BAB 5
IBN `ARABI (1165 - 1240M) AI-JILI, AL-MIDRASI
a. Martabat tiga ibn-'Arabi.
Hubungan Dzat Allah itu dengan segala aneka alam makhluk yang ada ini, menurut ibn-'Arabi, diumpamakan Allah itu seperti badan, manakala alam yang berbagai-bagai ragam banyaknya ini adalah seperti segala anggota bagi badan itu tidak boleh berasingan tanpa badan. Maka rnenurut ibn-'Arabi, tajalli Dzat Allah hingga jadi hakikat segala yang ada ini bertanazzul (menurun) sampai kepada pengetahuan kita melalui tiga martabat (lapisan).
Martabat pertama ialah (الأحدية المطلقة) (Ketunggalan Mutlak) yang digelar Martabat Dzat, atau ibn-'Arabi namakan al-'Ama' (kabus). Dikatakan ada hadith yang berbunyi. "Ada orang yang bertanya kepada Rasulullah `Di manakah Tuhan kamu sebelum dijadikan alam zahir ini?' Dia ada dalam al-'Ama'; tanpa ada ruang sama ada di atas atau di bawah." Tentang Dzat Tuhan di lapisan al-'Ama' ini kita tidak tahu satu apapun, yang kita boleh katakah ialah bahawa Dzat ini Wujud Mutlaq tanpa nama, tanpa sifat, dan tanpa sandaran (إضافة).
Martabat kedua ialah (الواحدية) (al-Wahidiyah, ketunggalan). Pada Martabat ini bertajallilah sudah segala nama dan segala sifat Allah. Maka inilah martabat al-Haqq atau Allah dalam istilah Islam. Tetapi segala nama dan segala sifat Tuhan itu dari satu segi ialah tidak lain daripada Dzat itu sendiri, dan dari satu segi pula ialah alam semesta luaran zahir ini. Kerana, menurut ibn-'Arabi, alam semesta zahir ini tidak lain daripada segala kumpulan mazahir atau manifestasi tajalli Dzat yang Maha Tunggal dengan segala rupa bentuk yang tidak terhingga. Maka alam semesta zahir ini tidak lain daripada kumpulan sifat-sifat Allah. Dari sini bolehlah dikatakan bahawa semua segala yang ada ini adalah sifat bagi al-Haqq. Di atas telah disebut bahawa segala dan seluruh alam makhluk ini adalah seperti anggota-anggota dan Allah itu seperti badan. Kata ibn-'Arabi, "Apa sahaja yang kami sifatkan-Nya (al-Haqq) tidak lain daripada kita semua ini (alam semesta) adalah sifat itu." "Dialah yang dinamakan dengan setiap nama yang dinamakan dalam alam ini ..." Hubungan di antara Ahadiyah dengan Wahidiyah adalah seperti hubungan di antara bersedia ada dengan benar ada (وجود بالقوة ووجود بالفعل) tanpa batasan zaman kerana tajalli Allah itu adalah proses kejadian azali abadi yang berterusan. Tujuan-Nya ialah mengenal al-Haqq dengan kelahiran segala nama dan sifat-Nya di alam wujud ini. Inilah tafsiran ibn-'Arabi tentang erti dan rahsia al-khalq (kejadian). Untuk menegakkan pendapatnya ini beliau bawa Hadith (sebenarnya bukan Hadith) yang berbunyi,
كنت كنزا مخفيا فأحببت أن أعرف فخلقت الخلق فبي (أو فيه) عرفوني
Terjemahannya: "Aku adalah perbendaharaan yang tersembunyi. Maka Aku inginkan supaya dikenal. Lalu Akupun jadikan makhluk. Maka dengan Aku (atau maka padanya) mereka kenalkan Aku."
Oleh kerana ungkapan ini bukan hadith sahih pada penilaian ulama' Hadith, maka dari sudut `Aqidah Islam tidak boleh diterima sah menjadi dalil bagi apa yang dikatakan oleh ibn-'Arabi ini.
Menurut ibn-'Arabi, al-Haqq menjadikan manusia atau melahirkan segala sifat dan segala nama-Nya dalam bentuk yang amat sempurna maka itulah rupa manusia.
