[Yang Ditunggu2!!] Isu Bersedekap: Kenapalah URD Tidak Mahu Mengakui Kesilapannya.?

Primary tabs

1. Ustaz Adlan Abd Aziz mengirimkan artikel baru ke al-ahkam.net. Artikel yang dinanti-nantikan... Apakah respond balas dari ustaz Adlan terhadap jawapan Ustaz Rasul Dahri (URD) mengenai isu bersedekap di atas dada ketika solat. Jawapan URD terhadap teguran ustaz Adlan ini disalurkan melalui mukadimah buku terbarunya (Bertaqwalah Kepada Allah! Perbaikilah Solat Safar Anda! Dengan Mencontohi Solat Jamak & Qasar Rasulullah).

2. Dapat kita simpulkan bahawa kalaulah URD mengakui sahaja kesilapannya, sudah tentu banyak perkara akan selesai.

3. Orang yang cerdik tidak melihat isu ini hanya semata-mata isu bersedekap sahaja. Tetapi dia melihatnya lebih jauh dari itu. Isu bersedekap ini penting kerana ia akan dijadikan kes contoh untuk masalah-masalah lain. Banyak pengajaran dari kes ini, antaranya ialah:

  • Tidak semestinya orang yang melaungkan salafi.. Sunnah dan sebagainya sentiasa benar bila mereka berkata: Ini Sunnah! Ini pendapat salaf.. Ini itu dan ini.. Kita perlu semak, siasat dan teliti.
  • Belajarlah dengan ikhlas dengan semua guru dan ilmuan tidak kira mereka mereka itu salafi ataupun tidak.
  • Orang yang sering mengeji kaum tua sebagai pentaklid buta kadangkala menjadi pentaklid buta jauh lebih teruk dari mereka yang dikeji itu. Mengeji orang bertaklid mazhab tertentu tetapi dia sendiri sering terjebak dengan taklid satu mazhab baru yang asing lagi ganjil.

4. Bacalah artikel ustaz Adlan di bawah ini dengan hati yang terbuka..

 



JAWAPAN TERBARU TERHADAP URD

Oleh: Adlan Bin Abd. Aziz

Ini adalah ulasan bahagian pertama terhadap persoalan pertama yang saya bangkitkan dalam artikel bertajuk 'Ulasan buku berkaitan sifat solat Nabi s.a.w. yang disiarkan di alitantawi.blogspot.com dan al-ahkam.net.

Nasihat saya pada yang membacanya agar :

Pertama – membaca secara berturutan dari awal ia bermula hingga ke tulisan ini.
Kedua – menilai tulisan kedua pihak – saya dan Ustaz Rasul Dahri – dengan membuat perbandingan dan pembacaan berkaitan dari sumber lain agar dapat difahami apakah topik yang sedang dibincangkan.
Ketiga – kalau tidak suka dengan perbincangan sebegini (atas pelbagai sebab) tidak perlulah membuang masa untuk menghentam atau memberi komen negatif seperti 'buang masa, tidak ada faedah, niat yang kotor' dan sebagainya. Kalau tidak suka dan tidak mahu ambil tahu, silakan lakukanlah perkara lain yang lebih berfaedah daripada mencerca hasil perbincangan orang lain. Ini adalah untuk mereka yang tahu menilai hasil penulisan dan perbincangan ilmiah. Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang mengikuti dan memberikan idea serta pandangan positif. 

* [Ia bermula dengan sebuah ulasan (dalam tiga siri) terhadap penulisan Ustaz Rasul Bin Dahri. Iaitu:] 

TULISAN ASAL YANG DIULAS (URD):

Saya mulakan dengan menyebut apakah tulisan Ustaz Rasul Bin Dahri yang telah saya ulas iaitu: 

Ustaz Rasul telah menyebut hadith berikut: 

كان يضعهما على الصدر


maksudnya (seperti disebut oleh penulis) :

Baginda meletakkan kedua tangannya (bersedekap) di dada. 

