian jika ‘Asabiyyah kewibawaan dan kekuatan politik golongan Quraisy tidak kuat lagi maka syarat pemimpin dari golongan Quraisy juga hilang.

c) Perkara yang menjadi ijmak di zaman dahulu tidak bermakna akan kekal ijmak ke zaman ini

Pengangkatan pemimpin daripada Quraisy merupakan ijmak berdasarkan pengakuan ramai ulama di antaranya Imam An-Nawawi :"Hadis mengenai pemimpin daripada Quraisy dan seumpamanya menjadi dalil yang jelas bahawa khalifah adalah dikhususkan kepada kaum Quraisy dan tidak boleh diangkat kepada selain mereka dan demikianlah ijmak yang disepakati yang berlaku di zaman sahabat, tabien dan golongan selepas mereka dengan mengikut hadis-hadis yang sahih." (Al-Minhaj, Syarah Muslim oleh Nawawi Jilid 12, ms. 200)

Bahkan menurut Fudhoil bin Iyad hanyalah golongan Khawarij yang membolehkan pengangkatan Imam selain daripada Quraisy dan hal sedemikian merupakan ijmak kaum muslimin.

Ulama lain yang mengakui hal ini sebagai ijmak umat Islam ialah Al-Mawardi, Ibnu Khaldun, Imam Al-Ghazali dan selain mereka.

Apakah umat Islam pada zaman hari ini telah buta hadis dan jahil sunnah ?

Bukankah pengangkatan Khalifah di dalam sejarah Islam banyak sekali daripada golongan yang bukan Quraisy ?

Bukankah Khilafah Uthamniyah terdiri daripada bangsa yang bukan Quraisy ?

Bukankah Perdana Menteri dan Presiden negara-negara Islam hari ini adalah bukan daripada golongan Quraisy ?

Bagaimanakah kita boleh menyalahi ijmak sahabat dan tabien serta hadis rasulullah yang jelas nyata ?

Kerana ini hendaklah difahami bahawa golongan yang jahil ilmu agama khasnya ilmu usul fiqh akan terperangkap di dalam dalil-dalil yang menjadi pegangan mereka sendiri lalu Al-quran dan hadis akan menyesatkan mereka disebabkan oleh kejahilan mereka.

Para ulama mengambil pelbagai jalan bagi memahami hadis ini dan menyesuaikan kehendak hadis dengan situasi zaman yang sudah berubah tersangat jauh daripada kehendak hadis. Situasi hari ini, umat Islam tidak lagi dinaungi oleh Khalifah dan kerajaan Islam yang bersatu sebaliknya telah berpecah dan menjadi negara-negara kecil yang diikat oleh perlembagaan tersendiri.

Pemerintah-pemerintah yang diangkat tidaklah dengan jalan syura serta kekuasaan mereka pula dijalankan seperti pemerintahan beraja dan kesemua mereka bukanlah daripada Quraisy.

Syeikh Dr Abdul Wahhab Khalaf di dalam kitabnya As-Siyasah As-Syar’iyyah m.s 28 dan Dr. Al-Khurbuthli di dalam kitab Al-Islam wal Khilafah ms. 59, misalnya telah menolak keshahihan hadis mengenai kepimpinan Quraisy tersebut dan menganggapnya sebagai tidak jelas asal usulnya dalam syara’ berdasarkan ketiadaan nash yang sahih yang menunjukkannya masih terlaksana hukum dan Illat yang menjadi punca pelaksanaan hukum.

Manakala sebahagian besar yang lain melakukan pengajian kritis terhadap hadis dengan menolak syarat Imam daripada Quraisy dengan berdasarkan beberapa hujah.

Seperti :

i) Semua hadis yang diriwayatkan berkenaan pemerintah daripada Quraisy yang menjadikan urusan pemerintahan berada pada orang Quraisy telah datang dalam bentuk khabar dan tidak satu hadis pun datang dalam bentuk perintah.

