Malik Bennabi dan Falsafah Tajdid

Primary tabs

Dr Ahmad Nabil Amir | Abduh Study Group, Islamic Renaissance Front

Malik Bennabi (1905-1973), adalah nama yang mungkin tidak asing bagi para Islamis yang mempelopori agenda reformis.  Beliau merupakan sosok humanis Islam par excellence yang telah mengukir sumbangan yang bermakna dalam merangka strategi pembangunan dan pencerahan di dunia Islam.

Malik Bennabi inilah yang disanjung oleh pemikir dan pemimpin Hizb an-Nahdah Tunisia masakini, Rached Ghannouchi sebagai tiang seri pemikiran Islam dan pencetus semula rasionalisma Ibnu Khaldun.

 


Malik Bennabi yang dilahirkan di kota Constantine di Algeria menghabiskan usianya dalam mencari punca masalah terhadap kemunduran umat Islam masakini. Walaupun mempunyai latar-belakang akademik seorang jurutera, hampir keseluruhan tulisannya adalah berkaitan sains sosial, sejarah dan tamadun.

The Question of Culture mencetuskan idea renaissance di dunia IslamPencetus ide Renaissance di dunia Islam

Malik Bennabi di dalam bukunya “The Question of Culture” menyebutkan: “The organization of society, its life and movement, indeed, its deterioration and stagnation, all have a functional relation with the system of ideas found in that society. If that system were to change in one way or another, all other social characteristics would follow suit and adapt in the same direction”.

[Dalam organisasi sesebuah masyarakat, kehidupan dan pergerakannya, sesungguhnya, kemunduran dan kejumudan, kesemuanya mempunyai kaitan dengan sistem ide yang terdapat dalam masyarakat tersebut. Sekiranya sistem itu berubah dalam satu arah atau sebaliknya, segala ciri sosial akan menurutinya dan beradaptasi mengikut arah yang sama].

Katanya lagi: “Ideas, as a whole, form an important part of the means of development in a given society. The various stages of development in such a society are indeed different forms of its intellectual developments. If one of those stages corresponds to what is called “Renaissance”, it will mean that society at that stage is enjoying a wonderful system of ideas; a system that can provide a suitable solution to each of the vital problems in that particular society”.

[Ide, secara keseluruhannya, membentuk satu juzuk daripada kaedah pembangunan sesuatu masyarakat itu. Pembangunan yang berperingkat dalam sesebuah masyarakat adalah merupakan pembangunan intelektual yang berbagai rupa. Sekiranya salah satu daripada peringkat perubahan itu bersesuaian dengan apa yang dinamakan “Renaissance” – kebangkitan - maka masyarakat pada ketika itu sedang menikmati sistem ide yang sungguh menakjubkan; sistem yang dapat memberi penyelesaian yang jitu bagi setiap masalah utama di dalam masyarakat tersebut].

Faham renaissance yang dicanangkannya berpijak pada aspirasi yang jelas bagi mencetuskan pembaharuan yang substantif dan membebaskan umat daripada penjajahan budaya dan intelek dan memacu kemajuan berfikir dan kesedaran ijtihad. Sejarah mencatatkan sumbangan pemikirannya yang tuntas dalam mengungkapkan aspirasi pembangunan bagi mengangkat martabat ekonomi dan budaya dan menyemarakkan kefahaman agama.

Bennabi dan Neomodernisme

Menurut Moh.Nurhakim dalam bukunya “Neomodernisme dalam Islam” tentang sumbangan Bennabi dalam merangka strategi pembangunan bagi dunia ketiga, paradigma peradaban alternatif yang dicadangkan oleh Bennabi merumuskan bahawa kebangkitan sosial, filsafat, peradaban, sastera dan agama harus ditangani dan diasaskan bagi memungkinkan penghasilan dan pembinaan semula tamadun dan peradaban. Kreativiti umat harus digilap dan perubahan masyarakat harus dianjurkan dengan kekuatan sistem dan keaslian gagasan bagi menangani dan melahirkan budaya yang berkesan.

Menurut Bennabi faktor penting yang menghambat kemajuan umat adalah krisis keyakinan dan ide. Bagi menanganinya, Bennabi mengusulkan tiga langkah yang ideal: pertamanya, merumuskan persoalan pokok tentang masalah peradaban Islam iaitu kegawatan ide. Kedua, arif tentang kedudukan umat dalam konteks peralihan dan perjalanan sejarah. Hal ini menuntut pengetahuan yang tepat tentang posisi umat Islam dalam kitaran dan roda sejarah supaya dapat dihubungkan dengan pemikiran dan tindakan yang sesuai berdasar realiti sosio historis. Ketiga, merumuskan semula jati diri insan dan menempatkannya ke posisi sentral.