Kemudian di nota kakinya bernombor 31, penulis menyebut:

"Disebut oleh Bukhari dalam sahihnya. Di dalam al-Muwatta'. H/R Abu Daud, Ibnu Khuzaimah, Ahmad dan Abu Syeikh, Tirmizi menghasankan salah satu hadith ini".

[Diambil dari buku Ustaz Rasul Bin Dahri bertajuk: Sabda Rasulullah s.a.w.: Solatlah kamu sebagaimana Aku solat', muka surat 16, terbitan Syarikat Ummul Qura, cetakan kedua tahun 2010]  

* [Lalu saya telah menulis satu ulasan terhadap kata-kata di atas seperti berikut:] 

ULASAN SAYA TERHADAP TULISAN DI ATAS (ADLAN ABD AZIZ) :

1-Kata-kata dalam nota kaki itu "Disebut oleh Bukhari dalam sahihnya" - sedangkan hadith ini sama ada dengan lafaz yang dinyatakan di sini atau pun apa-apa hadith yang membawa maksud 'di atas dada' tidak ada disebut langsung dalam Sahih al-Bukhari.

2-Kata-kata "Di dalam al-Muwatta". Biasanya apabila disebut al-Muwatta' maka ia merujuk kepada karya Imam Malik Bin Anas (wafat 179H) - walaupun penuntut ilmu tahu bahawa terdapat Muwatta' lain karya imam-imam lain. - Namun begitu, jika dimaksudkan al-Muwatta' karya Imam Malik, masalah yang timbul ialah tiada didapati hadith 'di atas dada' dalam al-Muwatta' dengan pelbagai versi riwayat-riwayatnya.

3- "H/R Abu Daud, Ibnu Khuzaimah, Ahmad dan Abu Syeikh". - Kenyataan ini memang tepat kerana sememangnya ada hadith berkaitan 'di atas dada' dalam Sunan Abu Daud, Mukhtasor al-Mukhtasor atau lebih dikenali dengan Sahih Ibnu Khuzaimah, Musnad Imam Ahmad dan Abu Syeikh dalam buku Tabaqat al-Muhaddithin Fi Asbahan.

4- "Tirmidzi menghasankan salah satu hadith ini" - Di sini terdapat 2 ulasan yang ingin saya nyatakan:

Pertama, apa maksud 'menghasankan salah satu hadith ini' dalam nota kaki tersebut? Sedangkan…

Kedua, apabila dilihat dalam Jami' al-Tirmidzi atau lebih popular dengan nama Sunan al-Tirmidzi, di dapati bahawa tidak ada lafaz 'di atas dada' dalam hadith berkaitan sifat solat Nabi s.a.w. yang disebutkan dalam buku itu.

[Tulisan di atas telah disiarkan di blog saya : alitantawi.blogspot.com dan juga di laman web : al-ahkam.net] 

[Setelah itu Ustaz Rasul telah menjawab persoalan yang saya timbulkan ini dalam tulisannya berbunyi seperti berikut:] 

ULASAN BALAS USTAZ RASUL DAHRI TERHADAP SAYA (URD):

Pada hadis tersebut pada cetakan pertama dan di cetakan kedua ditulis pada nota kakinya: "Disebut oleh al-Bukhari dalam sahihnya. Di dalam al-Muwatta'. H/R Abu Daud, Ibnu Khuzaimah, Ahmad dan Abu Syeikh, Tirmizi menghasankan salah satu hadis ini". 

Sebenarnya apa yang saya tulis di nota kakinya dengan ayat: "Disebut oleh al-Bukhari" adalah dengan maksud: "Didapati maknanya (secara makna) di dalam hadis riwayat al-Bukhari sebagiamana yang dijelaskan oleh Syeikh al-Albani di dalam kitabnya Sifat Solat Nabi dan bukan bermaksud hadis riwayat al-Bukhari, kerana tidak ada di dalam riwayat al-Bukhari hadis seumpama itu. 