Martabat ketiga ialah syuhud al-Haqq dalam hati sufi. Maka lenyaplah yang banyak dalam yang Esa, yang berkesudahan pun lebur ke dalam yang tidak berkesudahan. Dalam hal ini si sufi itu sudah tidak nampak lagi ada dirinya dan ada alam sekeliling, dia hanya nampak Allah Yang Tunggal yang dikenalinya dengan cara dzauq melalui hubungan dia dengan-Nya. Maka terlaksanalah Wahdat al-Dzat (Kesatuan Dzat) bersamanya.
b. Akhirat menurut pengertian Islam tidak ada
Segala apa yang dikatakannya itu adalah berlainan dengan idea 'aqidah ketuhanan dalam Islam. Konsep ketuhanan dalam Islam mengatakan bahawa Allah itu Qadim dan selain-Nya hadith (baharu) belaka yang dijadikan daripada tiada kepada ada (creation ex nihilo). Pendapat ibn-'Arabi dalam masalah ini adalah sama dengan ahli-ahli falsafah (falasifah). Ibn-'Arabi meniru falasifah. Hanya cara penyampaiannya sahaja berbeza. Tentang bagaimanakah alam semesta ini lahir dari Allah (sebenarnya Allah juga), dengan daya imaginasinya beliau membuat rekaan teori tajalli Dzat al-Haqq atau Dzat Allah dalam istilah Islam. Lantas memperkenalkan istilah Ahadiyah, Wahidiyah, dan Syuhub al-Haqq, seperti tersebut di atas. Beliau menolak `Aqidah Islam, Ahli Sunnah yang mengatakan alam ini terjadi daripada tiada kepada ada. Sebaliknya beliau mengatakan bahawa alam semesta ini adalah azali dan abadi. Apa yang digelar alam akhirat ialah segala benda menjadi-jadi yang berterusan. Apa yang orang Islam kata ada alam dunia dan ada alam akhirat, pada ibn-'Arabi, adalah semata-mata nama bagi proses musnah sesuatu benda dan jadi semula dalam bentuk lain. Proses kejadian seperti ini beliau gelar (الخلق الجديد) (kejadian baharu) seperti biji jadi pokok, pokok jadi papan, papan jadi perabut, perabut jadi sampah, sampah jadi baja, baja jadi penyubur tanaman, tanaman jadi demikianlah seterusnya yang tidak berakhir. Proses seperti inilah yang beliau maksudkan dengan kejadian baharu. Bentuk dan rupa benda adalah berubah-ubah, maka inilah baginya yang dimaksudkan dengan alam ini. laitu apabila benda-benda itu bertukar rupa dan bentuk yang berlainan ketika dan detik masa benda itu musnah, maka dengan serentak pada detik itu juga benda itu bertukar menjadi bentuk dan rupa yang berlainan ad infinitum. Dalam menegakkan konsep alam qadim ini dan pengistilahan kejadian baharu (al-khalq al-jadid) ini, ibn-'Arabi memetik ayat Qur'an berbunyi:
بَلۡ هُمۡ فِي لَبۡسٍ مِّنۡ خَلۡقٍ جَدِيدٍ
Terjemahannya: "Sebenarnya mereka dalam keadaan ragu-ragu tentang penciptaan kejadian yang baharu."
Menurut Ilmu Tafsir, kejadian baharu dalam ayat ini dimaksudkan hidup selepas mati.
Dari manakah ibn-'Arabi menciplak teori tasawuf tajallinya?
Perbicangan Martabat Tujuh (yang akan menyusul, setakat ini hanya Martabat Tiga) atau asal kejadian dan hakikat wujud Allah-alam-manusia berakhir dengan Wahdat al-wujud, tanzih-tasybih, Allah ialah alam dan alam ialah Allah, Allah ialah manusia dan manusia ialah Allah merupakan hasil pemikiran kacau bilau kerana salah cara berfikir; memulakan kajian dan pemikiran daripada dasar yang salah iaitu memikirkan tentang Dzat Allah. Sikap ini melanggar amaran Raslullah yang bersabda:
تفكروا في خلق الله ولا تفكروا في الله
Terjemahannya: "Berfikirlah kamu tentang makhluk Allah dan jangan berfikir tentang Allah." (Riwayat Abu Na'im dalam al-Hilyat dari ibn- 'Abbas, dengan sanad dhaif tetapi ertinya betul)
Hadith ini menyuruh orang berfikir tentang makhluk Allah sehingga dirasakan betapa rumitnya maka barulah disedari betapa hebatnya Qudrat dan Kesempurnaan Allah. Akan tetapi kalau dimulakan berfikir daripada Allah itu sendiri, maka akibatnya akan berakhir dengan perkara yang tidak betul dan tidak boleh diterima akal seperti tasybih disamping tanzih atau immanent di samping transcendent seperti yang didapati dalam perbincangan di atas.
