[Terjemahan Juz 30 Tafsir Asad Telah Siap!] Memperingati Muhammad Asad

Primary tabs

Dr Ahmad Farouk Musa

Muhammad Asad, salah seorang pemikir Islam teragung yang pernah hidup, akan tetapi hampir tidak di kenali di Barat dan suatu misteri bagi kebanyakan orang Islam sendiri. Tetapi, kepada mereka yang mengikuti kehidupannya melalui buku-buku dan penulisannya, pasti mengetahui bahawa tidak ada seorangpun yang lebih banyak memberi sumbangan di dalam zaman ini terhadap kefahaman Islam dan kebangkitan umat Islam, atau berkerja lebih keras untuk membina jambatan diantara Timur dan Barat, melebihi daripada Muhammad Asad.

Daripada Leopold Weiss kepada Muhammad Asad

Asad dilahirkan sebagai Leopold Weiss pada Julai 2, 1900 di Lviv (Lemberg), Galicia, kini Ukraine, yang sebelum ini adalah sebahagian daripada jajahan empayar Austria. Pada tahun 1926, beliau memeluk Islam dan menjadi Muhammad Asad. Kisah tahun-tahun sebelum keIslamannya menggambarkan pengembaraan kerohanian seorang manusia yang mencari jalan yang sebenar, seorang manusia yang dilanda keinginan untuk mengembara, yang tidak dapat mententeramkan jiwa yang meronta sehinggalah beliau memeluk Islam.

Pada tahun 1922, beliau telah menjadi wartawan luar negara di Timur dekat dan Timur jauh untuk Frankfurter Zeitung, salah satu akhbar yang terkemuka di Eropah. Kerjaya beliau dalam bidang kewartawanan membawa beliau ke Palestin, Mesir, Syria, Iraq, Iran, Jordan, Arab Saudi dan Afghanistan dan beliau memberikan perspektif yang unik terhadap peristiwa dunia, terutamanya berkaitan isu Arab dan Yahudi.

Menyeberangi Mediterranean, hentian pertama Leopold adalah di Kaherah. Di sana beliau cuba mempelajari bahasa Arab dan meluangkan masa bersama Shaikh Mustafa Marāghi, murid kepada reformis Mesir yang terulung, Imam Muhammad ‘Abduh. Mustafa Marāghi, seorang pemikir yang tajam dan kritikal yang dengan kredibilitinya yang unggul, kemudiannya menjadi Shaikh al-Azhar (Rektor Universiti al-Azhar).

Melalui persahabatan beliau dengan al-Marāghi, beliau sedari bahawa al-Azhar telah terjerumus ke dalam kemandulan dan ketandusan intelektualPengaruh Pemikiran ‘Abduh

Melalui persahabatan beliau dengan al-Marāghi, beliau sedari bahawa al-Azhar telah terjerumus ke dalam kemandulan dan ketandusan intelektual. Malahan hampir seluruh dunia Islam mengalami perkara yang sedemikian rupa, di mana segala kehangatan pemikiran, Ijtihad dan intelektualisma telah terpadam kesemuanya.

Para pemikir Islam terdahulu tidak pernah termimpi bahawa setelah beberapa kurun pemikiran mereka yang sepatutnya dikembangkan dan dimajukan berdasarkan peredaran masa dan zaman, sebaliknya hanya diulang-ulang seolah-olah mereka merupakan manusia yang maksum dan pendapat mereka umpama kebenaran yang mutlak.

Sepertimana keadaannya sesetengah para Wali dan Ulama’ yang akan terkejut melihat kubur mereka bertukar menjadi makam, ramai juga yang akan terkejut melihat perkataan mereka dianggap sebagai kebenaran yang hakiki.

Penerimaan pendapat para ulama’ secara membuta tuli, mempertahankan kitab sejarawan dan ahli fiqh serta lain-lain dan memahami nas-nas secara literal seolah-olah kesemuanya merupakan kebenaran yang mutlak, telah menghasilkan penafsiran Islam yang tidak mengizinkan kemajuan dan reformasi.

Mengikut secara membuta tuli orang yang terdahulu atas dasar bahawa mereka adalah golongan as-salaf as-soleh dan terperangkap  dengan ijtihad mereka yang bersesuaian dengan zaman mereka telah mengakibatkan Islam yang tidak dapat membebaskan manusia daripada belenggu taqlid, apatah pula untuk membangunkan kemanusiaan.