Untuk ini, harus diberi pertimbangan antara ketiga-tiga unsur manusia: ‘aql, amal dan materi agar dapat mempengaruhi dinamika masyarakat.

Al-Ra‘d ayat 11: “Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah kondisi dalaman mereka sendiri” Teori perubahan yang digagaskan Bennabi menekankan kepentingan agama sebagai pemangkin (catalyst) terhadap perubahan. Baginya agama menjadi prasyarat bangkitnya peradaban, dan semangat keagamaanlah yang telah mencetuskan kejayaan Islam sepertimana renaissance di barat lahir daripada kesedaran etika dan moral.

Bennabi menjelaskan konsep perubahan tertakluk kepada dua ransangan: pertama, unsur metafizik yang berperanan dalam perubahan di semua tahap, individu, sosial dan sejarah. Kedua, kekuatan dalaman manusia dan sumber material bagi membangun kembali peradaban.

Yang demikian ini merujuk kepada prinsip al-Qur’an, seperti diungkapkan dalam surah Al-Ra‘d ayat 11: “Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah kondisi dalaman mereka sendiri” [13: 11] dan surah al-Anfal ayat 53: “(siksaan) yang demikian itu adalah karena sesungguhnya Allah sekali-kali tidak akan merubah sesuatu nikmat yang telah dianugerahkan-Nya kepada suatu kaum, hingga kaum itu merubah apa-apa yang ada pada diri mereka sendiri” [8: 53].

 

Seputar Pemikiran Bennabi

Tema-tema pokok pemikiran Bennabi berkisar seputar pandangan dan falsafah agama, kefahaman teks yang rasional, maqasid syari’ah, tafsir sosial terhadap al-Qur’an, idealisme sejarah dan fiqh al-waqi‘.

Pandangan dan falsafah pemikirannya banyak dipengaruhi oleh Ibn Khaldun, yang dianggapnya sebagai bapa sosiologis Islam, dan Condillac, filasuf besar abad ke-18 yang berasal daripada Perancis. Bennabi turut terkesan dengan karya-karya besar pemikir dunia seperti buku L.Ombre Chaude De I’Islam oleh Isabella Eberhardt,  L’Islam Entre La Balaine et I’ours oleh Eugen Jung, dan Umm al-Qura oleh ‘Abd al-Rahman al-Kawakibi.

Fenomena al-Qur’an antara karya Bennabi yang diterjemahkanKarya-karya yang dihasilkan Bennabi banyak menyentuh tentang hubungan pemikirannya dengan masyarakat yang lahir dalam lingkungannya, dan aspirasi moden yang digagaskannya berkait dengan politik, falsafah, sejarah, agama dan peradaban, seperti yang dirakamkan dalam buku-bukunya.

Al-Zahiriyat al-Qur’aniyah (Fenomena al-Qur’an), Musykilat al-Afkar al-‘Alam al-Islami (Konflik Pemikiran di Dunia Islam) Shurut al-Nahdah (Syarat-syarat Kebangkitan) Fikrat al-Afriqiyat al-Asiawiyat fi Dau’i al-Mu’tamar Bandunj (Pemikiran Asia Afrika dalam Konteks Persidangan Bandung), Musykilat al-Hadarah (Kemusykilan Peradaban), Wijhat al-‛Alam al-Islami (Arah Dunia Islam), Afaq Jazairiyyah (Ufuk Jazirah) dan sebagainya adalah beberapa buku yang terhasil daripada daripada pemikirannya yang unggul.

Pandangan Bennabi Tentang Peradaban

Bennabi bersikap neutral terhadap keadaan umat Islam yang mundur dan Barat yang begitu maju dalam segenap ruang. Beliau mengkritik Muslim yang hanya melihat dunia dan kebudayaan Barat daripada dua sudut yang sangat ekstrem. Samada mereka memandangnya dengan pandangan yang suci lagi kudus ataupun memandangnya dengan penuh kehinaan dan kebejatan.

Beliau sendiri tidak merasa lebih hina mahupun lebih mulia daripada Barat semasa hayatnya. Beliau memilih sikapnya yang tersendiri dalam sutuasi ini. Kebangkitan tamadun Barat dan kemerosotan masyarakat Islam hanyalah merupakan kitaran sejarah. Bennabi yakin akan dunia Islam mampu untuk mencapai renaissance-nya dan beliau cuba mencari jalan yang sistematik untuk meraihnya.

Bennabi percaya bahawa umat Islam mampu untuk mengulangi kitaran sejarah.