Martabat tiga ibn-'Arabi tersebut adalah semata-mata falsafah metafizikanya yang sama sekali tiada hubungan dengan `Aqidah Islam yang berasaskan al-Qur'an dan Sunnah yang sahih.
Dalam usaha melahirkan teori tajallinya itu ibn-'Arabi membawa satu ungkapan yang berbunyi (كنت كنزا مخفيا.... الخ) yang dikatakan Hadith Qudsi. Tetapi menurut ulama hadith bahawa ungkapan itu bukanlah hadith sama sekali. Sebenarnya ibn-'Arabi terpengaruh dengan neoplatonism, kesatuan Lahut dengan Nasut al-Hallaj, dan penyelewengan teori jauhar dan 'aradh Asy'ariyah. Asy'ariyah mengatakan jauhar itu hadith, ibn-'Arabi mengatakan itulah Allah.
1. Neoplatonism di asaskan oleh seorang pendeta Yahudi bernama Philo Judaeus (20 S.M. - 50M) tentang ketuhanan yang menjadikan alam ini. Philo mengambil idea Plato (347 S.M) tentang asal kejadian alam ini. Alam ideas adalah berdiri dengan dzatnya sendiri kata Plato. Philo mengubahnya dengan mengatakan bahawa ideas itu dalam akal Tuhan; hakikat benda (matter) itu jahat kata Philo tetapi Plato kata tidak; dan kejadian alam semesta ini, kata Philo (bukan Plato) adalah satu lempahan daripada kebaikan Tuhan (a spilling over of God's abundant goodness). Konsep "Iimpahan" ini ada persamaan dengan teori limpahan (al-faidh) atau tajalli ibn-'Arabi seperti tersebut di atas. Philo ada seorang murid bernama Ammonius Saccas yang melahirlan seorang tokoh bernama Plotinus (270M). Falsafah Philo-Plotinus itulah yang dinamakan Neoplatonism.
Maka teori al-faidh - emanation Neoplatonism ini ada persamaan dengan apa yang digelar tajjali oleh ibn-'Arabi dalam erti kata bahawa Allah melahirkan segala sesuatu dari ada dalam Ilmu-Nya kepada ada pada kenyataan sebenarnya. Maka alam zahir kita ini sentiasa dalam keadaan perubahan yang berterusan atau seperti tersebut di atas. Maka wujud makhluk bukanlah wujud daripada tiada kepada ada tetapi daripada ada kepada ada, iaitu tajalli al-Haqq yang berterusan dan berubah setiap detik dan banyaknya tiada terkira. Walaupun begitu banyak dan berterusan tetapi tiada berulang.
2. IbniArabi memfalsafah hadith:
خلق الله آدم على صورته
Terjemahannya: "Allah menjadikan Adam di atas rupanya (Adam)."
Allah menjadikan Adam a.s. atas rupanya (Adam) yang serupa sejak dalam syurga hingga turun ke dunia. Hadith ini bertujuan menolak orang yang menyangka bahawa bila turun ke dunia berubah rupanya. Perbincangan yang panjang lebar sila lihat (فتح الباري: كناب الإستئذان). Al-Hallaj mentafsirkan ungkapan ini dengan menggunakan teori hulul (Allah menempat) sama seperti Kristian mengenai Jesus (dengan mengatakan bahawa Allah menempat dalam diri Jesus). Malah, al-Hallaj pergi lebih jauh lagi dari itu kerana hakikat manusia, pada pandangannya, ialah Rupa Allah, dengan merujukkan di atas "rupa-Nya". Dia maksudkan di atas rupa Allah bukan di atas rupa Adam: Itulah rupa Allah Yang Dia lahirkan sejak azali. Maka rupa manusia itu ada dua nature iaitu nature Allah dan nature manusia. Dua nature ini bercampur sebati menjadi satu hingga boleh dikatakan bahawa "Ini ialah Itu dan itu adalah Ini." maka kata al-Hallaj ini ada persamaan dengan kata ibn-'Arabi:
إن وجود المحدثات المخلوقات هو عين وجود الخالق
Terjemahannya: "Bahawa ada segala makhluk yang baharu ini tidak lain daripada ada Khalik Pencipta itu Sendiri."