Bentuk khabar menurut para ulama usul sekalipun memberikan pengertian tuntutan (thalab) tetapi tidak dimasukkan sebagai tuntutan yang pasti (thalaban jaaziman) selama tidak disertai dengan bukti (qarinah) yang menunjukkan penekanan (ta’kid) dan ternyata tidak ada satu qarinah pun yang menyertainya dan tidak ada dalam satu riwayat yang sahih.

Sehingga menunjukkan bahawa status hukumnya adalah mandub (sunnah) bukan wajib. Jadi syarat nasab Quraisy itu adalah syarat afdlaliyyah (diutamakan kepada mereka) bukan syarat in’iqad (syarat yang wajib bagi mengangkat mereka).

ii) Kalau syarat nasab keturunan Quraisy menjadi syarat in’iqad (pengengakatan Imam), maka syarat ini masih terlaksana di dalam ikatan syarat yang lain iaitu melalui hadis Rasulullah salallahualaihiwasalam yang bersabda: "Selama mereka menegakkan agama (Islam)." Sebab mafhum mukhalafah dari hadis Mu’awiyah "Selama mereka menegakkan agama (Islam)" bererti sekiranya mereka tidak menegakkan agama (Islam), maka urusan (pemerintahan) tersebut keluar daripada tangan mereka." (Lihat di dalam Fathul Bari, jilid 16, ms. 333-334).

Jika urusan pemerintahan terlepas daripada tangan mereka, apakah dibolehkan kaum muslimin hidup tanpa Imam yang menyebabkan tertangguhnya hukum dan terhentinya jihad ?

Sesungguhnya hukum syarak menetapkan bahawa mengangkat imam atau Khalifah itu wajib bagi umat. Umat juga wajib memecat penguasa jika dia menampakkan kekufuran yang nyata, baik penguasa itu seorang Quraiys atau pun bukan.

Imam Ahmad telah meriwayatkan dari Abdullah bin Mas’ud ra bahawasanya dia telah mendatangi Rasulullah Saw dan mendengar baginda bersabda (yang bermaksud) :

"Amma ba’du. Wahai orang-orang Quraisy, sesungguhnya kalian adalah kaum yang berhak atas urusan (pemerintahan) ini, selama kalian tidak bermaksiat kepada Allah. Jika kalian bermaksiat kepada-Nya maka dia nescaya akan mengerahkan kepada kalian sekelompok orang yang akan menguliti (mengupas habis) kalian sebagaimana kayu ini dikupas –beliau menunjuk pada sebuah kayu yang ada di tangan beliau." Perawi berkata: "Kemudian baginda salallahualaihiwasalam mengupas kulit tongkatnya sehingga ternampak putih keras." (Al Musnad, jilid 6, ms. 176 hadis No. 4380).

Begitu pula hadis yang diriwayatkan oleh Ath-Thabarani di dalam Al-Mu’jam As-Shoghir dan Al-Ausoth dari Tsanban yang berkata: Rasulullah salalallahualaihiwasalam pernah bersabda yang bermaksud : "Peganglah janji setia kepada Quraisy selama mereka setia (tidak khianat) memimpin kalian. Jika mereka telah melakukan (khianat dalam memimpin umat) maka angkatlah pedang kalian di atas pundak kalian dan musnahkanlah pemimpin-pemimpin (Quraisy) itu." (Majmu’ az Zawaid oleh Al-Haitsami, jilid 5, ms. 228).

iii) Imam Ahmad mengeluarkan hadis daripada Umar bin Al Khattab ra dengan sanad rijalnya siqah (terpercaya) bahawasanya dia pernah berkata: "Jika telah sampai ajalku, dan Abu Ubadah masih hidup, maka aku akan menyerahkan kekhilafahan kepadanya." Maka dia menyebutkan hadis yang di dalamnya ada ungkapan: "Jika telah sampai ajalku dan Abu Ubadah telah mati maka aku akan memberikan kekhilafahan kepada Mu’adz bin Jabal." (Al-Musnad oleh Imam Ahmad, jilid 16, ms. 236).

