SJ-07-0047: Berzikir beramai2 (MOHON PENJELASAN AL-AHKAM)

Primary tabs

2 posts / 0 new
Last post
Anonymous (not verified)
SJ-07-0047: Berzikir beramai2 (MOHON PENJELASAN AL-AHKAM)

BERITA HARIAN ONLINE Rabu, 06 Disember 2006

Berzikir beramai-ramai tak salah

Oleh Dr Asmadi Mohamed Naim

IJTIHAD bererti menggunakan segala usaha dan kemampuan oleh mujtahid (ulama yang memenuhi syarat ijtihad) untuk mengeluarkan hukum pada sesuatu perkara. Persoalan menutup pintu ijtihad adalah isu utama apabila membicarakan perkembangan mazhab fiqh.
Kekusutan masyarakat Islam selepas jatuh sistem kekhilafahan amat berkait rapat dengan permasalahan ini. Ulama dilabelkan sebagai jumud, taksub dan terkongkong dengan fenomena ini.

Hasilnya lahir gerakan tajdid (pembaharuan) dalam kurun lalu, antaranya gerakan dipelopori Sheikh Jamaluddin al-Afghani dan dan Sheikh Muhammad Abduh. Perkembangan ini berterusan dan negara Arab menerima kesan besar atas gerakan ini.

Namun, masyarakat Arab tidak juga maju walaupun ikatan mazhab semakin terungkai. Walaupun, kemunduran negara Islam bukanlah bererti gerakan tajdid ini salah, kemunduran negara Islam, tetap dikaitkan dengan pegangan mazhab. Sila rujuk buku berkaitan al-Madkhal fi al-Fiqh al-Islami dan Tarikh al-Tasyri' al-Islami.

Jika itu keadaannya, kenapa tidak boleh digunakan hujah, kemajuan umat Islam Malaysia berpunca daripada ketertiban dan iltizam pada ulama khususnya ajaran dibawa ulama tafsir, hadis, aqidah, ulama fiqh dan ahli sufi yang haq.

Penulis tidak menafikan ada fenomena enggan berijtihad (mengeluarkan hukum baru) di kalangan ulama silam. Ia rentetan ramai golongan jahil mendakwa dirinya ulama dan berijtihad sesuka hati.

Keadaan kerosakan masyarakat itu menjadikan mereka mengeluarkan kaedah: ‘Tertutupnya pintu ijtihad’. Walhal pintu ijtihad terbuka luas sehingga hari kiamat kepada orang mempunyai syarat ijtihad.

Ada dua isu utama untuk diperkatakan mengenai zikir selepas solat fardu berjemaah dan lantang. Ia berkaitan bentuk zikir, menyebut secara kuat (lantang) dan menyebut secara berjemaah.

Secara umumnya berzikir dalam masjid ada dua bentuk iaitu pertamanya, zikir yang disebut dalam sunnah bahawa ia dilakukan selepas solat fardu. Kedua ialah zikir dinyatakan dalam sunnah ia dilakukan selain daripada waktu solat.

Hadis menerangkan zikir yang sunat dilakukan pada setiap kali selepas solat fardu ialah:

Hadis diriwayatkan Imam Muslim Rahimahullah daripada Abu Hurairah RA daripada Rasulullah SAW bermaksud:

“Sesiapa mengucapkan tasbih (subhanallah) setiap tiga kali selepas solat sebanyak 33 kali, dan tahmid (alhamdulillah) sebanyak 33 kali dan takbir (allahu akbar) sebanyak 33 kali, jadi semuanya 99 kali, kemudian menyebut: La ilaha illallah wahdahula syarikalah Lahulmulku walahulhamdu wahuwa ‘ala kulli syai`in qadir, untuk menggenapkannya 100 kali, nescaya diampunkan dosanya walaupun umpama buih di lautan.”

Isu kedua ialah menyebut zikir secara lantang dan berjemaah. Amalan ini dilakukan berdasarkan hadis diriwayatkan Imam Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Abbas RA bermaksud: “Meninggikan suara berzikir selepas orang ramai selesai daripada solat fardu sudah pun berlaku pada zaman Nabi SAW.”

Bahkan Ibn Abbas mengatakan lagi: Saya tahu mereka selesai menunaikan solat apabila saya mendengar zikir.

Hadis riwayat Ibn Abbas menerangkan perlakuan Rasulullah SAW dan huraian Ibn Hajar menunjukkan secara nyata bagaimana Rasulullah SAW dan sahabat berzikir secara lantang dan berjemaah.

Pandangan menolak hujah itu, berpegang kepada apa diriwayatkan Ibn Mas'ud yang pernah mengingkari perlakuan sekumpulan sahabat berkumpul dalam sebuah masjid untuk berzikir kepada Allah SWT, dan menganggapnya suatu bid’ah.

Ulama mentafsirkan tindakan Ibn Mas'ud dalam dua keadaan. Pertama kerana tidak sampai kepada Ibn Mas'ud hadis menyatakan keharusan berzikir beramai-ramai. Perkara ini diperakui ulama hadis bahawa tidak semestinya setiap sahabat mengetahui segala hadis.