3. Ibn-'Arabi terpengaruh dengan teori jauhar - 'aradh Asy'ariyah. Wahdat al-Wujud ibn-'Arabi memaksakannya tidak ada mumkin al-wujud yang baharu. Sekalipun dia kata ada A'yan Thabitah (Fixed Proto Types; ada segala mumkin). Kerana A'yan Thabitah ini sendiri ertinya bersedia ada, bukan benar-benar ada. Apabila sudah ada maka digelar A'yan Kharijah / Farijah (Exterior Essences).
Maka idea ibn-'Arabi ini dari satu segi ada persamaan dengan Asy'ariyah kerana mereka ada mengatakan bahawa alam ini dari sudut jauhar (substance) ada persamaan tetapi 'aradh itu berlainan pada jauhar yang satu dengan setiap detik. Maka menurut aliran mereka, segala yang ada (all beings) adalah dalam keadaan yang berubah-ubah yang berterusan daripada jauhar yang satu yang tetap tidak berubah. Maka ini menyerupai apa yang digelar oleh ibn-'Arabi kejadian baharu (الخلق الجديد) seperti tersebut di atas. Di sini ibn-'Arabi mahu menyalahkan Asy'ariyah kerana mereka tidak mahu mengatakan bahawa jauhar itu ialah al-Haqq (Allah) dan keseluruhan bentuk dan rupa yang berubah-ubah yang digelar 'aradh itu ialah al-khalq (makhluk). Malah Asy'ariyah mengatakan ada jauhar-jauhar tunggal (atoms). Menurut ta'rif mereka, jauhar-jauhar ini ialah kumpulan 'aradh tetapi berdiri sendiri (قائم بنفسه) kalau tidak berdiri sendiri tetapi menumpang dengan yang lain maka dinamakan 'aradh. Asy'ariyah berjiwakan ithnainiyat al-wujud (iaitu wujud Allah Yang Qadim dan wujud makhluk yang hadith, dan jawhar itu hadith) tetapi ibn-'Arabi menganut Wahdat al-wujud (Allah ialah segala-galanya).
Dengan ini maka jelaslah bahawa tasawuf falsafah Wahdat al-wujud ibn-'Arabi mencedok daripada tiga sumber tersebut:
- Philo - Plotinus tentang teori satu dan banyak (Neoplatonism),
- Hulul (Menempatan) Lahut dengan Nasut (Tuhan bersatu dengan manusia) dari al-Hallaj, dan
- Konsep jawhar dan 'aradh (عرض - جوهر) Asy'ariyah.
Dari tiga ramuan ini dia mencipta falsafahnya yang tersendiri. Tidak kurang juga ibn-'Arabi mengambil daripada Syi'ah tentang konsep Wahdat al-Wujud, al-Haqiqah al-Muhammadiah dan Imam Mahdi. Haqiqat Muhammadiah itu bersamaan dengan Qutub bagi orang tasawuf ada persamaan dengan Imam Ma'sum bagi Syi'ah dan Qaramitah (Batiniah).
Pengertian Neoplatonism, Hulul, Nasut, Jawhar dan `Aradh
Neoplatonism
Neoplatonism yang ada kaitan dengan teori Martabat Tujuh ini ialah seperti yang dikatakan oleh Philo bahawa Allah Maha Esa. Terbit (emanation) daripada Maha Esa ialah esa tetapi berlapis-lapis iaitu ideas, logos (keseluruhan idea), Ruh al-Qudus, para malaikat, manusia dan akhir sekali benda.
