Isteri yang kematian suaminya ingin mendapat zuriat dengan menggunakan sperma yang diselamatkan oleh doktor sebelum suaminya meninggal dunia
Soalan: Saya sedang membuat kajian tentang pandangan dalam agama mengenai :- seorang isteri yang kematian suaminya ingin mendapat zuriat dengan menggunakan sperma yang diselamatkan oleh doktor sebelum suaminya meninggal dunia...Apa pendapat tuan dari segi agama dan masyarakat malaysia mengenai cerita tersebut. (kes ini berlaku di florida) Terima kasih
Jawab
Alhamdulillah, inilah jawapanya:
Iaitu meletakkan benih lelaki pada rahim perempuan, atau mensenyawakan benih lelaki dengan benih perempuan melalui cara buatan, iaitu tidak melalui hubungan jenis secara langsung.
Hukum mengenainya dapat diringkaskan sebagai berikut:
Masalah 1:
Pensenyawaan tersebut, jika ia dari benih dari suami dan isteri, maka syarak tidak melarangnya. Ia dapat menjadi satu cara untuk ibubapa menimang cahaya mata apabila cara biasa gagal. Manakala jika benih itu bukan dari suaminya, maka hukumnya adalah haram. Kerana di dalamnya terdapat satu rupa bentuk perzinaan yang terjadi percampuran nasab, melemahkan pertalian keluarga, menghilangkan hak, menimbulkan bibit-bibit hasad, dengki dan perkelahian.
Anak yang lahir dari pensenyawaan yang dilakukan antara benih suami dan isteri, maka sabit dan sahlah nasab kepada dua suami isteri itu (boleh dibinkan kepada bapanya). Manakala yang bukan dari benih suaminya, maka ia seperti hukum anak zina.
Hukum di atas adalah termasuk:
1. Meletakkan benih lelaki dalam rahim perempuan, atau
2. Disenyawakan di dalam tabung uji, kemudian dimasukkan kembali ke dalam rahim.
Masalah 2:
Mensenyawakan antara benih lelaki dan perempuan, kemudian di masukkan ke dalam rahim seorang perempuan yang lain untuk disempurnakan perkembangannya. Boleh jadi perempuan pertama itu (tuanpunya benih) tidak mampu untuk hamil, atau kerana mandul atau atas sebab-sebab lain.
Perbuatan ini ternyata haram. Kerana, pada masalah pertama ialah memasukkan benih lelaki sahaja (yg bukan suaminya) ke dalam rahimnya sudah dihukumkan haram, apatah lagi pada masalah ini, iaitu dengan memasukkan dua benih lelaki dan perempuan ke dalam rahimnya. Maka sudah tentu lebih diharamkan lagi. Anak yang dilahirkan adalah seperti hukum anak zina.
Masalah 3:
Masalah: Membekukan benih suami supaya ia berada dalam keadaan yang baik untuk disimpan dalam tempoh yang lama. Kemudian apabila suaminya meninggal dunia, isterinya ini mensenyawakan benih tersebut dengan benihnya? Apa hukumnya?
Jawab: Hukumnya adalah haram. Di mana jika ia melakukan pensenyawaan itu selepas habis tempoh iddahnya, dia dan suaminya adalah ajnabi. Dia sendiri boleh dikahwini oleh lelaki lain. Manakala jika ia dilakukan sebelum tamat tempoh iddahnya, maka ia adalah seperti hukum perempuan yang ditalaq dengan talaq ba'in, di mana suaminya tidak boleh rujuk kembali.
Anak yang dilahirkan itu nanti, adalah seperti hukum anak zina. Ia hendaklah dinasabkan (dibinkan) kepada ibunya.
(Lihat Ahsanul Kalam Fil Fatawa Wal Ahkam, vol. 1, hal.113 - 115)
-----------
Masalah: Saya sedang membuat kajian tentang pandangan dalam agama mengenai :- seorang isteri yang kematian suaminya ingin mendapat zuriat dengan menggunakan sperma yang diselamatkan oleh doktor sebelum suaminya meninggal dunia...Apa pendapat tuan dari segi agama dan masyarakat malaysia mengenai cerita tersebut. (kes ini berlaku di florida)
Jawab: Hukumnya adalah haram, dan anak yang dilahirkan adalah anak zina kerana tidak terdapat `firasy' ketika ia dilahirkan.
Wallahu a'lam.
zain y.s.
Rujuk: http://al-ahkam.net/forum09/viewtopic.php?f=102&t=28180&p=34707
Petikan Berita
Wanita mahu sperma dari mayat suami
MANHATTAN: Seorang janda memohon kebenaran mahkamah mendapatkan sperma daripada suaminya yang membunuh diri untuk membolehkan dia mendapat zuriat.
Menurut Victoria Chege, dia kesuntukan masa dan merayu hakim menerima permohonan itu bagi membolehkan impian suaminya, George Kamau, terlaksana.
Kamau, 37, menggantung dirinya di Norwalk, Connecticut, pada 11 Oktober lalu.
Victoria memohon mahkamah membenarkan dia mengambil sperma Kamau dan dibekukan sebelum dijadikan benih dalam rahim wanita lain.
Tidak dapat dipastikan mengapa Victoria enggan mengandung sendiri.
“Kamau memang berhajat mendapat waris sebelum dia menemui ajal,” katanya.
Justeru, Victoria memohon hakim membuat keputusan segera bagi memastikan keturunan Kamau berterusan.
Sementara itu, walaupun hakim memberi kebenaran, ia mungkin terlewat kerana sperma mesti diambil dalam tempoh 36 jam selepas seseorang mati. - Agensi
Sumber: http://www.hmetro.com.my/articles/20101018005624/Article