Ulama’ dahulu hidup di zaman pemerintah monarki mutlak, dan mereka dipengaruhi oleh budaya kehidupan feudal. Kepasifan dan kejatuhan umat Islam terhasil daripada andaian palsu yang ada pada diri kita sekarang tentang ulama’ di zaman awal Islam beserta karya mereka.

Agenda Tajdid dan Pembaharuan

Lapisan asing yang telah menyelubungi Islam perlu dibersihkan sebelum umat Islam boleh bangun dan tersedar Asad yakin bahawa lapisan asing yang telah menyelubungi Islam perlu dibersihkan sebelum umat Islam boleh bangun dan tersedar daripada pembacaan dan pengulangan yang berterusan, taqlid yang tidak berkesudahan, dan sebelum dunia Islam boleh bangun daripada kepasifan.

Semua hadith dan tradisi telah dikutip dan dikumpul daripada para sejarawan, yang meninggalkan kepada kita sejarah yang mereka fikirkan boleh dipercayai, atau melalui pengawasan budaya kelas atasan, telah direka atau dibenarkan masuk kedalam pemikiran umat Islam.

Maka adalah menjadi kewajipan kita untuk mula kembali mendekati kesan peninggalan mereka sebagai sejarah yang hanya direkodkan oleh manusia, dan menerima hakikat bahawa sejarah dan penafsiran buku-buku tersebut mungkin mengandungi pemalsuan dan andaian yang salah.

Semua perlakuan dan perbuatan Rasūlullāh adalah kesan daripada al-Qur’ān. Dan tidak ada kemungkinan wahyu yang lain di sampingnya. Maka untuk mengikut Rasūlullāh, kita perlu mengikut al-Qur’ān dan bermula dengan al-Qur’ān.

Mengunakan sejarah sebagai petunjuk adalah merbahaya dan mengelirukan dalam banyak perkara. Telah tiba masanya untuk kita mengaku secara jujur, bahawa telah begitu banyak kesalahan dan penipuan yang memasuki ke dalam ide tentang apa itu Islam sebenarnya dan mesej Islam kepada kita. Al-Qur’ān itu Islam; semua yang lain adalah penafsiran manusia, rakaman tentang sejarah dan peradaban kemanusiaan.

Asad percaya bahawa sejarah hanya boleh memberi nasihat, memberi gambaran tentang faktor yang mendasar apabila sesuatu masyarakat itu berjaya; tetapi ia tidak boleh menjadi faktor penentu dalam pemerintahan negara dan masyarakat masakini.

Setiap generasi berhadapan dengan suasana yang berlainan, maka kerana itulah banyak hukum dan adab untuk masyarakat tidak boleh bersifat statik pada setiap masa. Lantaran itu jugalah, al-Qur’ān hanya mempunyai hukum, akhlak, hak dan larangan yang abadi yang tidak terikat dengan sesuatu masa yang tertentu serta mempunyai aplikasi sejagat.

Ia adalah perlembagaan yang mengandungi asas untuk manusia berurusan dengan kehidupan. Kesemua yang diluar al-Qur’ān terikat dengan masa dan perlu di tafsirkan semula oleh setiap generasi bagi menyesuaikan dengan keadaan dan suasana kontemporari mereka. Hal ini merupakan Sunnah yang sebenar, perjalanan dan adab yang ditinggalkan oleh Nabi; iaitu pengislahan dan pembangunan masyarakat yang berterusan.

“Maha suci Allah yang telah menurunkan al-Furqān (al-Qur'ān) (penentu kebaikan dan keburukan) kepada hamba-Nya, agar dia menjadi pemberi peringatan kepada seluruh alam.“[25:1]

imgresPengembaraan di benua Arab dan Islam

Pada awal musim panas tahun 1924, Muhammad Asad meneruskan lagi perjalanannya. Beliau mengembara ke Amman, Damsyik, Tripoli dan Allepo, ke Baghdad dan ke pergunungan Kurdistan, sehingga ke bumi yang paling aneh iaitu Iran dan kemudin merentasi pergunungan liar dan padang rumput Afghanistan.

Dengan pengembaraan yang meluas keseluruh dunia Islam, minat beliau terhadap Islam semakin mendalam. Untuk memahami bagaimana umat Islam dapat membangkitkan semula diri mereka; Asad mengambil pendekatan karekteristik: beliau berusaha untuk menyelami dan memahami sumber utama Islam, iaitu al-Qur’ān.

Bermula dengan kajian yang intensif dalam bahasa Arab klasik, pada masa yang sama beliau hidup bersama orang Arab badwi dari semenanjung tengah dan timur tanah Arab yang mana pertuturan dan bahasa mereka tetap kekal tanpa sebarang perubahan sejak zaman Nabi Muhammad ketika mana al-Qur’ān sedang diwahyukan.