Hulul
Erti asal perkataan hulul menurut ulama ialah bersatu dua jisim sehingga apabila disebut yang pertama termasuk juga yang kedua, seperti hulul air mawar dalam bunga mawar. Aliran hulul beri'tiqad bahawa Allah menempat dalam setiap sesuatu, dan dalam setiap juzu' (bahagian) daripada sesuatu, sehingga bolehlah dikatakan bahawa setiap sesuatu itu ialah Allah (الله هو كل شيئ), penjelmaan Lahut ke dalam Nasut. Hulul Lahut ke dalam nasut itu ialah seperti hulul Allah dalam jasad Isa menurut i'tiqad Kristian. Bagi al-Hallaj, Nasut itu adalah aspek luaran bagi Lahut (manusia aspek luaran bagi Allah).
Jawhar dan `Aradh
Jawhar dan `Aradh ini ada dalam perbincangan Ilmu Kalam Asya'irah. Erti (المتحيز) (benda yang mengambil tempat) itulah yang digelar (جوهر) (jawhar), (الحال فيه) (benda yang menempat dalam jauhar) itulah yang digelar (عرض) (‘aradh). Maha Maujud bukan jawhar dan bukan `aradh ialah Allah. Selain Allah iaitu alam semesta ini adalah jawhar dan `aradh. Semuanya itu hadith (baharu) belaka, demikian kesimpulan daripada perbincangan dalam Ilmu Kalam. Tetapi bagi ibn-'Arabi, jawhar dan alam itu adalah seQadim Allah sendiri.
Dari teori emanasi (lempahan) oleh Philo - Plotinus; Lahut - Nasut oleh al-Hallaj; dan jawhar - `aradh oleh Asy'irah, ibn-'Arabi membentuk teorinya yang tersendiri. Teori apakah itu? Itulah teori kejadian alam semesta ini, yang menjadi tajuk perbincangan kita iaitu teori Martabat Tujuh yang digelar tanazzulat (Allah Menurun). Walau bagaimanapun, teori tanazzulat ibn-'Arabi tidaklah tujuh tetapi tiga sahaja seperti yang tersebut. Maka bolehlah kita kata Martabat Tiga oleh ibn 'Arabi ialah hasil ubah suaian daripada tiga sumber tersebut.
Maka inilah falsafah metafizik ibn-'Arabi tentang hakikat alam semesta. Bila kita ulangkaji tentang erti Ahadiyah, Wahidiyah, dan Syuhud al-Haqq tiada tempat bagi `Aqidah ketuhanan Ahli Sunnah yang beri'tiqad adanya Allah al-Ma'bud (Yang diibadatkan), Allah Yang Mengatur alam semesta ini, Allah Yang bersifat Wujud, Qidam, Baqa,, Mukhalafatuhu lil-hawadith, Qiamuhu binafsihi, Wahdaniat, Qudrat, Iradat, Ilmu, Hayat, Sama', Basar, Kalam, Qadirun, Muridan, `Alimun, Hayyun, Sami'un, Basirun, dan Mutakllimun. Dengan kata lain, Allah ada sifat nafsiah, salbiah, ma'ani, ma'nawiah, istighna' dan seumpamanya.
Mengenai Sifat-sifat Allah, maka dalam mazhab Wahdat al-Wujud, sifat-sifat itu tidak lain daripada Dzat itu sendiri. Bagi Ahli Sunnah, Sifat Allah bukan Dzat-Nya. Contohnya firman Allah:
قَالَ لَا تَخَافَا إِنَّنِي مَعَكُمَا أَسْمَعُ وَأَرَى
Terjemahannya: "Allah berfirman. `Janganlah kamu berdua takut, sesungguhnya Aku bersama kamu berdua, Aku mendengar dan melihat." (Thoha: 46)
Kefahaman ayat ini bagi Ahli Sunnah bahawa Allah bersama kamu berdua (bersama kita semua) dengan Sama' dan Basar-Nya (pendengaran dan penglihatan-Nya). Tetapi bagi Wahdat al-Wujud Dzat Allah sendiri bersama kamu berdua (kita semua).
