Pengajaran Dari Kisah-Kisah Ulama Hadis

Primary tabs

Oleh emran_ahmad

Pada hari ini, saya melihat kewujudan ustaz-ustaz yang alim di dalam ilmu hadis di Malaysia yang merupakan satu hal yang sangat mengembirakan saya kerana tanggungjawab dan bebanan ilmiah sudah berkurang dengan memiliki insan yang berkualiti seperti Ustaz Adlan Aziz yang giat memberikan ceramah mengenai manhaj hadis al-mutaqadimin. Pada mulanya saya mengingatkan beliau ialah seperti orang-orang lain yang muncul dengan slogan ini hanya untuk menolak perkembangan era hadis yang giat dimonopoli oleh Syeikh Albani ra serta duplicate kepada seruan Syeikh Abd Fattah Abu Ghuddah dan golongan sufi tetapi sangkaan saya meleset setelah banyak membaca tulisan-tulisan beliau.

Bahkan saya tidak lagi dicela oleh sebahagian orang yang sebelum ini mengkritik saya kerana tidak menggunakan tahqiq Allamah Albani ra dalam tulisan saya sehinggakan adakalanya saya terpaksa menggunakan tahqiq Syeikh Albani untuk memuaskan hati sesetengah pihak kerana secara peribadi sudah menjadi kebiasaan saya menggunakan rujukan asli di dalam kitab-kitab hadis dan ulasan ulama salaf seperti amalan kebanyakkan syeikh-syeikh klasik Yaman yang saya pelajari ilmu mereka.

Ditambah dengan wujud Syeikh Muqbil ra di Yaman, maka persaingan Muqbil-Albani di sini suatu ketika dahulu menjadikan tahqiq Syeikh Albani ra tidaklah begitu ghairah kepada madrasah –madrasah yang bergelar salafiyah itu sendiri. Juga dengan penglibatan saya bersama syeikh-syeikh di Arab Saudi seperti Syeikh Dr Safar Al-Hawali dan lain-lain yang memang jarang menjadikan Syeikh Albani ra sebagai menu utama dalam tahqiq mereka membiasakan saya dengan situasi ini.

Lalu saya mengharapkan kewujudan ustaz-ustaz seperti Al-Fadhil Ustaz Adlan Aziz menjadi pengimbang kepada madrasah hadis beraliran India, seperti Allamah Maulana Asri Yusof dan sebagainya yang saya kagumi namun tidak bermakna saya harus bersetuju dengan mereka dalam beberapa hal.

Baiklah disebabkan ramai sekali yang menulis pesoalan hadis dan ilmunya maka izinkan pula saya mencelah menambah mengenai pengajaran daripada kisah-kisah ulama hadis yang boleh memberikan motivasi dan semangat kepada kita di dalam mencari kebenaran. Adalah diharapkan kita disebalik kesibukkan mengkaji sanad-sanad hadis dan keilmuannya tidak pula lupa kepada moral dan pengajaran kisah-kisah ulama terdahulu yang memberikan ransangan dan manfaat kepada kita.

Ketelitian dan Kecermatan dalam Mencari Kebenaran

Disebut dalam pelbagai cerita mengenai kisah ketelitian mereka terhadap ilmu dan tidak menerima ilmu dari sebarangan orang dengan mudah seperti apa yang diriwayatkan oleh Imam Abi Hatim ra mengenai kisah Imam Yahya ibn Ma’in yang datang kepada A’fan untuk mendengar hadis yang dari riwayat Hammad ibn Sulaiman ra lalu ditanya kepadanya oleh A’fan : Apakah kamu belum mendengar lagi hadis ini dari sesiapa ? Maka dijawab oleh Imam Yahya ibn Ma’in ra bahkan aku telah mendengarnya dari tujuh belas orang yang meriwayatkan hadis yang sama dari jalan Hammad ibn Sulaiman.

Bahkan ketika beliau (Yahya ibn Ma’in) bertemu dengan Musa ibn Ismail untuk mendengar hadis maka berkatalah Musa apakah engkau belum mendengar hadis ini daripada sesiapa ? Lalu dijawab oleh Yahya ibn Ma’in bahawa aku telah mendengar hadis ini dari tujuh belas orang dan engkaulah yang ke lapan belas. Lalu ditanya untuk apakah engkau menyusahkan diri membuat demikian dengan mendengar hadis yang sama dari guru yang berbeza ? Lalu berkatalah Yahya ibn Ma’in, "Sesungguhnya jika Hammad ibn Sulaiman itu tersilap dalam hadisnya maka aku dapat membezakan kesilapannya itu dengan mendengar hadisnya dari pelbagai jalan dan guru (perawi), kerana jika silapnya itu pada Hammad maka akan didapati dengan semua guru (perawi) menyebut kesilapannya dan jika silap itu bukan dari Hammad maka pasti kelihatan dengan guru yang silap akan terdedah oleh kesepakatan guru yang ramai."