Khalifah Umar bin Khattab ra mengucapkan hal itu dengan dihadiri oleh ramai para sahabat ra dan tidak ada satu riwawat pun yang menyebutkan bahawasanya mereka berbeza pendapat dengan Umar tentang pendapatnya itu dan berhujah bahwa Khilafah itu mestilah tetap berada di tangan kaum Quraisy dan tidak boleh di tangan keturunan yang lain ini disebabkan sahabat Muadz bin Jabal bukanlah daripada bangsa Quraisy tetapi Ansor.

Oleh kerena itu pemahaman inilah yang difahami oleh Khalifah Umar ra dan tak seorangpun dari sahabat yang mengingkarinya bahwa syarat nasab Quraisy bukanlah syarat in’iqad (pengangkatan Imam) sekalipun terdapat banyak hadis-hadis sahih yang menyebutkan hal sedemikian secara zahirnya.

Ada golongan yang masih mempertahankan bahawa Khalifah boleh terdiri daripada bukan Quraisy seperti golongan Khawarij (anak-anak dan adik-adik muda) yang menafsirkan hadis dengan akal apabila mengambil lafaz zahir daripada hadis dari Anas bin Malik ra yang bermaksud : "Dengar dan taatlah kamu sekalipun yang berkuasa ke atas kamu ialah hamba habsyi yang kepalanya seperti tamar selama dia menegakkan di atas kamu kitab Allah."

Hadis ini sahih dikeluarkan oleh Bukhari dan Ahmad serta Nasaie.

Namun para ulama ahlul sunnah menolak tafsiran Khawarij ini yang mengatakan pemerintah itu ialah sesiapa sahaja yang terangkat melalui apa jua jalan dan berkuasa atas umat sekalipun seorang hamba. (Lihat Al-Milal Wan Nihal oleh Syahrastani Jilid 1, ms. 116)

Ulama Ahlul sunnah Wal Jamaah menolak hal ini dengan menyebut apa yang dimaksudkan oleh hadis ialah perumpamaan yang tidak berlaku pada wujud realiti ianya datang sebagai bentuk Al-mubalaghah di dalam menunjukkan supaya berlaku ketaatan yang bersungguh. (Lihat di dalam Fathul Bari Jilid 13, ms. 122)

Demikian pula Syeikh Syanqithi di dalam Adho’ul Bayan menyebut bahawa yang dimaksudkan hamba tersebut ialah wakil Imam dan bukanlah dia itu sendiri ialah Imam atau khalifah dan bahkan hal ini menjadi ijmak kaum muslimin bahawa tidak boleh diangkat pemerintah daripada seorang hamba seperti yang disebutkan oleh Imam Ibnu Hajar di dalam Fathul bari disebalik wujud hadis yang mengatakan sekalipun diangkat pemerintah daripada hamba abdi namun para ulama Islam sepakat menafikan bolehnya mengangkat pemerintah daripada hamba abdi. (Adho’ul Bayan Jilid 1, ms. 55)

Itulah ilmu yang dimiliki oleh para ulama di dalam bermuamalah dengan hadis yang tidak dimiliki oleh pelajar-pelajar mentah yang baru setahun jagung tetapi sibuk melalak di sana sini demi sebuah kemasyhuran.

Penutup

Ulama ahlul sunnah pada hari ini tidaklah menolak kesepakatan bahawa pemerintah haruslah daripada Quraisy yang berlaku semenjak zaman rasulullah dan para sahabat radiallahuanhum tetapi tidak melaksanakan tuntutan ini disebabkan tiada kemampuan dan sudah tidak wujud lagi daya dan upaya untuk hal yang sedemikian.

Ini telah disepakati oleh kebanyakan mutakallimin bahawasanya taklif tidak akan berlaku kecuali dengan perbuatan hamba yang dia mampu melakukannya (As- Muntaha as Sul fi ilmil Usul, jilid 1, ms. 35).

Adapun memelihara nasab Quraisy hingga hari kiamat adalah sesuatu yang diluar kemampuan manusia. Hal ini kerana syarat in’iqaad (pengangkatan) yang menjadikan sahnya seseorang khilafah itu jika diwajibkan Quraisy maka tidak mungkin dipenuhi pada zaman hari ini disebabkan umat Islam sudah berpecah dan khilafah sudah tidak wujud.