Hal ini memberikan kefahaman kepada beliau akan makna sebenar dan semantik bahasa al-Qur’ān yang tidak diketahui oleh mana-mana orang Barat dan hal ini juga membolehkan beliau kemudianya menterjemahkan al-Qur’ān kepada bahasa Inggeris iaitu “The Message of the Qur'ān. Bersama komentarnya, “The Message” tidak mempunyai sebarang tandingan dalam menyampaikan makna dan semangat kitab suci tersebut kepada para pembaca yang bukan berbangsa Arab.

Dalam pengkajian beliau mengenai al-Qur’ān, Asad mendapati bahawa kejatuhan umat Islam bukanlah disebabkan oleh kekurangan yang ada dalam sistem Islam tetapi kegagalan umat Islam itu sendiri untuk menghidupkannya. Bukan umat Islam yang yang menjadikan Islam itu hebat, tetapi Islam itu sendirilah yang membuatkan umat Islam itu hebat.

Namun apabila kepercayaan dan aqidah mereka menjadi adat kebiasaan dan berhenti daripada menjadi program dalam kehidupan, yang sepatutnya senantiasa dikejar sebagai matlamat, dorongan kreativiti yang menjadi asas ketamadunan menjadi lesu dan beransur-ansur hilang kemudiannya bertukar kepada kemalasan, kemandulan dan kemerosotan kebudayaan.

Daripada detik itulah, kebangkitan umat Islam menjadi matlamat Muhammad Asad dalam kehidupan. Beliau mengembara jauh dalam ertikata pengembaraan yang sebenarnya, berbincang dengan raja-raja, pemimpin-pemimpin dan orang kebanyakan “diantara padang pasir Libya dan pergunungan Pamir, diantara selat Bosporus hingga ke laut Arab,” dan mula menulis segala ide-idenya ke atas lembaran kertas.

Islam at the Crossroads, diterbitkan pada 1934, masih menakjubkan pembaca kontemporari dengan analisisnya tentang kejatuhan umat Islam dan preskrikpsi beraninya untuk menanam keyakinan jatidiri kepada dunia Islam yang menderita akibat daripada serangan teknologi barat.

Chaudhry Niaz Ali Khan with Muhammad Asad at Jauharabad in 1957 (Wikipedia.com)Perjalanan ke India

Asad terus mengembara dan meneroka semenanjung tanah Arab dari bahagian utara ke selatan sehingga pada tahun 1932, debu-debu India menggantikan udara segar padang pasir tanah Arab.

Semasa di India, beliau menghabiskan usahanya dalam menterjemah dan menghuraikan Sahih al-Bukhari dalam Bahasa Inggeris, suatu tugas yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana sarjana Islam pada ketika itu. Sepertimana yang dinyatakan sendiri oleh Muhammad Asad, ide tentang menghuraikan Sahih Bukhari itu telah tersemat di jiwanya ketika beliau berada di Madinah selama lima tahun, mempelajari ilmu berkaitan ‘ulum al-hadith.

Sahih al-Bukhari keseluruhannya sempat diterjemahkan dan disyarahkan oleh Asad. Penerbitan pertamanya bermula pada tahun 1935 dan jilid pertama yang mengandungi lima bahagian sempat diterbitkan sebelum Perang Dunia Kedua meletus. Kelima bahagian itu sepatutnya dituruti oleh tiga puluh lima bahagian lagi yang telahpun diterjemah dan disyarahkan. Namun hajatnya tergendala akibat perang tersebut.

Ketika Perang Dunia ke-2 tercetus, Asad yang berada di India di masa itu bersahabat dengan Muhammad Iqbal, yang mencetuskan ide pemisahan Pakistan. Iqbal memujuk Asad agar meninggalkan rancangannya untuk mengembara ke utara Turkistan, negeri Cina dan Indonesia sebaliknya “membantu menyedia dan menjelaskan premis intelektualisme bagi masa depan negara Islam”.

Tetapi, Asad berada di bawah tahanan Inggeris di India pada akhir Perang Dunia. Apabila berakhir perang, Asad berhasrat meneruskan usahanya menerbitkan Sahih al-Bukhari yang tergendala. Telah ditakdirkan, tercetus pula kekacauan antara kaum pada ketika itu yang mengakibatkan terbentuknya negara Pakistan. Sejak perang berakhir, Asad menetap di daerah Punjab. Namun rusuhan yang berlaku pada ketika itu telah memusnahkan segala terjemahan dan huraian Sahih al-Bukhari yang telah beliau siapkan.

