oleh: Islah
Sejumlah yang amat besar penulisan tentang kaedah penyelidikan hadith boleh didapati dalam bahasa Arab, tetapi generasi kita kini pada keseluruhannya tidak mengetahui bahasa Arab, oleh itu mereka tidak dapat mengambil faedah daripadanya. Bahkan orang-orang yang tahu berbahasa Arab pun mendapati kitab-kitab itu sukar difahami lantaran istilah-istilah yang digunakannya. Hanya beberapa buah buku sahaja tentang ilmu hadith yang ditulis dalam bahasa Inggeris, dan kebanyakannya pula seolah-olah bertujuan mengelirukan pembaca. Satu-satunya buku dalam bahasa Inggeris yang dapat diakui ditulis oleh Profesor Zubair Siddiqi. Saya telah pun membacanya kira-kira 15 tahun yang lalu, tetapi kini buku itu tidak boleh didapati lagi. Oleh itu, saya menulis buku Studies in Hadith Methodology and Literature untuk memenuhi keperluan pelajar-pelajar kolej, demikian juga orang kebanyakan yang terpelajar.
Penulis- Dr Muhammad Mustafa Azami (Univ. Riyadh)
Penterjemah- Dr Engku Ibrahim Engku Ismail (Univ. Malaya)
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka(Cetakan Pertama tahun 1989)
Bil. muka surat: 173
Ketika memerhatikan buku-buku yang ada di sebuah masjid di Kulim, Kedah, maka saya bertemu dengan buku yang hebat ini. Ia adalah terjemahan yang sah dari buku Studies In Hadith Methodology and Literature yang diterbitkan pada tahun 1977. Wallahualam sama ada Dewan Bahasa dan Pustaka masih menerbitkan lagi buku ini.
Penulisnya adalah profesor Ilmu Hadith di Kolej Pendidikan, Universiti Riyadh, Arab Saudi. Menariknya, beliau pernah menerima anugerah dari Raja Arab Saudi, Malik Fahd. Pastinya buku ini mempunyai kekuatan dalam menghuraikan metodologi dan penulisan hadith.
Kelebihan pada penulisnya sendiri yang boleh menguasai bahasa Arab dan bahasa Inggeris telah memungkinkannya menghasilkan buku dalam kedua-dua bahasa tersebut. Untuk mengetahui biodata lanjut tentang penulis, sila klik link di bawah:
http://www.lastprophet.info/en/content/view/290/2/
Buku ini terbahagi kepada 2 bahagian.
Bahagian 1: Metodologi Hadith
1. Hadith- Makna, Konsep dan Autoriti
2. Rasulullah- Hadith, Pengajaran, Pembelajaran dan Penyebarannya
3. Tahammul al-Ilm- Periwayatan Hadith
4. Pencatatan Hadith
5. Sistem Isnad ( Senarai Periwayat Hadith)
6. Kritikan Hadith- Sejarah dan Kaedah Penyelidikannya
7. Penggredan Ulama dan Kesannya terhadap Mutu Hadith
8. Pemalsuan Hadith- Sebab-sebab dan Cara Penghapusan
Bahagian 2: Penulisan Hadith
1. Kitab-kitab Hadith yang awal: Apa yang Terjadi Padanya
2. Imam Malik b. Anas
3. Ahmad b. Muhammad b. Hanbal
4. Imam Bukhari
5. Abu Husain Muslim b. Al Hajjaj al Nisapuri
6. Abu Abdur Rahman Ahmad b. Shuaib b. Ali b. Sinan b. Bahr al Khurasani al Nasai
7. Abu Dawud Sulaiman b. Al Ashath al Azdi al Sijistani
8. Muhammad b. Isa b. Saura b. Musa b. Al Dahhak al Tirmidhi
9. Abu Abdullah Muhammad b. Yazid al Rabi(Ibn Majah)
10. Abul Qasim Sulaiman b. Ahmad b. Ayyub al Tabarani al Lahkami
11. Abu al Saadat al Mubarak b. Muhammad b. Abdul Karim al Jazari( Ibn al Athir al Jazari)
12. Ali b. Abu Bakr b. Sulaiman al Haithami
13. Jalaluddin Abdur Rahman b. Kamaluddin al Suyuti
14. Kitab tentang perkara yang berhubung dengan Hadith
Salah satu fokus utama yang telah memberikan kekuatan pada buku ini adalah bagaimana penulis berjaya membawakan hujah dan fakta yang kuat membuktikan penerimaan, penulisan, pemeliharaan dan penyampaian hadith telah bermula sejak zaman Nabi S.A.W. apabila tugas-tugas ini dilakukan dengan teliti dan tekun oleh para sahabat. Kemudiannya disiplin ini diteruskan dan dikembangkan oleh ulama yang gigih dan amanah di sepanjang zaman.
Buku ini amat baik sebagai pengenalan ilmu hadith untuk semua golongan terutama kepada mereka yang ingin lebih mengetahui bagaimana disiplin pemeliharaan hadith dilakukan seterusnya boleh menjawab segala tuduhan musuh Islam yang prejudis dan anti hadith.
Wallahualam.