SJ-13-0142 : Ciri-ciri Kepimpinan Islam

Primary tabs

2 posts / 0 new
Last post
Anonymous (not verified)
SJ-13-0142 : Ciri-ciri Kepimpinan Islam

:salam
Q1. Apakah ciri-ciri kepimpinan/pemimpin Islam yang diredhai Allah?
Q2. Apakah hukum orang awam/rakyat untuk menyokongnya/mengikut perintahnya?Bagaimana pula yang menentangnya?

SJ-13-0142 : Ciri-ciri Kepimpinan Islam

wa'alaikumussalam

Alhamdulillah. Topik ini agak panjang kalau hendak dibicarakan. Namun demikian, untuk tidak menghampakan, kami memaparkan artikel al-Fadhil Dr Asri Zainul Abidin mengenai ciri-ciri kepimpinan Islam.

------------------------

KELAYAKAN DALAM KEPIMPINAN
Ustaz Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin

Sabda Nabi s.a.w. maksudnya:

"Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ianya pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya."

(Riwayat Muslim)

Dalam riwayat yang lain: Dari Abu Zar, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

"Wahai Abu Zar, sesungguhnya aku melihat engkau seorang yang lemah, sesungguhnya aku suka untuk engkau apa aku suka untuk diriku. Maka jangan engkau menjadi ketua ke atas dua orang dan jangan engkau uruskan harta anak yatim."

(Riwayat Muslim)

SYARAH AL HADIS

Dalam hadith ini Rasulullah s.a.w. tidak memberikan jawatan sekalipun kepada Abu Zar, seorang sahabat yang sangat dikasihi baginda, apabila dilihat ciri-ciri kelayak tidak wujud sepenuh. Abu Zar adalah seorang sahabi yang soleh lagi warak dan zuhud. Namun begitu, amanah jawatan dan politik berhajat ciri-ciri yang yang lebih dari itu, yang bukan semua individu memilikinya. Justeru itu tidak semua sahabah layak mengendalikan urusan siyasah atau politik seperti al-Khulafa ar-Rasyidun. Demikian juga bukan semua mereka kuat agama boleh mengendalikan urusan politik.

Juga hadith ini menonjolkan sikap yang terpuji Abu Zar r.a. yang meriwayatkan ucapan Nabi s.a.w, sekalipun inti kandungannya menyatakan kelemahan dirinya dalam kepimpinan. Ini amanah ilmu dan kejujuran para sahabah yang menyampaikan ajaran Rasulullah s.a.w kepada umat.

Berpandukan al-Quran dan as-Sunnah, maka para ulama ahli sunnah yang silam seperti Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) telah membahaskan persoalan ini. Dengan itu umat Islam tidak sepatutnya hilang garisan dalam perlantikan dan pemberian kuasa terutamanya dalam hal politik.

Hadith ini juga menjelaskan besarnya tanggungjawab kepimpinan dan pengurusan di dalam Islam dan bukan sebarangan individu yang benar-benar mampu memikulnya. Justeru itu memberikannya kepada seseorang yang tidak memiliki keahlian atau kelayakan adalah punca kerosakan masyarakat dan umat. Kerosakan sistem masyarakat menatijahkan kerosakan individu keseluruhannya. Nabi s.a.w. sering memberi amaran tentang kemusnahan hidup apabila amanah dikhianati.

Sabda Nabi s.a.w. maksudnya:

"Dari Abu Hurairah dia berkata: “Ketika Nabi s.a.w. di dalam suatu majlis berbicara dengan orang ramai maka datang seorang `arab badawi lalu bertanya: "Bilakah hari kiamat?". Rasulullah s.a.w. meneruskan ucapannya. Ada yang berkata "Baginda dengar (apa yang ditanya) tetapi baginda tidak suka apa yang ditanya". Sementara yang lain pula berkata "Bahkan baginda tidak mendengar". Apabila telah selesai ucapannya, bagida bertanya: "Manakah orang yang menyoal". Jawab (badawi tersebut): "Saya di sini wahai Rasulullah". Baginda bersabda: "Apabila dihilangkan amanah maka tunggulah kiamat". Tanya badawi tersebut: "Bagaimanakah menghilangkan amanah itu". Sabda baginda: "Apabila diserahkan urusan kepada bukan ahlinya maka tunggulah kiamat". *2