(Lihat Al-Majruhin oleh Ibn Hibban m/s 32 Jilid 1 ).

Pengajaran :

Sepatutnya kita tidak terlalu gopoh dan cepat menghukum sesuatu kerana urusan kita ialah beramal dan berusaha dengan apa yang kita yakini dan itu yang dinilai oleh Allah swt. Para ulama salaf sangat cermat dan berhati-hati dalam mencari ilmu dengan memperhatikan setiap kemungkinan-kemungkinan yang boleh terjadi seperti guru tersilap, maklumat tersalah sampai dan sebagainya menandakan bahawa akal kcerdikan kita bukannya mesti disimpan di bawah katil setelah kita mengaku mengikut kitab dan sunnah sebaliknya perlu digunakan bagi menilai kebenaran.

Membentangkan Ilmu yang diperolehi untuk diuji

Diriwayatkan oleh Al-Uqaili ra (Murid Imam Bukhari) bahawa Al-Imam Bukhari ra setelah selesai menulis kitabnya Jami As-Sahih beliau membentangkan kitabnya itu kepada para ulama seperti Al-Imam Ahmad ra, Imam Ali ibn Madini dan Imam Yahya ibn Main, supaya meneliti isi kandungannya.

Disebutkan setelah Imam Bukhari membentangkan kitab sahihnya itu kepada tiga ulama hadis ini dan selainnya mereka semua bersepakat dan bersetuju dengan hadis-hadis di dalam sahih bukhari itu kecuali empat sahaja.

(Lihat Hadiul Sari,hal 7 dan hal 489)

Juga Al-Imam Muslim ra turut membentangkan kitab sahihnya kepada guru-gurunya untuk dilihat dan diperbetulkan seperti yang dilakukan oleh Abu Zurah Ar-Razi yang menaqad beberapa hadis lalu dikeluarkan hadis-hadis itu oleh Imam Muslim daripada kitab sahihnya.

Pengajaran :

Hendaklah kita mencontohi para ulama hadis seperti Imam Bukhari ini dengan menguji terlebih dahulu keilmuan dan maklumat yang kita perolehi sebelum membuka pondok atau menyebarkan sesuatu fahaman.

Memiliki otak fiqih dan memahami Situasi

Tidak semua para ulama hadis jumud dan beku otaknya daripada ilmu fiqih seperti yang dicela oleh Ibn Jauzi ra di dalam kitabnya "Talbisul Iblis". Bahkan hampir kesemua ulama hadis ummah terkenal memiliki kecerdasan akal yang tinggi dan mahir di dalam feqah dan realiti zaman mereka. Imam Bukhari ra misalnya ialah seorang ahli hadis yang faqih. Buktinya apabila disebutkan oleh para ulama ketika berbincang di dalam sesuatu masalah ilmiah maka kemungkinan ada yang mengatakan inilah pendapat yang dipegang oleh al-Imam Bukhari.

Bagaimanakah kita boleh mengetahui apa yang dipegang oleh Imam Bukhari dan mazhabnya ? Hal itu kita ketahui apabila membaca kitab sahihnya dan melihat kepada bagaimana beliau memberikan judul dan terjemah bab pada hadis-hadisnya yang berdasarkan kepada bab-bab feqah dan selain itu juga kita akan mendapati pada ayat-ayat Al-Ahkam yang tersebar di dalam sahihnya pada bab-bab tertentu.

Beliau rahimahullah sangat menjaga persoalan ini kadang-kadang di dalam sahihnya kita akan mendapati ada bab yang langsung tidak mengandungi hadis tetapi hanya ayat Al-Quran atau sengaja dijadikan bab-bab yang berisi hanya ulasan. Juga sikap Imam Bukhari ra yang ada kalanya memotong hadis-hadis yang panjang dan diringkaskan untuk dimuatkan pada bab-bab tertentu disebabkan sebuah hadis yang panjang ada kalanya boleh mengandungi banyak perkara lalu dipotong dan di ambil bahagian tertentu hadis dan dimuatkan dalam banyak bab yang bersesuaian dengan maksudnya.

