Islam Embedded—The Historical Development of the Pan-Malaysian Islamic Party PAS (1951-003) [Islam Dipadu - Perjalanan Sejarah Parti Islam Se-Malaysia PAS (1951-2003)]
Pengulas: Yoginder Sikand
Penulis: Farish A. Noor
Penerbit: Malaysian Sociological Research Institute (MSRI), Kuala Lumpur
Tahun: 2004
ISBN: 983-99866-8-6
Dianggap oleh kebanyakan rakan Muslim yang lain sebagai ‘model’ terdekat sebuah negara Islam, Malaysia adalah negara berbilang kaum di mana penganut Muslim membentuk hampir enam puluh peratus dari populasi rakyat keseluruhan. Hampir semua etnik Melayu adalah Muslim, yang mana hasilnya Islam dan bangsa Melayu pada umumnya dilihat tidak dapat dipisahkan. Politik di Malaysia telah lama didominasi dengan wacana yang tertumpu pada isu agama dan bangsa, dan salah satu pemain utama dalam pentas politik Malaysia yang berliku adalah Parti Islam se-Malaysia (PAS); yang menjadi subjek perbahasan yang menarik dan mengujakan yang dibincangkan dalam buku ini oleh seorang penganalisis politik dan penggiat sosial di Malaysia Farish Noor.
Buku ini memuatkan sorotan dan rakaman sejarah yang mendalam tentang latar kemunculan dan perkembangan PAS di Malaysia sejak awal 1950an sehingga ke hari ini. Mengkritik wacana intelek daripada Barat dan juga wakil Islamis dalam pergerakan Islam sebagai statik dan tidak berkembang, Farish menampilkan perubahan yang signifikan dalam ideologi dan politik PAS mengikut peredaran zaman. Beliau dengan jenuh menekankan bahawa Islamisme bukan tinggalan fosil, yang tidak dapat menerima perubahan sama sekali. Bahkan, beliau mengungkapkan, diskusi Islam dan politik adalah dipengaruhi oleh rangkaian faktor luaran dan dalaman, yang wujud dalam perhubungan dialektik antara satu sama lain. Kerana hal ini berubah, teoritis dan ahli praktis Islam juga, terikut untuk merespon, Farish berhujah. Dengan mengangkat suara picisan dan akar umbi yang dipinggirkan dalam PAS, Farish juga merungkai faham harakah Islam yang dianggap sebagai monolitik dan yang seluruhnya tidak toleran kepada perbenturan dalaman.
Perbincangan Farish tentang asal usul dan perkembangan PAS ditempatkan dalam konteks yang lebih luas tentang kebangkitan aliran baru dalam memahami identiti Islam dan Muslim di akhir era kolonial di Malaya. Suara baru Islam ini bergerak dengan keupayaan mengkritik pendirian ulama’ konservatif kerana jelas tidak mengendahkan keluhan Muslimin yang ditekan di bawah arahan kolonis. Mereka juga menyerang ulama’ kerana permusuhan yang jelas terhadap gagasan ‘pemodenan’ atau setidaknya kurang kepedulian terhadap cabaran yang diasak oleh ‘moderniti’ terhadap bangsa Melayu Islam. Mereka cuba memberikan respon alternatif terhadap cabaran yang dihadapkan oleh ‘moderniti’ dan dalam ketika yang sama dapat diselaraskan dengan Islam. Pemikir-pemikir ‘modenis’ ini juga mendesak umat Islam untuk mengambil peranan yang aktif dalam arus perjuangan untuk merobah masyarakat mereka, menentang pemerintahan kolonis dan pada masa yang sama tidak teragak-agak untuk menyerap nilai terbaik yang diilhamkan daripada Barat dalam sektor pengetahuan dan teknologi.
