Terkesankah Tarbiyah Ramadhan Kepada Aqidah, Ibadah & Akhlaq Kita?

Primary tabs

Aqidah, ibadah & akhlaq insan menjadi segar sepanjang Ramadhan

Ramadhan Mentarbiyah Aqidah, Ibadah & Akhlaq Insan

By Shahmuzir

Ramai para ulama menggelar bulan Ramadhan sebagai bulan tarbiyyah.  Di dalamnya penuh dengan rahmat & keampunan ALLAH `Azza wa Jalla.  Ditambah pula makhluq ALLAH yang bernama Syaitan telah digari dan dibelenggu sepanjang bulan yang mulia ini.  Disebabkan oleh musuh utama manusia iaitu Syaitan itu telah dikeluarkan dari diari hidup manusia buat sementara waktu, maka manusia bisa beroleh kekuatan tambahan dalam membentuk diri untuk meletak bekalan taqwa ke dalam dada masing-masing.

 

Betapa ramainya manusia yang tiba-tiba menjadi dekat dengan ALLAH dan jinak dengan masjid apabila Ramadhan datang menziarahi hidup manusia.  Inilah barakah yang terdapat di bulan Ramadhan yang tidak ada pada bulan-bulan yang lain.

Aqidah

Dengan hadirnya Ramadhan, jiwa insan segera dekat dengan Rabbnya.  Tiba-tiba insan menjadi sedar bahawa Rabbnya sedang memerhatikannya.  DIA sedang melihatnya.  Kesyahduan Iman yang terbit dari lubuk hati tiba-tiba terasa.  Segar kerana perasaan bertuhan mula terasa.

Keikhlasan sebagai hamba mula terbentuk dari tarbiyah Ramadhan.  Setiap langkah dan nafasnya mula berlatih mengingati Tuhan.  Rukun-rukun Iman mula mengukuh terbina di dalam hati.  Betapa Ramadhan memang menjadi medan tarbiyyah memasak asas aqidah insan kepada Tuhannya.

Bukan itu sahaja, malah keimanan terhadap Nabi dengan mengamalkan sunnah-sunnah Nabi turut mekar pada bulan yang mulia ini.  Di sana sini para penceramah mengingatkan hadirin masjid dengan hadith-hadith akan kelebihan Ramadhan.  Walaupun masih terdapat para ustadz yang tanpa mereka sedari telah menyampaikan hadith-hadith dhaif, malah palsu, namun senario manusia berduyun-duyun mengambil fadhilat-fadhilat tersebut menunjukkan betapa suburnya kepercayaan mereka kepada hadith-hadith Nabi yang selama ini tandus tidak bersiram.  Nah, Ramadhan memang medan membaja insan dengan aqidah beragama.  Semua elemen rukun Iman mula dibaiki sepanjang tempoh ini.

Ibadah

Segala pujian bagi ALLAH yang menciptakan bulan ini yang darinya membuatkan manusia kuat ibadah kepada ALLAH.  Peluang amalan berganda sentiasa menjadi fokus hambaNYA yang beribadah.  DIA lah Ilah yang segala ibadah semuanya tertumpu kepadaNYA.

Yang jarang ke masjid, mula ke masjid.  Yang tidak menutup aurat, mula menutup aurat.  Yang selama ini menyimpan al-Quran di tempat tinggi lama tidak membukanya, mula membuka dan membacanya.  Yang jarang ke majlis ilmu, mula berjinak duduk menghirup udara ‘taman syurga’ itu.  Yang malas solat, mula jaga solat kerana risau puasanya tidak diterima.  Pendek kata, kita lihat ramai manusia menjadi kuat beribadah kepada ALLAH apabila mulanya 1 Ramadhan.

Inilah keberkatan Ramadhan.  Hati manusia menjadi jinak dengan agama.  Semuanya berebut-rebut ganjaran yang berganda-ganda.  Betapa Ramadhan meniup semangat insan untuk beribadah kepada ALLAH.

Akhlaq

Puasa Ramadhan menyebabkan badan manusia lemah.  Bukan sahaja badan lemah, malah nafsu juga lemah.  Ditambah pula dengan hadith Nabi sallAllahu `alaihi wasallam mengatakan bahawa ALLAH tidak berhajat dengan puasa seseorang jika lidahnya tidak dijaga.  Di dalam hadith qudsi juga, ALLAH Ta`ala juga telah mengatakan bahawa puasa ialah sebagai perisai yang boleh menjadi asbab yang ampuh untuk manusia menjaga akhlaqnya.

Atas faktor-faktor di atas, maka Ramadhan tentunya bisa menjadi medan kursus yang efektif untuk mentarbiyyah manusia dalam bab akhlaq.  Kita sedia maklum bahawa lidahlah selalu menjadi faktor manusia bergaduh dan bertelingkah.  Justeru, Ramadhan dilihat boleh menarik perhatian manusia agar berhati-hati dalam bab menggunakan lidah untuk bercakap.

Malah, ALLAH `Azza wa Jalla menyarankan manusia apabila diajak bergaduh atau bertengkar, jawablah kepada orang itu “sesungguhnya saya sedang berpuasa”.  Nah, puasa bisa menjadi medan ampuh manusia mendidik nafsunya agar bersabar dan jangan cepat melatah dengan perangai manusia yang terburu-buru.

Bukan sahaja lidah, malah lain-lain pancaindera seperti mata, telinga, tangan dan kaki turut terdorong menjadi lebih baik di bulan yang mulia ini.  Kerana nafsu sudah lemah disebabkan berpuasa.  Ditambah pula kerisauan pahala puasa menjadi luput akibat menggunakan pancaindera di jalan yang salah.

Malah hati juga semakin lembut dan mula berfikir tentang nasib orang lain yang lebih susah.  Hati mula sensitif, simpati dan empati terhadap orang lain.  Ini kerana nafsu yang selama ini beraja di dalam hati sudah menjadi lemah dan hati yang sejahtera mula segar dengan keimanan kepada ALLAH.  Apabila hati mula baik, maka lain-lain pancaindera pun akan turut menjadi baik.  Kerana hati itu raja.

Maha Suci ALLAH.  Betapa Ramadhan sangat memberi kesan kepada manusia dalam mendidik akhlaq.

Ya, Ramadhan memang medan tarbiyyah.  Ia medan kursus untuk menyegarkan kembali aqidah, ibadah dan akhlaq.  Agar semuanya lurus di atas jalan ALLAH.  Namun, berapa ramai yang betul-betul berpatisipasi di dalam kursus sebulan ini lantas melahirkan buah tarbiyyah yang cantik?  Tidak ramai.  Moga-moga saya dan kalian tergolong di dalam golongan hambaNYA yang berjaya melalui Ramadhan dengan diijazahkan ketaqwaan di dalam diri, amin.

- www.muzir.wordpress.com

---

Sumber Artikel:  http://muzir.wordpress.com/2011/08/13/ramadhan-mentarbiyah-aqidah-ibadah-akhlaq-insan/