:salam
Mohon maaf, nak tanya sikit.
Kepala saya terkena bulu babi yang terdapat pada berus di kedai hardware. Kepala berpeluh ketika itu. Kemudian semasa ke parking, hujan rintik2, saya terus masuk kereta, dan kepala saya bergesel dengan bingkai pintu dan bumbung kereta.
Soalan saya, apa yang harus dilakukan kepada kereta tersebut?
Terima kasih kerana membaca soalan yang mungkin remeh bagi sesetengah pihak, tetapi penting bagi saya kerana kereta yang sama saya gunakan unutk ke masjid.
:wassalam
wa'alaikumussalam
Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan anda dengan kadar kemampuan yang ada, InSyaAllah.
Menurut Mazhab Syafie, tempat yang terkena bekas sentuhan Najis Mughallazah seperti anjing dan babi, didalam keadaan salah satunya basah hendaklah dihilangkan najis dengan disertu; yakni 7 kali basuhan air mutlaq termasuk salah satunya dengan tanah. Ini termasuklah boleh menggunakan air sungai yang mempunyai keladak tanah bersamanya. Lakukan kepada bahagian kereta yang anda yakin terkena sentuhan tersebut.
Namun demikian, permasalahan bersentuhan dengan babi ini khilaf (berselisih) dikalangan ulama'. Imam al-Nawawi rh berpendapat bahawa kenajisan anjing dan kenajisan babi adalah berbeza. Babi yang diharamkan adalah memakannya. Menurut Imam al-Nawawi rh mengenai cara menghilangankan kenajisan sentuhan babi :
واعلم أن الراجح من حيث الدليل أنه يكفى غسلة واحدة بلا تراب
"Aku tahu bahawa pandangan yang benar menurut dalil adalah mencukupi dengan membasuh (dengan air) sekali sahaja tanpa tanah" [al-Majmu, 2/604, cet Maktabah al-Irshad, Jeddah].
Menurut beliau lagi, Imam Ahmad dan Imam Malik juga mempunyai pandangan yang membezakan kenajisan antara Babi dan Anjing. Mereka mengatakan apa yang dicatat didalam syariat Islam adalah kenajisan Anjing dan bukannya Babi.
Jika anda berpegang kepada ijithad Imam al-Nawawi rh, maka memadai membasuh tempat yang terkena sentuhan bahagian babi tadi dengan satu siraman air. WA.
Sekian, wassalam.
خيرالأمين