Dalam tulisan Syeikh al-Albani yang saya ringkaskan di nota kakinya tertulis: "H/R Abu Daud, Ibnu Khuzaimah, Ahmad dan Abu Syeikh, Turmizi menghasankan salah satu sanad hadis ini. Secara makna hadis ini disebut di dalam al-Muwatta' dan al-Bukhari dalam Sahihnya. (Menurut al-Albani lagi): Saya telah menjelaskan secara rinci sanad-sanad hadis ini dalam Kitab Ahkamu al-Janaiz halaman 118.

[Diambil daripada pendahuluan buku Ustaz Rasul Bin Dahri bertajuk: 'Bertaqwalah Kepada Allah! Perbaikilah Solat Safar Anda! Dengan Mencontohi Solat Jamak & Qasar Rasulullah (salallahu alaihi wasallam)' - m.s. 7-11. penerbit- syarikat ummul qura sdn bhd. Cetakan pertama februari 2011.] 

[Kali ini saya ingin menyambung siri perbincangan ilmiah ini dengan tulisan berikut sebagai persoalan dan juga perbincangan untuk dinilai oleh semua:] 

ULASAN SAYA PADA TULISAN KALI INI (ADLAN ABD AZIZ):

Pertamanya, saya hairan bagaimana ayat berbunyi 'disebut oleh al-Bukhari dalam Sahihnya' adalah sama maksudnya dengan 'didapati maknanya di dalam hadis riwayat al-Bukhari'. Begitu juga apabila penulis meletakkan di dalam nota kaki itu 'Di dalam al-Muwatta' kemudian diberitahu maksudnya ialah 'secara makna hadis ini disebut di dalam al-Muwatta'. Sepatutnya di nota kaki itu boleh terus dinyatakan 'Maksud hadith ini ada di dalam hadis al-Bukhari dan hadis al-Muwatta'. 

Keduanya, apakah hadis yang dikatakan membawa makna 'meletakkan tangan di atas dada' itu? Bukankah pembaca berhak untuk melihat sendiri dan membuat penilaian adakah hadis itu benar-benar sama 'maknanya' dengan hadith 'meletakkan tangan di atas dada'? 

Ketiga, saya ingin menasihatkan diri saya dan sesiapa sahaja apabila ingin meringkaskan sesuatu buku, pastikanlah tiada maklumat yang berlainan atau bercanggah dengan buku asal. Jika ada, maka berikanlah petunjuk dan tanda bahawa itu adalah penambahan penterjemah, dan ia tidak ada dalam buku asal. Dalam hal ini, apabila Ustaz Rasul menyebut bahawa beliau menterjemahkan dan meringkaskan dari buku Sifat Solat Nabi s.a.w. karya al-Albani, kita dapati terdapat terjemahan yang tidak sama dengan buku asal. Contohnya terjemahan yang diberikan ialah 'disebut oleh al-Bukhari' dan sebagainya tidak sama dengan apa yang ditulis oleh penulis buku asal iaitu al-Albani.

Bersambung dalam ulasan kedua yang akan datang …insya Allah

* untuk perhatian sesiapa yang masih tidak tahu - saya dan pihak URD ada mengusahakan pertemuan/dialog untuk merungkaikan permasalahan dan kritikan terhadap buku beliau tetapi tidak berhasil. Ada sebahagian yang beranggapan saya tidak mahu bertemu URD. Tetapi yang sebenarnya ialah saya tidak mahu bertemu URD kerana - URD tidak bersetuju dgn syarat pertemuan yg saya kemukakan iaitu - 1-perlu ada saksi, 2-perlu dirakam, 3-hasil perbincangan nanti perlu disebarkan untuk umum. Tetapi URD tidak bersetuju dan meminta pertemuan berlaku 4 mata, tanpa sebarang saksi atau rakaman dan beliau minta selesai begitu sahaja. Maka itulah sebabnya tidak berlaku sebarang pertemuan dan perbincangan. itu sebenarnya yg berlaku. Terima kasih.