Pengharaman poco-poco : Ambil kira realiti di Malaysia, bukan di Jamaica

Primary tabs

Oleh: Shamsul Muda

Seperti dijangka, Jawatankuasa Fatwa Perak mengharamkan tarian poco-poco kerana ia merupakan ‘cara ibadat bukan Islam’.

Ini dinyatakan sendiri oleh Mufti Perak, Sohibus Samahah, Tan Sri Harussani Zakaria.
Beliau dipetik sebagai berkata, "saya kata haram sebab itu (tarian poco-poco) berasal dari cara ibadat bukan Islam, walau apa jua tujuan yang kita buat termasuk senaman, ia tetap haram". (Lihat: themalaysianinsider.com)

Secara prinsipnya, tata cara ibadat bukan Islam, memang tidak boleh dipraktikkan oleh umat Islam. Ini kerana, Islam menegah penganutnya menyerupai perlakuan yang khusus bagi bukan Islam.


Ia seperti pemakaian salib atau melambangkan salib dengan pergerakan tangan, seperti yang biasa dilakukan pemain bola sepak di barat, ketika masuk ke padang bagi menggantikan pemain lain.

Namun, untuk mengimplementasi prinsip 'tegahan menyerupai perlakuan khusus bukan Islam' ini ke atas tarian poco-poco, perlu diambil kira 2 perkara berikut :

Perkara pertama, sesuatu yang menjadi simbol atau pengamalan khusus bukan Islam, hanya ditegah bagi orang Islam, pada waktu ia merupakan simbol atau amalan khusus mereka (bukan Islam).

Dengan sebab itu, umat Islam pada masa ini, boleh melakukan sesuatu yang pernah menjadi simbol atau amalan khusus bukan Islam, jika pada masa sekarang, ia bukan lagi menjadi simbol dan amalan khusus mereka (bukan Islam).

Hal ini dinyatakan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar.

Beliau memetik kata-kata Anas bin Malik r.a yang berbunyi, "mereka seolah-olah orang-orang Yahudi Khaibar".

Kata-kata ini ditujukan kepada sekumpulan umat Islam yang memakai toylasan (pallium).

Toylasan adalah sejenis pakaian khusus orang-orang Yahudi pada masa lampau. Ia sebahagian daripada identiti bangsa itu pada masa silam.


Ambil kira sifat semasa tarian poco-poco
Al-Hafiz Ibnu Hajar bagaimana pun berkata, kata-kata Anas r.a ini boleh diterima ketika toylasan ini menjadi simbol dan amalan khusus orang-orang Yahudi.

Tetapi, menurut al-Hafiz Ibnu Hajar, selepas ia tidak lagi menjadi simbol khusus orang-orang Yahudi, pemakaian toylasan menjadi harus bagi umat Islam.(Rujuk Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah, jld.13, ms.3 dalam bab Tasyabbuh)

Justeru, sebelum mengharamkan tarian poco-poco di atas dasar ia "berasal dari cara ibadat bukan Islam", hendaklah dilihat sifat tarian ini di Malaysia pada masa ini.

Apakah tarian poco-poco yang diamalkan di sini hari ini, masih kekal di atas sifatnya sebagai "cara ibadat bukan Islam" yang hanya diamalkan oleh bukan Islam?

Atau, sifatnya itu telah hilang dan kini hanya merupakan satu senaman biasa yang dilakukan oleh semua penganut agama?

Sama seperti toylasan tadi.

Pada zaman Anas r.a, orang Islam yang memakainya dianggap menyerupai orang Yahudi. Ini kerana, ia pakaian yang menjadi identiti bangsa itu pada zaman beliau.

Tapi, sifat toylasan itu telah berubah selepas zaman Anas r.a. Ia tidak lagi menjadi identiti orang-orang Yahudi. Oleh sebab itu, Ibnu Hajar pada zamannya, mengharuskan umat Islam memakainya.

Jika dilihat realiti semasa tarian poco-poco di Malaysia, ia tidak lagi dikenali sebagai ‘upacara ibadat bukan Islam’. Sehinggakan tidak dikatakan orang yang mengamalkannya, sebagai penganut agama tertentu.

Tidak seperti pemakaian serban Sikh sebagai contoh. Ia adalah identiti khusus penganut agama Sikh. Sehinggakan semua mengatakan, orang yang memakainya adalah penganut agama Sikh.

Jika mahu diambil kira sejarah asal usul sesuatu pengamalan tanpa melihat realiti sekarang, maka hari ini umat Islam sepatutnya ditegah menggunakan tahun Masehi.

Ini kerana, semasa umat Islam pada zaman kegemilangan menggunakan tahun Hijrah, tentunya penggunaan tahun Masehi menjadi pengamalan khusus penganut Kristian.