Menurut Asad beliau melihat dengan matanya sendiri bagaimana helain-helain manuskripnya terapung di atas aliran Sungai Ravi di celah helain kitab-kitab Arab yang dikoyak bersama tinggalan perpustakaannya. Demikianlah kesudahannya kepada usaha lebih sepuluh tahun dalam menyiapkan manuskrip tersebut.

Namun Asad tidak berputus asa. Beliau mendapat keazaman baru bahawa segala usahanya tersebut tidak akan hilang begitu sahaja tetapi merupakan persediaan baginya dalam suatu usaha yang lebih agung iaitu menterjemah dan menghuraikan al-Qur’an di dalam Bahasa Inggeris berdasarkan prinsip bahawa pintu ijtihad tidak akan dan tidak pernah tertutup kepada daya pencarian intelek manusia.

Negara Islam Menurut Asad

Apabila Pakistan diasaskan pada tahun 1947, Asad telah dilantik sebagai pegawai di bawah Setiausaha Negara untuk Hal-Hal Timur Dekat dan menjadi wakil tetap kerajaan Pakistan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York pada tahun 1952. Di sinilah beliau bertemu dengan isteri beliau Pola Hamida, daripada Boston, yang beliau kahwini pada tahun yang sama. Di sini juga beliau mula menulis buku yang tiada tandingannya iaitu “The Road to Mecca” (1954), yang menceritakan bahagian awal kehidupannya, termasuklah perubahan hati beliau kepada Islam pada tahun 1926.

Setelah 2 tahun di New York, Asad mengembara lagi sebelum kembali ke Pakistan pada tahun 1955. Tetapi, jiwa yang tidak pernah merasa puas telah mamacu beliau lagi bersama isterinya, bermula di Geneva dituruti Maghribi, kemudian ke Tangiers di mana beliau menetap selama 19 tahun. Seterusnya pada tahun 1982, Asad berhijrah ke Sintra, di pinggir Lisbon, Portugal, dan akhirnya ke Mijas di Sepanyol.

Di dalam bukunya “Principles of State and Government in Islam” yang diterbitkan pada tahun 1961, Asad menggariskan dalam terma yang jelas asas-asas negara Islam berdasarkan arahan al-Qur’ān dan Hadith Rasūlullāh.

Ringkasnya, dua perkara asas yang jelas dalam sesebuah Negara Islam adalah pertamanya, kedaulatan yang hakiki merupakan haq Allah dan keduanya, umat Islam perlu menjalankan segala urusan kenegaraan berdasarkan prinsip musyawarah atau dalam terma moden apa yang di sebut sebagai demokrasi.

Melalui rangka ini, Asad menunjukkan bahawa Negara Islam mempunyai keanjalan untuk menerima sifat-sifat sistem demokrasi berparlimen dan pemerintahan berasaskan undang-undang yang adil (rule of law), sepertimana ia boleh mencontohi institusi berpresiden Amerika dan Mahkamah Agung, selama mana ia berprinsipkan ‘adl dan ihsan.

Jilid pertama The Message of the Qur’an diterbitkan pada tahun 1964The Message of the Qur’an

Asad mula merenung dan berfikir untuk suatu projek agung dalam menterjemahkan al-Qur’an ke dalam bahasa Inggeris semasa di Geneva. Pada tahun 1960, Asad memulakan hasratnya.

Jilid pertama The Message of the Qur’an diterbitkan pada tahun 1964. Ia merupakan terjemahan dan tafsiran hingga ke Surah at Taubah.

Keseluruhan Tafsir The Message of the Qur'ān di terbitkan pada tahun 1980. Asad berhasrat hanya untuk mendedikasikan dua tahun untuk melengkapkan terjemahan dan tafsir al-Qur’ān tersebut tetapi akhirnya memakan masa selama tujuh belas  tahun. Ia telah dipuji sebagai salah satu terjemahan al-Qur’ān yang terbaik, kalaupun tidak yang paling unggul, ke dalam bahasa Inggeris.