Firman Allah, maksudnya:

"Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia hendaklah kamu berhukum dengana `adil." *3

Kata al-Imam al-Qurtubi :

"Ayat ini adalah pusat segala hukum-hakam yang mengandungi seluruh isi agama dan syara'." Katanya juga: "Yang sebenarnya ayat ini adalah umum untuk semua manusia, ianya menyentuh para pemerintah mengenai amanah yang mereka tanggung dalam membahagikan harta-harta, menolak segala kezaliman dan adil dalam pemerintahan. Demikian juga, ayat ini juga menyentuh golongan yang selain mereka.." *4

Itulah titah perintah Allah, agar posisi penting di dalam kepimpinan umat hanya diberikan kepada yang benar-benar layak menyendalikannya sehingga tidak berlakunya kepincangan, kecacatan dan kezaliman. Persoalan amanah merangkumi setiap aspek hidup, terutamanya persoalan kenegaraan. Termasuk dalam rangkaian amanah persoalan pentadbiran rumahtangga, pejabat, kampung, sekolah dan seumpamanya. Namun huraian para ulama banyak tertumpu kepada persoalan sistem politik dan negara kerana natijah kerosakan adalah besar jika amanah mengenainya diabaikan. Sekiranya pemimpin yang dipilih berkelayakan maka sejahteralah seluruh rangkaian di bawahnya. Sekiranya cacat maka cacatlah seluruh rangkaian dibawahnya.

Di atas nama amanah maka seseorang dituntut membuat pemilihan dan perlantikan yang tepat dengan tuntutan jawatan yang ada. Sekiranya tidak, maka dia dianggap pengkhianat. Apakah ciri-ciri yang jika seseorang melandasinya maka dia tidak dianggap khianat dalam perlantikan?

Secara umumnya pemilihan yang bertanggungjawab berteraskan dua ciri asas yang mesti ada pada tokoh yang bakal dipilih iaitu ciri al-Quwwah dan al-Amanah.

Allah menyebut di dalam al-Quran menceritakan kisah Musa a.s., maksudnya:

"Sesungguhnya sebaik-baik orang yang hendak engkau ambil bekerja ialah yang kuat (berkemampuan) dan amanah (dipercayai)." *5

Maka tugasan yang diberikan kepada seseorang wajar dilihat pada dua ciri utama yang disebut di dalam nas di atas. Ini seperti yang dihuraikan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah di dalam as-Siyasah asy-Syar`iyyah fi Islah ar-Ra`i wa ar-Ra`iyyah iaitu:

Pertama: Al-Quwwah iaitu kekuatan, kemampuan dan kemahiran menjalankan tugas.

Ciri-ciri al-Quwwah atau kemampuan merujuk bidang tugas yang diberikan. Contohnya, jika jawatan berkenaan berkaitan ekonomi konsep al-Quwwah merujuk kepada kemahirannya dalam pengurusan ekonomi. Bagi bidang kehakiman maka al-Quwwah merujuk kepada pengetahuan dalam persoalan hukum-hakam. Dalam bidang ketenteraan merujuk kepada persoalan kepakaran medan perang, semangat juang dan keberanian.

Kedua: Al-Amanah iaitu bersikap amanah atau bertanggungjawab.

Ini merujuk kepada tiga perkara utama iaitu: Takutkan Allah, Tidak menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah untuk mendapat habuan dunia dan tidak takutkan manusia. Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah: "Hendak dipastikan orang yang terbaik bagi setiap jawatan, kerana sesungguhnya kepimpinan itu mempunyai dua rukun iaitu al-Quwwah dan al-Amanah. Ini seperti yang Allah firmankan, maksudnya:

"Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah."