Para pengasas PAS dilahirkan daripada sayap pemikir modernis Islam ini, Farish memberitahu kita. Kebanyakan mereka adalah sosok yang kental membela kepentingan etnik Melayu, yang dilihatnya telah dicabar oleh regim penjajah dan juga daripada gelombang penghijrahan kaum imigran Cina dan India. Mereka juga cukup kritikal tentang Sultan Melayu yang bekerjasama dengan British dan tidak menunjukkan keprihatinan tentang penderitaan kaum Melayu yang miskin. Sebahagian daripada mereka menanam sikap anti kolonis yang kuat, dan memainkan peranan penting dalam perjuangan Malaysia menentang penjajahan British. Sebahagiannya melangkah lebih jauh dengan menganjurkan muafakat yang melebar antara PAS, kumpulan Islam yang lain dan Parti Komunis Malaya untuk menentang British, dan setelah Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957, menentang pemerintah baru yang dilihat berperanan selaku rakan sekutu imperialime Barat.
PAS beriltizam untuk memperjuangkan kepentingan rakyat miskin, terutama di kawasan pedalaman Melayu, menggerakkan mereka atas nama Islam. Ia mengkritik keras parti pemerintah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) kerana mengkhianati kepentingan orang Melayu dan Islam dan setakat berfungsi sebagai perkakas kepada aparat elit imperialis Barat.
Ia juga menyanggah corak ‘pembangunan’ kapitalis yang dangkal yang dilancarkan oleh UMNO yang telah membawa kepada ketidakadilan sosial yang masif di dalam negara dan yang hanya lanjut memperkukuh elit pembesar yang telah lama berakar. Dalam peredaran waktu, bagaimanapun, Farish memberitahu kita, Islamisme progresif yang diwakili oleh perintis PAS terpaksa melalui perubahan yang signifikan di bawah tekanan pemilihan kerusi politik.
Hal ini berlaku seiring dengan penyingkiran golongan intelektual di dalam kepimpinan parti dan kebangkitan ulama’ konservatif, sejak akhir 1970an dan seterusnya. Farish melihat perkembangan ini sebagai sebahagian daripada tren global, dinyalakan oleh revolusi Iran 1979. Pemimpin PAS, yang pernah mengungkapkan tentang keadilan sosial dan kepentingan nasional dan malahan pernah menganjurkan kerjasama dengan komunis, sekarang mula menuntut penubuhan Negara Islam di Malaysia yang akan dipimpin oleh ulama’ yang alim berteraskan hukum syari’ah.
Tuntutan PAS membawa kepada persaingan yang sengit untuk memenangi undi orang Islam dengan UMNO di mana kedua parti berlumba menzahirkan aspirasi Islamnya mengatasi lawannya. Pergelutan yang sengit untuk meraih undi orang Islam dan keunggulan sebagai juru cakap Islam kini makin mendesak ke sudut yang ekstrim, Farish memberitahu kita, di mana pemimpin PAS dan UMNO kerap melontarkan tuduhan kafir dan murtad antara satu sama lain, melabelkan setiap golongan sebagai ‘agen’ kepada ‘musuh-musuh’ Islam.
Farish melihat komitmen yang diikrarkan UMNO terhadap Islam sebagai separuh-hati, jika tidak hipokrisi, kepelbagaian ukuran ‘Islam’nya dirangka dengan teliti agar sama ada mereka dapat lanjut mempromosi dasar imperatif kapitalis dan autoriti UMNO atau paling kurang tidak mencabarnya. Sementara PAS pula, Farish menyebut, seperti kebanyakan gerakan Islam yang lain, mengurangkan programnya dengan efektif kepada implementasi mekanikal, malah ritualistik daripada undang-undang syari’ah.
Sebagaimana ulama’ PAS hari ini melihatnya (dan, sepertimana Farish huraikan, hal ini sebenarnya jelas bercanggah dengan visi kebanyakan pejuang nasionalis dan kiri daripada kalangan perintis PAS), kebanyakan herotan di Malaysia hanya dapat diakhiri dengan efektif melalui pengenalan undang-undang syari’ah. Syari’ah telah, dengan itu, direndahkan kepada hanya simbol, disempitkan kepada tuntutan PAS terhadap institusi Hudud atau hukuman al-Qur’an bersabit dengan beberapa salah laku jenayah.