Keduanya, bantahan tadi dikira sebagai qaul sahabi (pendapat sahabat) dan tidak boleh bercanggah dengan apa yang pasti daripada Rasulullah SAW.

Justeru, al-Sunnah dengan nyata membenarkan berzikir dengan lantang secara berjemaah selepas setiap solat fardu selagi tidak mengganggu orang bersolat. Justeru, perbuatan berzikir itu bukanlah suatu bid’ah seperti tersalah faham. Bahkan, perbuatan itu berpandukan kepada sunnah jelas.

Kesimpulan dapat buat daripada kenyataan Imam Syafie yang terakhir itu ialah:

Pertama, amalan berzikir dengan kuat harus untuk imam dan tidak (harus) untuk makmum menurut pandangan Imam Syafie.

Namun, beliau tidak secara terang-terangan mengatakannya haram atau sesat mahupun bidaah kerana pandangan salaf yang lain juga bersandar kepada hadis Ibn ‘Abbas namun Imam Syafie meraguinya kerana Abu Ma’bad terlupa dia pernah meriwayatkannya kepada ‘Amr bin Dinar seperti kata Imam Syafie : Seolah-olah dia (Abu Ma'bad) melupainya selepas dia meriwayatkannya (hadis) kepadanya ('Amr).

Manakala, hadis Ibn al-Zubair dianggap Imam al-Syafie sebagai mengambil kata-kata Ibn ‘Abbas seperti katanya: “Aku mengira apa diriwayatkan Ibn al-Zubair mengenai tahlil Nabi (zikir La ilaha illallahu) seperti apa diriwayatkan Ibn 'Abbas”.

Kedua; Imam Syafie berpendapat bahawa mana-mana imam berzikir dengan apa yang beliau nyatakan, sama ada secara kuat, mahupun senyap, atau selain daripada cara keduanya, maka ia adalah baik (hasan).

Imam al-Syafie menyebutnya sebagai baik (hasan). Namun perkara mempunyai sanad (sandaran) daripada sunnah secara nyata lebih baik daripada hasan. Tetapi sekiranya diamalkan perbuatan ini pada hari ini di depan mereka yang menolak zikir selepas solat, nescaya imam itu dicap sebagai pembawa bidaah, sesat dan ahli neraka! Inilah bahaya kejahilan terhadap keseluruhan hadis Nabi SAW atau taksub kepada pandangan seseorang.

Ketiga; Pandangan Imam al-Syafie Rahimahullah lagi: “Dan aku memilih (pendapatku) untuk imam dan makmum berzikir kepada Allah selepas selesai solat, kedua-duanya berzikir dengan senyap. Kecuali sekiranya imam dalam keadaan wajib dipelajari daripadanya sesuatu (cara bacaan berzikir), maka dia boleh melantangkan zikir sehingga ia melihat sesungguhnya mereka mempelajari daripadanya, kemudian dia berzikir secara senyap”.

Imam al-Syafie memilih perkataan ‘memilih’ untuk mentarjihkan atau menguatkan pandangannya. Itulah cara ulama hadis yang juga imam faqih. Memilih pandangan sendiri, tetapi bukan dengan membid'ahkan dan menyesatkan pihak yang tidak bersetuju dengannya khususnya dalam perkara yang masih terbuka untuk ijtihad.

Imam al-Nawawi pula berkata: “Ini dalil terhadap apa dipegang sebahagian ulama salaf iaitu disunatkan meninggikan suara dengan zikir al-takbir (Allahu akbar) dan – zikir lain selepas solat fardu. Manakala ulama mutaakhirin yang turut menghukumkan sunnah ialah Ibn Hazam al-Zahiri.

Semoga kita diberikan petunjuk dan Allah SWT menjauhkan kita daripada amalan bidaah dan ketaksuban pada mana-mana individu sehingga kita menolak hujah al-Quran dan Sunnah. Semoga kita menjadi pengikut ulama Salaf dan tidak mudah terpengaruh dengan aliran semasa yang membuang sumbangan ulama Salaf yang muktabar yang diterima umat sepanjang zaman. Semoga umat Islam lebih cermat dalam menghukum sebahagian masyarakat lain.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Universiti Utara Malaysia . Berkelulusan PhD (Fiqh & Usul Fiqh) dari UIA dan Ijazah Sarjana Muda Syariah dalam bidang al-Fiqh wa al-Tasyri' (Universiti of Jordan)
BERITA HARIAN ONLINE Rabu, 06 Disember 2006
http://www.bharian. com.my/m/ BHarian/Wednesda y/Agama/20061205 224323/Article/

Re: Berzikir beramai-ramai (MOHON PENJELASAN PANEL AL-AHKAM)

PErbahasannya yg sama ada di sini:
http://www.al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=MDForum&file=viewtopic&p=57068

Kita sarankan utk dengar audio penjelasannya di sini:
http://www.al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=14971

Jika tidak berpuas hati sila buat carian dalam arkib. Kita sudah banyak kali membahaskannya.

Harap maklum..

Topic locked