Kata Raja Mesir kepada Yusuf a.s., maksudnya :

"Sesungguhnya kamu hari ini menjadi orang yang berkedudukan tinggi lagi dipercayai" *6

Firman Allah dalam menyifatkan Jibril, maksudnya:

"Sesungguhnya al-Quran itu benar-benar firman (Allah yang dibawa oleh) utusan yang mulia (Jibril). Yang mempunyai kekuatan, yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi (Allah) yang mempunyai `arsy. Yang ditaati (di alam malaikat) lagi dipercayai) *7

Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah lagi:

"Al-Quwwah dinilai pada setiap kepimpinan berdasarkan keadaannya. al-Quwwah dalam mengetuai peperangan merujuk kepada keberanian hati, pengalaman dalam peperangan, tipu daya peperangan kerana peperangan itu adalah tipu daya dan kemampuan dalam berbagai jenis peperangan. ... al-Quwwah dalam kehakiman manusia merujuk kepada ilmu mengenai keadilan seperti yang ditunjukkan oleh al-Quran dan as-Sunnah dan kepada kemampuan melaksanakan hukum. Dan amanah pula merujuk kepada perasaan takutkan Allah, tidak menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah dan tidak takutkan manusia. Inilah tiga ciri yang ditetapkan Allah bagi setiap yang memerintah manusia, firman Allah, maksudnya: 'Kerana itu janganlah kamu takutkan manusia (tetapi) takutlah Aku, jangan kamu membeli ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit. Barang siap yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan Allah maka mereka itulah orang-orang kafir)'" [Surah al-Maidah: ayat 44] *8

Oleh itu sesiapa yang melantik atau memilih seseorang bagi mengendalikan sesuatu urusan yang berkait dengan umat tanpa diteliti persoalan al-Quwwah dan al-Amanah atau persoalan kemampuan dan amanah bererti telah menyerahkan urusan bukan kepada ahlinya. Perbuatan itu mengundang kemurkaan Allah.

Timbangan yang telah digariskan oleh al-Quran dan dihuraikan as-Sunnah serta dibahaskan oleh sarjana-sarjana atau para ulama Islam yang seperti Ibn Taimiyyah, dapat dimanfaatkan oleh setiap individu dalam mengatur urusan pentadbiran dan kehidupan dalam semua aspek. Di mana pun posisi seseorang, sama ada pemimpin negara di peringkat negara atau negeri atau apa sahaja, maka setiap tugasan yang bakal diserahkan kepadanya berpandukan konsep al-Quwwah iaitu kemampuan untuk melaksanakan dan al-Amanah iaitu perasaan takutkan Allah dari melakukan pengkhianatan atau kecuaian. Sekiranya dua perkara ini dipastikan, maka sudah tentu tanggungjawab kepimpinan tidak akan dicemari, kekusutan masyarakat tidak akan timbul.

Kadangkala kita mungkin bertembung dengan satu masalah iaitu ketandusan tokoh untuk sesuatu jawatan melainkan dua orang atau jenis kelompok sahaja, seorang atau satunya daripadanya memiliki al-Quwwah atau kekuatan dan kemampuan tetapi kurang amanah, sementara seorang lagi satu kelopok lagi memiliki ciri amanah iaitu solih dan bertanggungjawab tetapi lemah atau tidak berkemampuan, siapakah yang patut dipilih?

Dalam hal ini maka para `ulama al-siyasah al-syar`iyyah menyatakan pemilihan dalam keadaan sebegini hendaklah dilihat kepada jenis atau keadaan jawatan yang hendak diserahkan, kemudian menilai siapakah yang paling boleh memberi manfaat dan paling kurang mudharatnya apabila menduduki jawatan tersebut. Sekiranya jawatan berkenaan berteraskan kepada kekuatan seperti medan peperangan maka hendaklah didahulukan yang memiliki kekuatan dan keberanian walaupun kurang solih ataupun tidak baik peribadinya. Sekiranya jawatan berhajat kepada amanah yang lebih seperti mengendalikan kewangan maka hendaklah didahulukan yang amanah walaupun ada kelemahan dalam pengurusannya.

