Menuju pilihanraya: Tribulasi demokrasi Mesir

Primary tabs

Meskipun Ikhwan Muslimin bukanlah punca utama tercetusnya revolusi 25 Januari 2011 yang membawa kepada tumbangnya pemerintahan diktator Mubarak, sesiapa pun tidak mampu menafikan peningkatan mendadak sokongan dan populariti Ikhwan Muslimin, dan parti politiknya yang baru ditubuhkan, Hizb Hurriyyah wa ‘Adaalah, semenjak 25 Januari hingga kini.

Selaku parti dan gerakan yang sehingga kini terbukti paling tersusun secara organisasi dan mempunyai ahli yang komited serta wawasan yang jelas dan Islamik, pengaruhnya di dalam masyarakat berjaya mengakar umbi, dan dijangkakan akan diberi kepercayaan besar oleh masyarakat untuk menjadi suara mereka di dewan Parlimen Mesir.

Sekiranya ini berlaku, maka buat pertama kalinya dalam sejarah Mesir moden, sebuah gerakan Islam benar-benar mempunyai ruang penglibatan dalam penggubalan polisi negara, sekaligus menentukan halatuju dan masa depan negara. Berdasarkan manifesto mereka dalam pilihanraya, jika benar mereka berjaya memainkan peranan, Mesir dan rakyatnya mempunyai masa depan yang cerah.

* * * *

Menurut Ahmad Ar-Rasyid, seorang pemikir gerakan Islam dari Iraq, analisis dan pengamatan perkembangan semasa, jika dilakukan oleh seorang mukmin, maka neraca ukurannya ialah aqidah.

Kerana akhirnya, segala pusaran gelombang hiruk-pikuk kejadian peristiwa di dalam sejarah manusia bertitik tolak daripada satu hakikat — kebenaran (Al-Haq) dan kebatilan (Al-Batil) akan sentiasa bertembung.

Turutan pelbagai peristiwa terkini di Mesir, dalam suasana Mesir di ambang transisi kepada satu era baru, meskipun adakalanya tampak berbelit dan memeranjatkan, pada hakikatnya berputar di sekitar pertembungan antara kebenaran dan kebatilan, antara pengibar panji Islam dan pengibar panji kuffar.

Dan menurut banyak ayat yang ada dalam Al-Quran, kemenangan pihak yang benar selalunya tidak mudah, dan pasti, akan dihalang dan dipatahkan oleh pihak yang batil, yang tidak pernah redha dengan kebenaran.

Mengaitkan hakikat ini dengan situasi di Mesir, tidak salah kita katakan, bahawa fakta yang harus diterima ialah, pengaruh dan kemungkinan kemenangan Ikhwan Muslimin dan lain-lain kumpulan Islam seperti Salafi (Parti An-Nur) dalam pilihanraya akan cuba dihalang dan dipatahkan dari segenap sudut oleh musuh Islam — Israel dan Amerika — dengan menggunakan wasilah kerajaan transisi dan tentera Mesir.

Israel terutamanya, setelah peristiwa demonstrasi rakyat Mesir di bangunan kedutaan Israel di Kaherah (yang berjaya merobohkan dinding tinggi di sekelilingnya), berada dalam keadaan gelisah dan ketakutan. Kemenangan golongan Islamis di dalam pilihanraya penting di Mesir adalah mimpi paling ngeri bagi mereka. Tak mungkin Israel akan membiarkan perkara ini menjadi realiti.

* * * *

Pada penghujung tahun 1920-an, ketika detik-detik akhir pemerintahan Sultan Abd Hamid II, antara khalifah terakhir umat Islam di dalam khilafah Uthmaniyyah, muncul sebuah gerakan yang dinamakan sebagaiTanzim Al-Ittihad Wattaraqqi. Gerakan yang bertujuan menumbangkan sistem khilafah dan menegakkan sistem nasionalisme di Turki ini muncul dengan tajaan Freemason dan beberapa tokoh Yahudi pada masa itu.