Mengenai Asma' (Nama-nama) Allah dalam i'tiqad Wahdat al-Wujud ibn-'Arabi. Firman Allah:
إِنَّ اللَّهَ لَطِيفٌ خَبِيرٌ
Terjemahannya: Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui. (Al-Hajj: 63)
Maksud "Maha Halus", menurut AhliSunnah ialah ilmu Allah itu maha meliputi segala sesuatu walau bagaimanapun halus kecilnya sekalipun. Tetapi bagi ibn-'Arabi, ia berkata bahawa Kehalusan Allah (لطف الله) berasal daripada kalimah (اللطافة) kelemah lembutan lawan kekasaran. Jelas sekali kelemah lembutan Allah Ta'ala kerana Dia adalah Jawhar yang menyerap ke dalam segenap alam wujud semesta yang tersembunyi (hulul). Dia dalam setiap sesuatu benda atau perkara itu sendiri walau apapun nama-namanya dinamakan, walau apapun ta'rif-ta'rif dita'rifkan katakanlah ini pokok, ini batu, dan ini langit, sedangkan Jawhar (Allah) itu tetap Satu dalam semuanya itu. Perlu diingati bahawa dalam penggunaan istilah Jawhar - Asy'ariah, Kebaikan - Plato, Tunggal - Plotinus, al-Haqq dan Allah, semuanya ini bermaksud "satu jua" dalam istilah ibn-'Arabi iaitu Allah dalam istilah Agama Islam.
Ibn-'Arabi juga, dengan menurut kaedah yang sama seperti di atas iaitu memutar-mutarkan bahasa ikut pecahan asal kata bagi satu-satu Asma' Allah al-Husna. Umpamanya, Nama Allah (العدل) (Keadilan)." Dari hadhrat nama yang pelik ini Allah menjadikan alam semesta atas rupa-Nya Daripada sini Dia itu "adala" (عدل) (menyempang) daripada Wajib Dzati kepada Wajib dengan yang lain.
Juga dengan menggunakan kaedah yang sama iaitu memutar-mutarkan pecahan kalimah Asma' Allah seperti Nama Allah (الفتاح) umpamanya. Kalimah ini berasal daripada (فتح) maka ibn-'Arabi menggunakan kalimah ini menjadi tukang tilik. Dia menceritakan bahawa dalam tahun 591 di satu tempat bernama Fes. Pada masa itu tentera al-Muwahhidin bersedia untuk bertempur di medan perang. Ibn-'Arabi ditanya sama ada peperangan tentera al-Muwahhidin akan beroleh kemenangan atau sebaliknya? Sepatutnya sebagai seorang yang (menggelarkan dirinya) (خاتم الأولياء) (Wali Terakhir) dia menjawab soalan itu dengan cara mendapat tahu terus dari Allah (ilmu laduni) atau membaca apa yang tersurat di Lauh Mahfuz. Tetapi tidak begitu. Dia melihat kepada pecahan kalimah (الفتاح) itu ada "fataha" (فتح) dari ayat Qur'an berbunyi:
إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُبِينًا
Terjemahannya: "Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata." (Al-Fath: 1)
Kemenangan disini menurut ahli-ahli tafsir ialah penaklukan Mekah; atau penaklukan negeri Rum; atau Perdamaian Hudaibiah. Tetapi dalam kitabnya ibn-'Arabi, mencari jawapan kepada pertanyaan tersebut, melihat kepada ada sembilan huruf. Huruf (ا) (alif) berulang dua kali maka di buang satu. Dia buat hisab jummal iaitu:
- (ف) = 80
- (ت) = 400
- (ح) = 8
- (ا) = 1
- (م) = 40
- (ب) = 2
- (ي) = 10
- (ن) = 50 Jumlah semua 591.