“Dan hari-hari itu kami pergilirkan dikalangan manusia” [Ãli-Imran: 140]

Untuk itu perkara yang menyebabkan keruntuhan kerajaan Abbasiyyah yang menerajui dunia pada ketika itu dengan Baitul Hikmah-nya (House of Wisdom) akibat tewasnya rasionalisma yang dipertahankan oleh para cendikiawan Muktazilah harus dikaji dan diteliti.

Peradaban berada pada sisi sentral dalam pemikiran Bennabi. Beliau telah merangka persamaan bagi peradaban:

Manusia (Insan)+Tanah (Turab)+Waktu (Waqt) = Peradaban (Hadarah)

Sesungguhnya, manusia, tanah dan waktu sahaja tidak mungkin menghasilkan suatu peradaban menurut Bennabi. Ia memerlukan agama ataupun ide spiritual sebagai pemangkin agar persamaan (equation) ini dapat befungsi.

Bennabi percaya bahawa umat Islam mampu untuk mengulangi kitaran sejarahAgama merangsang ruh agar ia berupaya untuk meningkatkan masyarakat ini daripada keadaannya yang beku. Ia merupakan suatu elemen penting yang perlu diasimilasikan oleh sesuatu masyarakat sebelum sesuatu kitaran peradaban itu bermula. Perubahan hanya akan berlaku apabila apabila berlakunya perubahan dalam wilayah ide (realms of ideas) yang akan membuahkan suatu peradaban.

Antara tiga elemen tersebut di atas, manusia-lah yang paling penting. Manusia merupakan faktor utama dalam sesebuah peradaban. Sekiranya ia beranjak, maka beranjaklah juga masyarakat dan sejarah. Apabila ia berhenti sejenak, maka terpegunlah juga masyarakat dan sejarah.  Lantaran itu cabaran terbesar yang dihadapi umat Islam masakini adalah untuk menghasilkan manusia yang mampu untuk memanfaatkan tanah, waktu dan kreativiti mereka sendiri untuk mencapai matlamat mereka di dalam sejarah ini.

Bennabi melihat bahawa dilema yang dialami oleh negara-negara yang kurang maju bukannya kerana kekurangan dalam ruang kebendaan (‘alam al-ashya’) tetapi kerana kemiskinan ide. Mereka menganjurkan peradaban kebendaan (hadarah shahiyya) yang bersandarkan pemupukan harta-benda. Hal ini tidak mungkin meningkatkan peradaban mereka kerana harta benda semata tidak mungkin membangunkan peradaban. Tetapi pada hakikatnya, peradabanlah yang melahirkan segala produknya, dan ide mempunyai posisi yang sentral dalam membangunkan peradaban.

Bennabi memberi contoh bagaimana kehancuran Negara Jerman ketika perang dunia kedua dan bagaimana ia telah kehilangan wilayah kebendaan (realm of things) buat seketika. Akan tetapi ia berjaya membina semula “realm of things”-nya kerana peradaban terbentuk daripada wilayah ide (realm of ideas). Demikian ini ialah bukti bagaimana ide membantu dalam membangunkan sebuah peradaban dan menghasilkan kebendaan.

Kenihilan dan pembekuan ide akan memberi kesan yang serius kepada ruang kebendaan tetapi sekiranya ruang kebendaan ini musnah atas sebarang sebab, maka “harta” negara tidak akan mengalami sebarang kemusnahan. Sebarang usaha untuk merekonstruksi semula peradaban mestilah bermula dengan menganalisa dan menyaring ide yang terdapat dalam khazanah Islam. Proses ini akan mengakibatkan kepada penemuan semula apa yang pernah dikenali sebagai peradaban Islam.

Pemangkin Islah dan Tajdid

Ringkasnya, kesan pemikiran Bennabi memberi dampak yang jelas dalam wacana pemikiran semasa yang dibarengi oleh kekuatan teori dan ide yang dilontarkannya tentang isu dan permasalahan umat dalam dunia Islam kontemporer.

Pandangan dan idealisme pemikiran yang segar yang diwarnai oleh faham sejarah dan sosio budaya yang luas ini telah melantarkan perubahan yang substantif dalam dimensi budaya dan akhlak. Aspirasi perubahan yang diilhamkannya telah memangkin usaha pembangunan yang strategik dan mencetuskan kekuatan yang jelas dalam membangunkan semula asas politik, sosial, falsafah dan agama.

Asas pemikirannya yang kritis dan obor perjuangannya yang segar akan terus dinyalakan dan menjadi ide pembimbing (guiding ideas) dalam melantarkan dasar-dasar pemikiran yang rasional dalam usaha menggerakkan agenda islah dan tajdid.