Setelah gerakan ini berjaya melakukan beberapa pelan yang membenarkan mereka menjadi suara majoriti dalam dewan kepimpinan Uthmaniyyah ketika itu, mereka mendapati ketegasan Sultan Abd Hamid II dalam mempertahankan kedaulatan sistem Khilafah dan syariah sebagai satu penghalang besar kepada objektif perjuangan mereka.

Dengan menggunakan taktik menimbulkan kacau bilau dalam negara, gerakan ini telah menggerakkan sebahagian ahlinya ‘menyamar’ dengan memperjuangkan sistem Syariah Islamiah, dan meminta Khalifah memecat ahli dewan kepimpinan daripada Tanzim Ittihad Wattaraqqi yang menolak perlaksanaan Syariah. Seruan ini menimbulkan huru hara dalaman dan mendapat pengaruh dari kalangan masyarakat biasa.

Perkara ini dijadikan alasan oleh ahli dewan kepimpinan untuk menggerakkan tentera kerajaan supaya bertindak keras dengan segera ke atas semua yang terlibat dalam seruan menumbangkan dewan kepimpinan Uthmaniyyah, termasuklah Sultan Abd Hamid II sendiri yang dikatakan mempunyai kaitan dengan seruan tersebut.

Taktik dan perancangan mereka menimbulkan huru hara dalaman untuk mengambil alih pemerintahan berjaya dengan terlantiknya boneka baru bagi mereka, Sultan Muhammad V. Ketegasan Sultan Abd Hamid II mempertahankan sistem khilafah dan syariah berjaya dipatahkan, dan mereka berjaya memegang pemerintahan dengan penguasaan ke atas dewan kepimpinan dan tentera.

* * * *

Para pengamat peristiwa yang terjadi sekarang ini di Medan Tahrir dengan mudah dapat mengaitkannya dengan peristiwa di atas.

Kacau bilau yang berlaku di Medan Tahrir kini, tidak mustahil dikatakan sengaja dibiarkan muncul dan dibiarkan melarat supaya menjadi sebab kepada penangkapan dan pengharaman parti politik Islamis yang akan dituduh sebagai dalang kacau-bilau dan huru-hara di Medan Tahrir.

Ikhwan Muslimin melakukan tindakan bijak dengan mengisytiharkan bahawa mereka tidak akan terlibat dalam perhimpunan besar-besaran pada hari Selasa, 22 November, kerana sebarang penglibatan lanjut Ikhwan secara rasmi di dalam perhimpunan di Medan Tahrir hanyalah akan membuka ruang bagi tentera melancarkan serangan dan penangkapan massa ke atas ahli-ahli Ikhwan dan penyokongnya  di kalangan rakyat awam.

Tentera dan kerajaan transisi Mesir yang berada di bawah telunjuk Israel dan Amerika akan terus melakar perancangan lain selepas ini bagi memastikan terpadamnya cahaya kemenangan parti-parti Islamis dalam pilihanraya akan datang. Apa pun ia, yang menjadi korban dalam hal ini ialah rakyat biasa Mesir, yang hanya mengharap secebis cahaya demi masa depan mereka, dan anak-anak mereka kelak. Sekiranya Ikhwan dan golongan Islamis lain berjaya membuka mata masyarakat dengan kefahaman supaya bertahan dengan rasional dan mencuba sedaya-upaya memelihara roh thaurah dan kebangkitan baru di Mesir, maka dengan izin Allah, Mesir akan membuka langkah baru dan terus memimpin kebangkitan rantau Arab yang dinanti-nantikan.

Oleh: Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim,
Mahasiswa Tahun 3, Kuliyah Syariah,
Universiti Al-Azhar, Kaherah

Sumber http://www.ismaweb.net/v4/2011/11/menuju-pilihanraya-tribulasi-demokrasi-mesir/