Tetapi, kini ia telah menjadi pengamalan global dan tidak lagi menjadi pengamalan khusus penganut Kristian sahaja.

Bahkan, jika diambil kira realiti masa lalu, umat Islam perlu menjauhi penggunaan nama Januari, Mac dan April (sebagai contoh) bagi merujuk bulan 1, 3 dan 4.

Ini kerana, Januari berasal daripada perkataan Janus yang bermaksud malaikat bermuka dua, penjaga gerbang Rom.

Mac pula berasal daripada perkataan Mars yang bermaksud Dewa Perang. Manakala asal perkataan April ialah Apru yang bermaksud Dewa Asmara bangsa Etruscan! (Rujuk: http://awalmula.com/sejarah-awal-mula-penanggalan-masehi-dan-hijriyah.html)

Tegasnya, yang perlu dijadikan asas dalam mengeluarkan fatwa, ialah sifat tarian poco-poco hari ini di sini, bukan asal usulnya di tempat lain.

Kesimpulannya, berasaskan kenyataan Ibnu Hajar berhubung pemakaian toylasan, boleh dirumuskan bahawa tarian poco-poco yang diamalkan di Malaysia hari ini, adalah harus.

Ia harus kerana dalam realiti semasa di Malaysia, sifat asalnya, iaitu 'upacara ibadat agama bukan Islam', telah hilang dan bertukar menjadi senaman biasa, serta diamalkan oleh semua penganut agama, termasuk orang-orang Islam.

Ringkasnya, ia sama dengan kes pemakaian toylasan yang dinyatakan tadi. Asalnya adalah pengamalan khusus orang-orang Yahudi. Tetapi telah hilang darinya sifat 'kekhususan bagi Yahudi' itu.


Lihat tarian poco-poco daripada perspektif semasa & setempat

Perkara kedua, dalam menentukan sesuatu perlakuan itu samada halal atau haram, yang sepatutnya diambil kira ialah realiti di tempat kita berada.

Agak memelikkan, tarian poco-poco yang diamalkan di Malaysia sebagai satu senaman, dan bukan identiti bukan Islam dalam realiti di sini, diharamkan berdasarkan realiti di Jamaica!

Sikap Imam Malik r.a terhadap pemakaian burnus boleh dijadikan panduan. Burnus ialah pakaian para rahib Kristian pada suatu masa dahulu.

Walau bagaimana pun, Imam Malik mengharuskan umat Islam pada zamannya memakai burnus, meskipun ia pakaian yang menjadi identiti rahib Kristian.

Imam Malik berhujjah dengan berkata, "ia (burnus) turut dipakai di sini (Madinah)". (Rujuk : Fathul Bari, jld.16, ms.345 dalam bab al-Baranis)

Sikap Imam Malik ini jelas menunjukkan bahawa yang diambil kira ialah realiti setempat, bukan realiti di tempat lain.

Walaupun burnus menjadi identiti rahib Kristian di tempat lain, tetapi tidak di Madinah pada zaman Imam Malik.

Di Madinah pada zaman itu, burnus adalah pakaian umum, bukan khusus bagi rahib Kristian sahaja. Di atas asas ini, Imam Malik mengharuskan umat Islam di Madinah waktu itu memakainya.

Justeru, dalam menentukan status tarian poco-poco, samada halal atau haram, yang perlu diambil kira ialah realiti di Malaysia pada masa ini. Bukan realiti di Jamaica atau di negara-negara lain.

Realiti di Malaysia menunjukkan, tarian poco-poco turut dipraktikkan di sini oleh
masyarakat pelbagai agama dan kaum, bukan khusus bagi agama tertentu. Ia juga dilakukan sebagai satu senaman semata-mata, bukan sebagai upacara ibadat bukan Islam.

Realiti setempat inilah yang perlu diambil kira dalam menentukan status halal atau haram tarian ini, bukan realiti di negara lain.


Rumusan
Perbezaan pandangan berhubung status tarian poco-poco berpunca daripada perspektif pandangan yang berbeza.

Pihak yang mengatakannya harus, melihat isu tarian ini daripada perspektif semasa dan realiti masa kini.

Manakala yang bertegas mengharamkannya, melihat tarian ini daripada perspektif asal usulnya dan realiti di tempat lain.

Kupasan dalam artikel ini jelas menunjukkan, kaedah yang betul dalam menentukan halal atau haram tarian ini, ialah melihat isu ini melalui jendela realiti semasa dan setempat.

Jika demikian, persepakatan boleh dicapai berhubung isu ini, jika semua pihak diajak melihat isu ini daripada perspektif semasa dan realiti masa kini.


[Artikel ini dikirim oleh penulis melalui e-mail. Blog beliau boleh dilayari di http://warisansemasa.blogspot.com]

Kategori Berita: 

Artikel Berkaitan