Kawan saya telah berhenti di Restoran Jejantas Sg Buloh utk menunaikan solat Maghrib. Ketika masuk ke dalam surau, kawan saya melihat seorang jemaah sedang qamat lalu dia segera masuk ke dalam saf. Ketika di rakaat kedua, tiba2 imam memberi salam (dipendekkan cerita, maknanya kawan saya solat Maghrib di belakang imam/jemaah yang sedang solat Isyak Jamak Takdim). Selepas itu, kawan saya meneruskan rakaat ketiga dan menyempurnakan solat Maghribnya. Peristiwa ini menarik perhatian saya utk diusulkan diruangan ini kerana perkara ini mungkin berlaku kepada sesiapa yg singgah R & R lebuhraya PLUS utk solat berjemaah.
Soalan saya, adakah solat Maghrib kawan saya tadi sah kerana berimamkan orang yg sedang solat Isyak Jamak Takdim (dia hanya menyedari perkara itu sesudah imam memberi salam)?
Wa’alaikumussalam
Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan anda dengan kadar kemampuan yang ada, InSyaAllah.
Solat tersebut sah. Apa yang sahabat anda lakukan itu adalah benar, iaitu setelah Imam selesai memberi salam, beliau terus menyelesaikan rakaat yang berbaki.
Malahan, jika seseorang itu bersolat Maghrib dibelakang Imam yang bersolat Isya’ secara tamam (penuh 4 rakaat), menurut Mazhab Syafie dan dua pandangan Imam Ahmad mengatakan solat tersebut sah. Kaifiyat(cara) solatnya adalah seperti berikut : apabila tiba pada rakaat ke tiga (3) (solat maghrib), hendaklah dia melakukan Tashahud akhir dan memberi salam. Dia juga boleh menangguhkan salamnya dan menunggu sehngga Imam duduk Tashahud akhir Isya’ dan memberi salam bersamanya.
Menurut Imam al-Nawawi rh :
ولو نوى الصبح خلف مصلي الظهر وتمت صلاة المأموم ، فإن شاء انتظر في التشهد حتى يفرغ الإمام , ويسلم معه , وهذا أفضل , وإن شاء نوى مفارقته وسلم , و(لا) تبطل صلاته هنا بالمفارقة بلا خلاف ، لتعذر المتابعة , وكذا فيما أشبهها من الصور
“Jika dia ingin bersolat Subuh dibelakang orang yang bersolat Zohor dan solat jemaah pun selesai, jika dia ingin menunggu semasa Tashahud sehingga Imam selesai, dan memberi salam bersamanya, itu adalah lebih baik, atau dia juga boleh memilih untuk meninggalkan (mufaraqah) Imam dan memberi salam. Meninggalkan solat tadi tidak membatalkan solatnya, dan tidak adalah seorang ulama’ pun berselisih mengenai perkara ini, kerana dia diberi pengecualian dari mengikut Imam” [al-Majmu’, 4/14]
Mengenai persoalan bolehkah makmum yang solat tamam (penuh) berimamkan orang yang bersolat Qasar? Didalam riwayat Imam Malik menyatakan, dari Ibn Shihab, dari Salim ibn Abdullah, dari bapanya, dari Umar al-Khattab bahawa semasa beliau sampai ke Makkah, dia akan bersolat 2 rakaat, dan akan berkata kepada jemaah tersebut :
يَا أَهْلَ الْبَلَدِ صَلُّوا أَرْبَعًا فَإِنَّا قَوْمٌ سَفْرٌ
“Wahai orang Makkah, solatlah 4 rakaat kerana sesungguhnya kami orang yang bermusafir” [al-Muwatta’, 2/206].
Kesimpulannya, dibolehkan seseorang berimamkan Imam yang solat Qasar dan juga Imam yang melakukan solat yang berlainan waktu dan rakaat dengannya. WA.
Sekian, wassalam
خيرالأمين