1) Apa hukum angkat tangan sewaktu nak rukuk dan bangun dari rukuk? Macam mana kalo tertinggal
2) Bagaimana pula untuk bangun pada rakaat ke-3 dan ke-4. Wajib ke sunat? Selama ni tau yg bangun dari rakaat ke-3 tu sunat je.Macam mana kalo tertinggal
3) Bagaimana cara utk angkat tangan bangun dari rakaat ke-3. Bangun dan berdiri tegak dulu - tangan ke bawah baru angkat tangan dan selepas jatuhkan mula fatihah? Atau semasa nak bangun tu tangan terus angkat takbir bila dah berdiri?
بسم الله
والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد
1) Dituntut mengangkat kedua-dua tangan ketika (i) takbiratul Ihram, (ii) hendak rukuk (iii) bangun dari rukuk.
Malah, Imam Nawawi menukilkan ijmak bahawa sunat mengangkat tangan pada takbiratul ihram. Kata beliau:
اجمعت الامة على استحباب رفع اليدين عند تكبيرة الاحرام واختلفوا فيما سواها فقال الشافعي واحمد وجمهور العلماء من الصحابة رضي الله عنهم فمن بعدهم يستحب رفعهما ايضا عند الركوع وعند الرفع منه
"Ijmak umat bahawa sunat mengangkat dua tangan ketika takbiratul ihram. Dan mereka khilaf pada selain takbiratul Ihram. Syafie, Ahmad dan majoriti ulama dari kalangan sahabat dan tabien selepas mereka berpendapat sunat mengangkat dua tangan ketika mahu rukuk dan ketika bangkit darinya". (Syarah Sahih Muslim 4/95).
Walaubagaimana pun, nukilan ijmak bahawa ia sunat dipertikaikan oleh sebahagian ulama. Kerana ada ulama mengatakan wajib. Pun begitu, menurut Ibn Abdil Barr, walaupun ada ulama mengatakan wajib, tetapi tidak ada yang menghukum sesiapa tidak mengangkat tangan batal solatnya, kecuali Al-Humaidy, setengah pengikut Daud dan riwayat dari Auzaie.
Secara kesimpulan, hukumnya di sisi ramai ulama ialah: SUNAT.
2. Hukum mengangkat tangan ketika bangkit dari tasyahhud awal (untuk masuk ke rakaat ke-3) juga adalah sunat. Kerana sabit perbuatan tersebut dalam hadis yang sahih.
Abdullah bin Nafie menceritakan perbuatan Ibn Umar:
وإذا قام من الركعتين رفع يديه ورفع ذلك ابن عمر إلى نبي الله صلى الله عليه و سلم
"Apabila beliau bangkit dari dua rakaat, beliau mengangkat dua tangannya. Dan Ibn Umar menyandarkan hadis ini sebagai marfuk kepada Nabi Sallallahu Alahi Wasallam". (Sahih Bukhari 706).
3- Mengenai cara mengangkat tangan untuk bangun ke rakaat ke-3, ialah bangkit tegak dahulu barulah mengangkat tangan. Bukan mengangkat ketika duduk. Kerana sabit dalam hadis sahih:
وَلاَ يَرْفَعُ يَدَيْهِ فِى شَىْءٍ مِنْ صَلاَتِهِ وَهُوَ قَاعِدٌ
"Dan baginda tidak mengangkat dua tangannya dalam mana-mana bahagian solatnya ketika baginda duduk".
Direkod oleh Abu Daud (no: 744), Tirmizi (no: 3423). Kata Tirmizi: "hadis hasan sahih". Disahihkan juga oleh Imam Nawawi dalam Majmuk 3/447.
Wallahu A'lam.
http://abuumair1.wordpress.com