Tafsir “The Message of the Qur'an didedikasikan kepada “mereka yang berfikir” (for people who think). Sepertimana yang telah dijelaskan oleh Asad dalam penerangannya terhadap ayat 31-33 dari Sūrah al-Baqarah bahawa melalui kemampuan manusia untuk berfikir secara konsepsual, maka dengannya, status manusia adalah lebih tinggi martabatnya daripada Malaikat. “Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (ism) seluruhnya[2:31]

Dan ayat seterusnya menunjukkan disebabkan ilmu untuk mengetahui “ism” (nama) yang diberikan oleh Allah, manusia adalah, dalam beberapa segi, lebih tinggi darjat kedudukannya daripada Malaikat.  “Ism” atau “Nama” adalah ekspresi simbolik kepada keupayaan untuk menghurai serta mendefinasikan makna dan konsep, kuasa untuk mena’akul pemikiran yang hanya mampu dilakukan oleh manusia dan dengannya, dalam bahasa al-Qur’ān, manusia mampu untuk menjadi Khalifah Allāh di bumi ini.

Maka tidak ada sebarang kebaikan dengan hanya bertaklid buta; dan al-Qur’ān itu, seperti yang kita akan sebutkan kemudian melarang tindakan yang sedemikian:

Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya..”[17:36]

Sebaliknya, setiap orang yang beriman disuruh supaya menggunakan akal, mengejar ilmu dalam ertikata yang seluas-luasnya, dan memperolehi kemampuan untuk membuat penilaian dalam perkara yang berhubung dengan moral maupun keagamaan.

Ayat ini menerangkan lagi, pertangungjawaban pada Hari Akhirat adalah kepada individu: kita akan ditanya tentang apa yang kita telah lakukan bukan siapa yang kita ikuti. Oleh kerana itu, para pengikut harus melihat bukan hanya kepada rumusan yang telah dibuat ratusan tahun dahulu, tetapi menggarap akal pemikiran yang kritis kepunyaan mereka sendiri.

Umat Islam adalah diwajibkan untuk memahami Agama mereka sebaik yang mungkin berdasarkan kemampuan akal yang diberikan Allah sebelum mencari sebarang bantuan untuk meluaskan kefahaman mereka. Kepada Muhammad Asad, setiap umat Islam sepatutnya mampu berkata “al-Qur’ān telah di wahyukan kepada diriku”

Merupakan koleksi artikelnya tentang pemikiran politik dan aliran keagamaan umat IslamLiku-liku Akhir Hayatnya

Pada tahun 1987, Asad menerbitkan “This Law of Ours and Other Essays”, yang merupakan koleksi artikelnya tentang pemikiran politik dan aliran keagamaan umat Islam yang beliau tulis saban tahun tetapi tidak di terbitkan. Beliau kekal aktif dari segi intelektual sehingga ke akhir hayatnya. Beliau juga tidak pernah meninggalkan kehidupan yang penuh dengan pengembaraan dan penghijrahan, bergerak dari timur ke barat, utara ke selatan, menghabiskan selama 19 tahun di Tangier, Maghribi, sebelum berpindah ke Mijas, Andalusia salah satu daerah di Sepanyol.

Leopold Weiss dilahirkan pada 2 July 1900. Muhammad Asad meninggal dunia apada 20 July 1992. Beliau dikebumikan di tanah perkuburan Islam Granada, Andalusia.

Muhammad Asad telah berdiri dengan kekuatan sendiri diantara umat Islam kontemporari kerana keistimewaan persepsi dan sumbangannya kepada Islam. Dengan penguasaan beliau dalam bahasa Inggeris, ilmu beliau dalam Kitab Injil dan sumber-sumber Injil, juga sejarah dan ketamadunan bangsa Yahudi, Asad telah mencapai kejayaan yang lebih besar dalam menyampaikan kepada pembaca Islam dan bukan Islam intipati ajaran Islam dalam sejarah dan konteks yang kekal abadi serta tidak terikat pada mana-mana zaman.

Tetapi disebalik perkataan-perkataan dan buku-bukuan, Asad ingin melihat tubuh Islam yang hidup dan berkembang dalam dunia moden ini. Walaupun cemas dengan keadaan sedih Umat Islam dan agenda mereka yang kalut, beliau kekal optimis hingga ke akhir hayatnya bahawa generasi baru umat Islam akan bangkit dan melaksanakan impian beliau menjadi realiti.

Beliau ingin, terutamanya, melaburkan harapan yang tinggi kepada para pemuda Islam untuk idealisma, kemampuan dan keinginan untuk berfikir dan berhujah. Asad merupakan suara hati kepada umat Islam yang berfikir. Dan inilah Tafsir beliau yang amat bijaksana itu yang akan diterjemahkan.

 


IRF telah siap menterjemahkan Juzuk ke-30 The Message of the Qur’an ke dalam Bahasa Melayu buat kali pertamanya di ketuai oleh Dr Ahmad Nabil Amir (PhD Usuluddin).

asad_juz30_maroon_pr