Pengajaran :

Maka kita harus mencontohi para ulama hadis seperti Imam Bukhari dengan menambah pengetahuan kita serta berusaha memahami persoalan semasa dan feqah yang bukan hanya bermaksud feqah ibadat tetapi fiqh (kefahaman & kematangan) tentang urusan syariat yang meluas seperti Fiqh Siyasah (Kefahaman Politik), Fiqh Maslahat (Kefahaman Maslahat), Fiqh Muamalah dan lain-lain.

Sekalipun beliau bergelar Imam dan ulama hadis unggul namun tidak menyekat beliau daripada memberikan pendapat dan ulasan pada bab-bab feqah dan keilmuan syariat yang meluas sekaligus menandakan kita sebagai penuntut ilmu hadis jangan beralasan hanya berpegang kepada kitab dan sunnah kemudian bersikap jumud dan menolak segala kewarasan dan kematangan feqah (kefahaman) syariat khususnya di dalam situasi moden dan semasa hari ini yang melibatkan banyak persoalan yang tidak disebutkan oleh Al-Quran dan sunnah secara khusus tetapi memerlukan ijtihad dan kecerdikan otak dan keberanian mengaitkan situasi semasa dengan pertunjuk kitab dan sunnah.

Memperbaiki Kualiti & memelihara masalahat umat

Imam Muslim merupakan murid kepada Imam Bukhari ra dan turut mengarang kitab hadis yang bergelar sahih muslim tetapi di dalamnya beliau tidak memuatkan selain hadis rasulullahisalallahualaihiwasalam, tidak seperti gurunya Imam Bukhari yang memasukkan perkataan sahabat dan tabien atau ulasan beliau.

Juga Imam Muslim sangat mengambil berat terhadap kaedah periwayatan hadis seperti riwayat yang jelas menyatakan "Mendengar" daripada guru dan riwayat yang tidak jelas menyatakan "Mendengar" daripada guru kerana khuatir terhadap perbuatan tadlis. Sebagai contoh sekiranya kita melihat di dalam sahih Muslim hadis-hadis yang dimuatkan kita akan mendapati perpindahan riwayat ke riwayat sehingga yang menyebutkan benar-benar perawinya mendengar daripada gurunya.

Contohnya :

Hadis pertama di dalam Sahih Muslim iaitu hadis Abdullah ibn Umar ra mengenai kedatangan Jibril kepada nabi salallahualaihiwasalam yang jika kita baca akan menemui beliau (Imam Muslim) menjadikan pada hadis ini datang dengan banyak sanad sehingga kepada isnad yang menyebut dengan jelas akan pengambilan hadis dengan mendengar daripada guru.

Mengenai hal ini apa yang saya ingin maksudkan ialah, para muhadis biasanya membezakan kaedah talaqi di antara apa yang disebutkan oleh guru dengan apa yang dibacakannya oleh murid kepada gurunya. Sekiranya guru membacakan hadis baik melalui hafalannya atau kitabnya kepada murid-muridnya dan mereka menyalin atau menghafaz hadis-hadis tersebut maka ini disebut sebagai As-Sima (Mendengar Hadis) dan ini dizahirkan melalui ucapan "Haddasana atau haddasani".

Jika murid mendengar di dalam majlis maka disebut "haddasna" dengan sighah (bentuk) jamak (ramai) dan jika talaqi berlaku secara individu disebut "haddasani" dengan sebab seorang.

Sekiranya pelajar yang membacakan kitab hadis dan guru pula yang mendengarkannya seperti halnya Imam Malik ra yang mendengar bacaan Kitab Muwatho daripada pelajarnya dan membetulkan sekiranya salah atau mendiamkan diri sekiranya tiada apa yang hendak dibetulkan maka ini disebut "Qiraah" iaitu membaca kepada guru. Jika hal ini berlaku maka perawi akan menyebut "Akhbarani" iaitu dikhabarkan kepada aku dan tidak akan mengatakan "haddasani" kerana dia tidak mendengar lafaz hadis daripada guru sebaliknya dia yang membaca di hadapan guru.

Sebahagian ulama hadis menyamakan sahaja di antara dua hal ini dan sebahagian yang lain seperti Imam Muslim ra membezakannya seperti yang boleh kita sedari di dalam Sahih Muslim.

Demikian juga dalam periwayatan hadis dengan "makna hadis" bahawa manhaj Imam Muslim ra ialah tidak membolehkan "riwayat dengan makna" berbeza dengan manhaj gurunya iaitu Imam Bukhari ra.

Pengajaran :

Al-Imam Muslim ra merupakan salah seorang murid kepada Imam Bukhari ra tetapi itu tidak menghalang beliau daripada berusaha memperbaiki kualiti dan memelihara maslahat umat dengan mengarang kitab hadis sahihnya sendiri dan memperbaiki apa yang dirasakan tidak sesuai pada kitab sahih gurunya tanpa memperendahkan gurunya sedikit pun.

