JH-MUTIARA-002- Tuntutan Berfikiran Positif

Primary tabs

 

احْرِصْ عَلَى مَا يَنْفَعُكَ وَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَلاَ تَعْجِزْ

Maksudnya: Bersungguhlah kepada perkara yang memberi manfaat untukmu dan mohonlah bantuan daripada Allah, dan janganlah merasa lemah.

(Hadith riwayat Muslim – no.6945)

Huraian:

Sekiranya hadith ini benar-benar dihayati oleh setiap muslim dan muslimah, ia seharusnya memberikan satu kekuatan dalaman untuk berusaha dan berjaya dalam hidup. Ia juga memberikan gambaran bahawa Islam adalah agama positif yang mengaitkan antara usaha dan tawakkal kepada Allah SWT.

Tiada perkara yang mudah di dalam dunia ini. Untuk mendapat kejayaan, kebiasaannya manusia perlu menempuh pelbagai ujian dan cabaran. Untuk memperolehi kejayaan, manusia seharusnya berusaha dengan sepenuh hati di samping bergantung kepada Allah SWT yang Maha Berkuasa.

Di dalam hadith ini kita dapati penekanan diberikan oleh Rasulullah SAW kepada beberapa perkara. Perkara utama ialah kita perlu memastikan bahawa setiap tindakan kita menuju perkara yang memberikan manfaat, bukannya membawa mudharat. Seterusnya, Rasulullah SAW memberikan keutamaan kepada sifat ‘bersungguh-sungguh’ dan bukannya sambil lewa atau bersahaja.

Akhirnya, Rasulullah SAW menyuruh kita agar tidak memutuskan hubungan dengan Allah SWT dalam proses kita menuju kejayaan. Semuanya ini menunjukkan betapa Islam adalah agama yang memberikan harapan, bukannya membangkitkan sifat putus asa. Berputus asa dalam hidup adalah petanda bahawa hubungan kita dengan Allah SWT semakin lemah.

Dalam sepotong hadith yang pendek ini (diambil daripada sebuah hadith yang lebih panjang), kita dapat melihat betapa Islam tidak mengasingkan urusan dunia daripada urusan akhirat. Malah Islam memberikan panduan agar kehidupan duniawi seorang muslim dan muslimah lebih cemerlang dan penuh dengan kejayaan. Ingatlah – bersungguhlah dalam menuju perkara positif dalam hidup tanpa melupakan Allah SWT, tempat kita bergantung.