Di atas sebab ini maka Rasulullah s.a.w. memilih Khalid bin al-Walid r.a. mengepalai tentera Islam dan menggelarnya sebagai pedang Allah walaupun ada para sahabah yang lebih besar kedudukannya di sisi Nabi s.a.w. Ini kerana kemampuan yang dimiliki Khalid tidak dimiliki oleh mereka. Sekalipun Rasulullah s.a.w. pernah menegur beberapa tindakan Khalid yang tidak disetujui oleh baginda. Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah:

"Apabila dua orang lelaki, salah seorangnya lebih amanah dan seorang lagi lebih kuat (mampu) maka hendaklah didahulukan yang lebih bermanfaat untuk jawatan berkenaaan dan paling kurang mudharatnya bagi jawatan tersebut. Maka dalam mengepalai peperangan, lelaki yang kuat dan berani walaupun padanya ada kejahatan diutamakan dari lelaki yang lemah dan tidak berkemampuan walaupun dia seorang yang amanah. Ini seperti yang ditanya kepada al-Imam Ahmad: Mengenai dua lelaki yang menjadi ketua di dalam peperangan, salah seorangnya kuat tetapi jahat dan seorang lagi solih tetapi lemah, siapakah yang layak berperang? Jawab al-Imam Ahmad: 'Yang kuat dan jahat, kekuatan untuk kepentingan orang Islam, kejahatannya untuk dirinya sendiri adapun yang solih tetapi lemah maka kesolihannya untuk dirinya tetapi kelemahannya merugikan orang Islam'" *9

Maka dalam perlaksanaan pembahagian tugas atau perlantikan jawatan, hendaklah dipastikan perkara berikut:

Pertama: Melantik individu atau tokoh yang memenuhi ciri al-Quwwah dan al-Amanah,

Kedua: Sekiranya berlaku kekurangan tokoh yang berlayakan melainkan setiap orang memiliki kecacatannya yang tersendiri, maka hendak dibandingkan kelemahan yang ada dengan tugas yang bakal dipikul. Ini dilihat siapakah yang paling bermanfaat dan paling kurang mudarat untuk tugasan tersebut.

Oleh itu usaha untuk mewujudkan kelompok manusia yang memiliki dengan sempurna kedua-dua ciri ini adalah tanggungjawab besar umat agar terpeliharanya kita daripada golongan yang khianat dan merosakkan masyarakat. Perlu disedari, apa ertinya jika generasi pakar teknologi atau ilmu-ilmu lain yang tanpa amanah atau dalam kata lain perasaan takutkan Allah yang akan menyebabkan mereka menggunakan kepintaran dan kecekapan untuk merosakkan tanggungjawab, melanggar hukum-hakam Allah sekaligus merosakkan umat. Pun begitu kita juga tidak mahu menyerahkan tugasan kepimpinan umat kepada suatu kelompok manusia yang baik, salih atau pandai agama tetapi jahil tentang selok belok pentadbiran dan perlaksanaannya sehingga mudah ditipu oleh golongan musuh dan pengkhianat yang menyebabkan kelemahan dan kelembapan perjalanan urusan umat.

Maka menjadi tanggungjawab umat mencari pemimpin yang solih lagi takutkan Allah dengan melaksanakan seluruh arahan dan meninggalkan seluruh tegahanNya di samping pakar dan cekap dalam mengendalikan pentakbiran dan urusan.

RUJUKAN

*1 Riwayat Muslim dalam Sahihnya, kitab al-Imarah..

*2 Riwayat al-Bukhari.

*3 Surah an-Nisa': ayat 58

*4 Al-Jami` li Ahkam al-Quran, 5/256, cetakan Dar al-Fikr, Beirut

*5 Surah al-Qasas ayat: 26

*6 Surah Yusuf: ayat 54

*7 Surah al-Takwir ayat 19-21

*8 Al-Siyasah al-Syar`iyyah fi Islah ar-Ra`i wa ar- Ra`iyyah,m.s.27-28. Ctk. Dar al-Arqam, Kuwait

*9 Ibid, m.s.29

خيرالأمين