Maka kita pada hari ini, di zaman yang serba moden dan berlaku banyak hal yang bercanggah dengan kitab dan sunnah maka apakah kita tidak boleh berpendapat dengan sesuatu yang lebih menepati kebenaran dan diperlukan oleh maslahat umat ? Apakah kita harus tertakluk kepada fatwa guru-guru kita yang ketinggalan dan pendapatnya kurang didokongi oleh realiti dan hakikat semasa ?

Kreativiti dalam usaha menuntut ilmu

Imam Abu Daud ra mengembara ke Mesir sekitar tahun 240 Hijrah bersama anaknya Abdullah yang berumur sekitar 10 tahun ke atas. Ketika tiba di Mesir beliau berhasrat menyertai halaqah Imam Ahmad ibn Soleh Al-Misri ra salah seorang muhaddis serta mahir dalam illal hadis.

Imam Abu Daud ra berhasrat mengambil ilmu daripada Imam Ahmad ibn Soleh Al-Misri ra dengan bersama anaknya yang masih kecil namun Imam Ahmad ibn Soleh Al-Misri ra itu enggan membenarkan sesiapa pun menghadiri majlisnya kecuali mereka yang sudah mempunyai janggut (bermaksud sudah matang).

Maka Imam Abu Daud pun meletakkan janggut tiruan kepada anaknya sehingga dapat memasuki majlis ilmu Imam Ahmad ibn Soleh Al-Misri malangnya perbuatannya itu dapat diketahui oleh Imam Ahmad ibn Soleh Al-Misri lalu beliau pun marah kepada Imam Abu Daud ra dan mencelanya.

Pengajaran :

Tarbiyah Imam Abu Daud ra kepada anaknya supaya menitik-beratkan ilmu dan berusaha memasukkannya ke dalam halaqah ilmu sekalipun bersama orang-orang dewasa membantu membina peribadi anak yang cintakan ilmu yang seterusnya menjadi faktor kepada kejayaan anaknya menjadi salah seorang ulama yang besar seperti bapanya kemudian hari.

Bukankah Imam Abu Daud ra disebalik seorang ulama yang alim dan wara serta berpegang kepada kitab dan sunnah turut memiliki sikap kreativiti seperti terfikir dan sanggup memakaikan anaknya dengan janggut palsu supaya dapat menyertai majlis ilmu ? Seolah itu bukanlah satu hal yang perlu ditakuti sebagai bohong, sebagai persamaan dengan ancaman nabi bagi orang yang menyambung rambut dan lain-lain ?

Ternyata kita sebagai pelajar hadis janganlah terlalu sempit dan jumud pemikiran kita terhadap dunia ini dengan mempersusahkan agama yang sebenarnya mudah. Para ulama salaf terdahulu terlebih dahulu daripada kita dalam kreativiti dan semangat menuntut ilmu dan mencari kebenaran

Kewarakan dan Ketaqwaan kepada Allah

Disebutkan oleh ulama bahawa Imam At-Tirmidzi, Abu Isa Muhammad ibn Isa ibn Surah merupakan salah seorang ulama dan muahddis yang sangat wara dan bertaqwa sehingga disebutkan beliau menjadi buta pada akhir hayat beliau disebabkan kerana terlalu banyak menangis sewaktu khusyuk beribadah dan kerana takut kepada Allah swt.

Pengajaran :

Hendaklah kita mencontohi para ulama salaf di dalam ketaatan dan kewarakan mereka kepada Allah swt disamping mencontohi mereka di dalam ilmu. Janganlah kita mencela sufi dan membidahkan mereka hanya kerana kita mahu hidup bersenang-lenang tanpa dikritik. Sebaliknya kita perlu menentang bidah dan kebathilan namun dalam masa yang sama turut mencontohi kewarakan dan ketaqwaan yang berlandaskan syariat.

akan bersambung insyaAllah…

Wallahualam,

emran ahmad

guru agama di bawah Yayasan Kebajikan Nusantara

Sabda rasulullah dengan maksudnya :“ Sesungguhnya ulama’ itu pewaris nabi dan para nabi tidak mewariskan harta tetapi mereka mewariskan ilmu.” ( Hadis Sahih, riwayat Tirmidzi no. 2606, Abu Daud dan Ibn Majah) .

Rujukan :

1. Kitab Manahij Al-Muhaddisin, oleh Dr Said bin Abdullah, Cet Dar Ulum Sunnah, Arab Saudi