Surah Yasin memainkan peranan yang signifikan didalam kehidupan masyarakat Melayu Nusantara. Mahu atau tidak, kita kena terima hakikat kedudukan surah Yasin didalam kehidupan kita. Surah ini dibaca pada hari-hari kenduri, malam Jumaat, malam Nisfu Sya’ban, melawat jenazah, malahan ia juga digunakan didalam Ruqyah atau jampi keatas orang sakit. Surah ini juga dikatakan boleh diguna untuk menghalau makhluk-makhluk halus.
Secara umumnya, bagi majlis yang memerlukan bacaan ayat al-Quran yang ringkas, mereka akan menggunakan gabungan surah al-Fatihah dan surah-surah tiga Qul. Disebaliknya, surah Yasin akan dibaca pada majlis-majlis yang memerlukan bacaan-bacaan ayat yang agak panjang.
Banyak juga kritikan-kritikan terhadap pengamalan surah Yasin berdasarkan kepada kelemahan yang terdapat didalam hadith yang menjelaskan mengenai kelebihan membaca surah tersebut. Bagi mereka, tidak ada hadith sahih yang menjelaskan fadilat membaca surah Yasin, dan yang ada status hadithnya samada lemah (Dhaef) atau palsu (Mawdhu’).
Fadhilat ayat-ayat al-Quran memang tidak dinafikan tidak dapat lari dari menggunakan hadith-hadith yang lemah dan palsu. Namun begitu, kita juga tidak boleh menafikan wujudnya beberapa hadith-hadith yang dianggap sahih disisi ulama’-ulama’ terdahulu yang boleh diketengahkan sebagai hujah kepada pengamal-pengamal surah Yasin. Sekurang-kurangnya, jiwa kita menjadi sejuk mengamalkannya oleh kerana hadith ini sahih disini Imam-Imam Hadith, misalnya Ibnu Hibban , Al-Daarimi, dan lain-lain, walaupun ada dikalangan ulama’-ulama’ yang selepas mereka mendhaifkan hadith tersebut.
Diantara fadhilat yang masyhur adalah apabila seseorang itu membaca surah Yasin, semata-mata kerana Allah swt, dia akan mendapat keampunan darinya, tanpa mengkhususkan malam-malam tertentu.
أخبرنا محمد بن إسحاق بن إبراهيم مولى ثقيف حدثنا الوليد بن شجاع بن الوليد السكوني حدثنا أبي حدثنا زياد بن خيثمة حدثنا محمد بن جحادة عن الحسن عن جندب قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم من قرأ يس في ليلة ابتغاء وجه الله غفر له
Telah dikhabarkan kepada kami Muhammad bin Ishaaq bin Ibraahiim maula Tsaqif, telah diceritakan kepada kami Al-Walid bin Syujaa’ bin Al-Walid As-Sakunii, telah diceritakan kepada kami bapaku, telah diceritakan kepada kami Ziyaad bin Khaitsamah, telah diceritakan kepada kami Muhammad bin Juhaadah, dari Al-Hasan, dari Jundab telah berkata, telah bersabda Rasulullah saw.: “Barangsiapa yang membaca surat Yasin pada waktu malam dengan mengharapkan wajah Allah, maka akan diampuni dosanya”. [Hadith diriwayatkan oleh Ibnu Hibban #2574 didalam Sahihnya dan al-Mawaarid].
Hadith ini telah dikeluarkan oleh Ibnu Hibban didalam Sahihnya, Kitab Solat, bab Qiamulail. Ibnu Hibban mengatakan adalah mustahab (digalakkan) membaca surah Yasin setiap malam dengan bersungguh-sungguh, dengan maksud pengharapan kepada Allah swt, maka Allah akan mengampunkan dosa-dosanya yang lepas.
Al-Hafiz Ibnu Kathir juga menyebut hadith ini dalam Tafsir kepada Surah Yasin (3/563), dengan menyandarkan hadith ini kepada Ibnu Hibban. Imam al-Syuyuti didalam kitabnya Durr al-Manthur fi Tafsir bil-Ma’thur, diawal tafsir Surah Yasin (5/278) menyebut bahawa hadith ini di keluarkan oleh Ibn Hibban.
Kritikan ulama’ terhadap hadith ini adalah terhadap al-Hasan atau al-Hasan al-Basri , yang dikatakan mudallis, selain itu kesemua perawi hadith itu adalah tsiqah (dipercayai). Namun demikian, al-Hasan al-Basri terbukti mendengar sendiri dari Jundab sebagaimana dinyatakan oleh al-Bukhari didalam Sahihnya, kitab Hadith-hadith Anbiya’, nombor 3463.
Walaupun dikenali sebagai mudallis, namun tadlisnya boleh diterima, lebih-lebih lagi ‘an’anahnya mematuhi syarat al-Bukhari dan Muslim. Oleh yang demikian, ulama’ yang terdahulu (mutaqaddimin) masih menganggap beliau dikalangan perawi Tabien yang Tsiqah.
Hakikatnya, hadith ini dianggap sahih oleh Ibn Hibban dan kita boleh sandarkan kepada penilaian beliau. Jika pun ada yang menganggap hadith ini dhaef kerana tadlis isnad, kita masih boleh lagi mengamalkan hadith ini sebagai Fadhail ‘Amal, sebagaimana al-Hakim didalam Mustadrak (1/490) memetik pendapat Abdul Rahman bin Mahdi .
Menurut Abdul Rahman bin Mahdi bahawa jika riwayat Nabi :saw itu berkenaan persoalan hukum, Halal dan Haram, maka hendaklah sanad dan perawinya kukuh, manakala jika ia menyentuh berkenaan dengan Fadhilat Amalan, ganjaran dan pembalasan, perkara yang diharuskan dan do’a, maka sanad-sanad tidak perlu ketat.
Wujudnya beberapa hadih-hadith yang disahihkan oleh ulama mutaqaddimin berkenaan dengan fadhilat beberapa surah-surah al-Quran memberi jalan keluar kepada pertentangan dua golongan; iaitu golongan pertama yang menafikan sama sekali kesahihan fadhilat Yasin sebagai misalnya, dan golongan kedua yang tidak berhati-hati didalam memilih hadith-hadith fadhilat surah ini. Kita haruslah bersikap terbuka didalam kes ini, sekurang-kurangnya kita berpuas hati bahawa hadith diatas ini sebagai contoh, telah disahihkan oleh bukan sebarangan muhadith yang terdahulu.