Bahkan mereka telah bersepakat mengatakan bahawa perkara ini sudah menjadi ramalan rasulullah.

Berdasarkan hadis rasulullah yang bermaksud : "Berlaku zaman nubuwwah ke atas kamu selama mana yang dikehendaki oleh Allah, kemudian Allah menamatkannya apabila Dia kehendaki, kemudian berlaku zaman khilafah di atas manhaj nubuwwah selama mana yang dikehendaki oleh Allah, kemudian ditamatkan apabila dikehendaki olehNya. Kemudian akan berlaku zaman pemerintahan beraja yang sangat kejam selama mana yang dikehendaki oleh Allah, kemudian akan ditamatkan apabila dikehendaki. Kemudian akan berlaku zaman pemerintahan beraja yang memaksa ke atas rakyatnya selama mana yang dikehendaki oleh Allah, kemudian akan ditamatkan apabila dikehendaki, Kemudian akan berlaku zaman khilafah di atas manhaj nubuwwah.." – Hadis riwayat Ahmad dan Thiyalisi serta disahihkan oleh Al-Hafiz Al-Iraqi dan Albani dan selain dari keduanya.

Khilafah atau pemerintahan berasaskan nubuwwah akan dibangkitkan kembali oleh Allah swt dengan usaha umatnya di akhir zaman dan pemerintah yang akan diangkat nanti telah disepakati oleh Ahli Sunnah bahawa dianya akan terdiri daripada keturunan Quraisy dan tidaklah yang merampas hak daripada kaum Quraisy melainkan dicela oleh Allah swt.

Maka umat Islam perlulah memahami bahawa isu politik dan hadis-hadis yang berkait soal siyasah haruslah difahami dengan kefahaman yang mendalam kerana ianya melibat soal kepentingan umum dan berkait maslahah ummah yang besar.

Kegopohan pihak tertentu mewajibkan dan menentang atau mengharamkan sesuatu perkara tanpa mengkaji dan memiliki pengetahuan di dalam hal ini amatlah dikesali seperti yang turut diluahkan oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradhawi di dalam bukunya, Fiqhul Daulah Fi Islam.

Bahkan Syeikh Dr Yusof Al-Qaradhawi menyebut : "Fatwa-fatwa yang jahil lagi berani ini dan tidak matang daripada sudut ilmu syarak mampu menjatuhkan umat ke lembah kebinasaan. Sesetengah orang yang berfatwa kepada manusia lebih berhak dipenjara daripada pencuri kerana pencuri hanya merosakkan dunia tetapi mereka merosakkan agama." (Fiqhul Daulah Fi Islam)

Imam Abu Ishak As-Syatibi ra telah memperingatkan umat Islam akan hakikat ini dengan menyebutkan di dalam kitabnya dengan bermaksud : " Sesungguhnya yang menjadi sebab utama bid’ah dan pertikaian yang membawa kepada perpecahan umat dan malapetaka ialah seseorang mempercayai dirinya ialah seorang mujtahid atau termasuk ahlul ilmi wal ijtihad dalam ilmu agama sedangkan hakikatnya dirinya belumlah mencapai tahap itu.

Maka apabila dia beramal dengan pendapatnya maka dianggap pendapatnya ialah sebagai pendapat ulama dan khilafnya sebagai khilaf ulama lalu baik hal itu berlaku di dalam hal yang furu (cabang) atau hal yang mendasar dan usul baik iktikad dan amaliyah sehingga seringkali dia mengambil sesetengah hal yang juz’iyah atau furu’iyah (cabang) dari syariat lalu diruntuhkan hal yang kulliyat atau usul dengannya atau sebaliknya sehinggalah jadi apa yang zahir itu sepintas lalu seolah menepati makna tetapi hakikatnya tidak mencapai maksud syarak maka inilah dia seorang tukang pembuat bid’ah." (Lihat Kitab Al-Itishom jilid 2, ms. 173)

Semoga Allah memelihara kita daripada kesesatan.