Tuntutan ini, yang hanya telah menjarakkan kelompok Melayu kelas-pertengahan dan kalangan bukan Islam daripada PAS. Hal ini juga mencerminkan ketidakupayaan pimpinan ulama’ dalam parti untuk merangka fiqh ( jurispruden) Islam dan etika sosial menurut cara yang lebih releven dalam zaman kontemporari. Farish juga mengkritik retorik tajam PAS terhadap bukan Islam, yang dilihatnya sebagai suatu perkembangan baru yang praktikal. Sementara perintis PAS tuntas membela Muslim dan Islam, mereka tidak aktif mencanangkan kebencian terhadap bukan-Islam, berbeza seperti apa yang ulama’ PAS tangani hari ini, Farish mendakwa.
Buku ini diakhiri dengan analisis yang terperinci seputar respon PAS terhadap peristiwa 11 September, 2001, dan gerakan ‘perang ke atas keganasan’ yang dilancarkan oleh Amerika. Seperti kebanyakan kumpulan Islam yang lain, PAS membidas pencerobohan Amerika ke sempadan wilayah Islam dan menuntut umat Islam di Malaysia untuk menyertai jihad anti-Amerika untuk mempertahankan maslahat umat.
Tidak ramai Muslim Melayu di Malaysia yang, bagaimanapun, menyambut panggilan ini. Sepertimana Farish terangkan juga, kerajaan pimpinan UMNO di Malaysia pantas memanfaatkan kesempatan yang dizahirkan oleh pukulan Amerika terhadap kumpulan Islam untuk memperkukuh cengkamannya terhadap parti pembangkang di Malaysia, termasuk PAS, dan meneruskan kerjasama dengan Amerika dalam menjejaki anasir Islamis yang radikal. Hal ini tentunya tambah memburukkan lagi ketegangan antara UMNO dan jemaah Islam di Malaysia.
Farish mengakhiri tulisannya dengan menyeru ke arah perjuangan politik yang progresif di negara asalnya yang mana, menurutnya, merupakan satu-satunya jalan yang dapat disandarkan bagi mencabar autoritarianisme UMNO, fanatisme PAS, dan juga bagi merungkai struktur kapitalisme dan imperialisme. Dalam hal ini, beliau melihat Islam, yang ditafsirkan sebagai falsafah kebebasan dan kesamaan yang radikal, memainkan peranan pokok. Bentuk Islam yang seperti ini, beliau berhujah, semestinya membawa kepada upaya mempersoalkan dakwaan pemimpin UMNO dan PAS sebagai wakil Islam dan komuniti Muslim. Komited kepada keadilan sosial yang komprehensif untuk semua, pendukung visi baru Islam ini akan, katanya, perlu bekerjasama rapat dengan penganut agama lain untuk membina Malaysia yang baru.
Sebagai sebuah kajian yang paling terperinci tentang PAS buku ini adalah rujukan yang vital kepada sesiapa yang berminat tentang politik dan sejarah Asia Tenggara. Sebagai suatu analisis yang sensitif dan provokatif terhadap salah satu gerakan Islam yang utama dalam dunia hari ini, ia juga menjadi rujukan yang berharga kepada mereka yang berminat tentang Islam dan politik. Saiz buku yang tebal, bagaimanapun, jelas menghadkan pencapaiannya. Dua jilid ini boleh diringkaskan kepada satu, dengan menghapuskan pengulangan, perincian yang tidak perlu dan nota kaki yang panjang yang kadangkala memenuhi hampir keseluruhan muka surat.
[Di terjemahkan oleh Dr Ahmad Nabil Amir, Abduh Study Group, Islamic Renaissance Front]