GHAIBKAH ASHAARI MUHAMMAD?

Primary tabs

Oleh: Ustaz Mohd Aizam bin Mas'od

Kita amat-amat mengharapkan semoga dengan kematian Ashaari Muammad pada tanggal 13 Mei 2010, menjadi hujah bahawa segala ramalan dan dakwaan yang dicanang-canangkan oleh para pengikut al-Arqam (sekarang Global Ikhwan) selama ini adalah palsu dan rekaan semata-mata. Biarlah kematian Ashaari ini melahirkan kesedaran dan keinsafan kepada mereka bahawa Abuya yang mereka agung-agungkan itu hanyalah seorang manusia biasa yang tidak boleh lari malah tidak boleh berunding untuk menerima atau menolak kematian. Sebagaimana Rasulullah SAW, junjungan besar yang merupakan manusia teragung pernah tercipta di dunia ini, wafat dengan sebenar-benar wafat (bukan ghaib kubra atau sughra), apatah lagi kita yang hanya bertaraf umat Baginda SAW. Lihatlah bagaimana para sahabat terkasima di saat kewafatan Rasulullah SAW sehingga ada antara mereka yang meragui pemergian Baginda SAW menemui Kekasihnya. Lalu Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq bertindak sebagai pemberi ingatan. Abu Bakar lalu bangkit sambil menuturkan kata-kata berikut:

"من كان يعبد محمد فان محمد قد مات ومن كان يعبد الله فان الله حى لايموت"

Bermaksud: “Barangsiapa yang menyembah Muhammad, sesungguhnya Muhammad telah wafat, tetapi barangsiapa yang menyembah Allah maka sesungguhnya Allah itu Maha Hidup dan tidak menerima kematian”.

Lalu Sayyidina Abu Bakar membaca surah Ali Imran ayat 144

وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِ الرُّسُلُ أَفَإِنْ مَاتَ أَوْ قُتِلَ انْقَلَبْتُمْ عَلَى أَعْقَابِكُمْ وَمَنْ يَنْقَلِبْ عَلَى عَقِبَيْهِ فَلَنْ يَضُرَّ اللَّهَ شَيْئًا وَسَيَجْزِي اللَّهُ الشَّاكِرِينَ

“Dan tidaklah Muhammad itu kecuali seorang Rasul. Sudah berlalu rasul-rasul lain sebelumnya. Kerana itu, Apakah jika Muhammad meninggal dunia atau terbunuh,kamu akan murtad dan kembali kepada agama nenek moyang kamu?.Sungguh barang siapa murtad kembali kepada agama nenek moyang,tidak sedikit pun menimbulkan kerugian kepada Allah SWT.Dan Allah akan menganjarkan pahala bagi orang-orang yang bersyukur.”

Apa yang penting selepas kematian Ashaari, kita ingin melihat sejauhmana kepercayaan al-Arqam terhadap fahaman ghaibat al-imam (keghaiban imam) yang menjadi aqidah pegangan mereka selama ini masih utuh. Adakah fahaman ini akan terus kekal kerana pengganti imam (iaitu Ashaari Muhammad yang dianggap sebagai Pemuda Bani Tamim) telah meninggal dunia sedangkan Imam Mahdi (iaitu Syeikh Muhammad al-Suhaimi) masih belum muncul-muncul lagi. Secara akalnya, sudah tentu ini menjadi bukti kedangkalan kepercayaan ini! Masakan Ashaari yang dikatakan mengambil tempat Imam Mahdi sementara menantikan kemunculannya tiba-tiba meninggal dunia pula? Apa akan jadi jika sekarang tiba-tiba Imam Mahdi muncul? Siapakah yang akan menyambut ketibaannya sedangkan Pemuda Bani Tamim telah meninggal dunia?

Di sinilah timbulnya kebimbangan kita, mungkinkah akan timbul pula teori rekaan terbaru kononnya Abuya belum mati? Sebaliknya Abuya hanya ‘ghaib’ dan akan menjelma semula berjuang bersama-sama Imam Mahdi. Namun persoalan tetap timbul siapa yang mengetahui bahawa Abuya tidak mati dan akan kembali? Jika selama ini hanya Abuya yang boleh berinteraksi dengan Allah, nabi, malaikat dan rijalul ghaib, sekarang siapa pula yang akan mengambil tempat Abuya sementara menunggu Abuya muncul? Jika ada, bermakna orang tersebut sudah tentulah tidak kurang hebatnya seperti Abuya. Mungkin akan ada pula nanti Pemudi Bani Tamim atau Bintu Bani Tamim dan macam-macam lagi. Tapi persoalan masih tak selesai kerana jika ditakdirkan Allah SWT, si pengganti sementara Abuya itu juga mati? Apa akan jadi? Ghaib juga kah…wahakaza al-daur wa al-tasalsul la nihayata laha…

Di sinilah bermula dan berakhirnya aqidah yang batil dan palsu rekaan manusia. Tiada sumber yang boleh dijadikan pegangan, hanya dipenuhi dengan ramalan-ramalan dan telahan-telahan yang tidak berpenghujung. Akal yang waras pasti akan menafikannya. Aqidah al-Arqam ini jelas bukan bersumberkan Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Ia bersumberkan aqidah bid’ah dipopularkan oleh golongan Syiah. Tetapi golongan Syiah hanya mengatakan bahawa Imam Kedua Belas mereka yang ghaib dan ia tidak berlaku kepada pengganti-pengganti imam. Adapun, bagi al-Arqam, sudah kedengaran suara-suara sumbang yang mengatakan kononnya Ashaari masih hidup, hanya ghaib dan akan kembali.

Jika aqidah ini lah yang menjadi pegangan mereka, ini bermakna berlaku dua keghaiban dalam satu masa. Imam yang sebenar dan pengganti imam! Sangat kreatif kerana Syiah sendiri hanya mengatakan Imam Mahdi (Muhammad bin Hasan al-Askari) yang ghaib. Kaedah menyebut: “al-Faqid’ la yu’thi” bermaksud “Yang tidak memiliki tidak boleh memberi”. Logiknya, bagaimana yang ghaib boleh jadi pengganti kepada yang ghaib? Seterusnya, jika sebelum ini yang ditunggu-tunggu adalah Imam Mahdi (Syeikh Muhammad al-Suhaimi), tetapi kini yang ditunggu-tunggu adalah pengganti Imam Mahdi pula iaitu Abuya Ashaari Muhammad. Kesimpulannya, siapa sebenarnya yang ditunggu? Adakah ‘jadual Allah’ telah bertukar? Jika benar, siapa yang mampu menilik jadual Allah itu sehingga berani mengatakan, “Sekarang kita dah tukar plan B”.

Begitulah sifat aqidah yang batil. Ia tidak akan melahirkan kebenaran tetapi hanya akan mencambahkan lebih banyak kebatilan. Kebatilan di atas kebatilan dan begitulah seterusnya. Untuk mengetahui jawapan penulis terhadap kebatilan aqidah al-Arqam ini sila baca artikel-artikel lama penulis di ruangan Artikel di Web JAKIM di sebelah kanan blog ini.

Sumber: http://mufakkir-islami.blogspot.com/2010/05/ghaibkah-ashaari-muhammad.html