Oleh kerana pada tahun itu ialah tahun 591 Hijrah, maka itu adalah tahun kemenangan. Tegasnya tentera al-Muwahhidin akan menang dalam peperangan itu disebabkan mereka berada dalam tahun 591 Hijrah. Sedangkan pada pandangan ahli tafsir ialah kemenangan penawanan Mekah, atau Rum atau perdamaian Hudaibiah, seperti yang tersebut. Kaedah ramalan yang dibuat oleh ibn-'Arabi ini mengingatkan kepada seorang Yahudi bernama Huyai bin Akhtab yang meramalkan kerajaan Muhammad dan para Sahabatnya hanya boleh kekal selama 704 tahun sahaja. Dia membuat ramalan ini dengan cara hisab jummal sama seperti yang dilakukan oleh ibn-'Arabi iaitu seperti berikut: Apabila mendengar bacaan (آلم), (آلمص), (آلمر), (آلر) :
(آلم) = (ا) = + (ل) = 30 + (م) = 40, berjumlah 71
(آلمص) = (ا) = 1 + (ل) = 30 + (م) = 40 (ص) = 90, berjumlah 131 (yang betul ialah 161)
(آلمر) = (ا) = 1 + (ل) = 30 + (م) = 40 (ر) = 220, berjumlah 271
(آلر) = (ا) = 1 + (ل) = 30 + (ر) = 200, berjumlah 231
Jadi 71+131+271+231 berjumlah = 704 maka si Yahudi itupun merungut-rungut dengan mengatakan buat apalah ikut kerajaan Muhammad yang hanya boleh kekal selama 704 tahun sahaja. (Nilai huruf yang digelar hisab jummal ini pada zaman kita sekarang terpakai dalam ilmu tangkal azimat dan kadangkala digunakan bagi angka muqaddimah buku-buku terutama buku bahasa Arab).
Pyramid berumur 295,000 tahun? Contoh yang seakan-akan sama ialah tentang Ibn-'Arabi, al-Sya'rani dan al-Jili mengetahui sejarah umur pembinaan Pyramid Khufu di Mesir dengan cara kasyaf ialah 295.000 tahun. Kata ibn-'Arabi, "Telah sampai kepada kami dengan cara bertulis dengan Qalam Pertama tentang Pyramid (Ahram) dibangunkan ketika burung helang pada singa, dan sekarang terletak pada (buruj) al-Jady (Copricorn)..." Maka datang al-Sya'rani mentafsirkan kata-kata ibn-'Arabi itu dengan mengatakan bahawa Burung helang tidak berpindah daripada satu buruj ke buruj lain kecuali selepas tiga puluh ribu tahun. Kata al-Jili, "Sekarang helang itu berada di al-Dalw (Aquarius) yang telah melintasi sebanyak sepuluh buruj. Maka ini hanya berlaku selepas tiga ratus ribu tahun." maka ini dengan cara kasyaf umur Pyramid adalah 295,000 tahun.Tetapi menurut saintis archeology umur Pyramid adalah sekitar 4000-5000 tahun sahaja. Kerajaan Lama Mesir purba (2700-2150 S.M.) adalah zaman keemasan dalam pembangunan Pyramid.
Akhir manusia ke mana?
Menurut Ahli Sunnah, iman seseorang itu tidak diterima kecuali dia beriman dengan apa yang Rasulullah khabarkan tentang apa yang akan berlaku selepas mati seperti soal munkar nakir, azab kubur, neraca timbangan amal, titian sirat al-mustaqim, neraka jahannam, kolah Nabi Muhammad s.a.w. orang-orang mu'min minum airnya sebelum masuk syurga dan sebelum melintasi titian, hisab kiraan dosa pahala, orang mu'minin memasuki syurga, orang yang mentauhidkan akhirnya masuk ke syurga juga selepas penyucian dalam neraka dengan syufa'at para Nabi, ulama, syuhada, dan orang-orang mu'minin dengan fadhlillah. Orang mu'min tidak kekal dalam neraka jika imannya ada walaupun seberat atom.
Menurut Wahdat al-wujud pula, Allah, menurut ibn-`Arabi, Maha Tunggal, al-Haqq wujud Mutlaq Yang Zahir sejak azali dengan gambaran setiap muta'yyin (makhluk) yang nyata. Alam ialah bayangan Allah, dzat alam itu sendiri tidak ada tetapi tetapi 'ain dan jauharnya qadim seqadim Allah sendiri. Alam bukanlah dijadikan daripada tidak ada kepada ada tetapi tajalli Allah yang berterusan dalam kepelbagaian wujud.
Menurut ibn-`Arabi, ganjaran pahala adalah nama yang lahir daripada ketaatan orang yang taat, balasan seksa adalah nama yang lahir daripada perbuatan maksiat pada diri orang yang melakukannya. Terikat dengan logik falsafah Wahdat al-wujud inilah maka ibn-'Arabi mengatakan bahawa ganjaran pahala dan balaan seksa, kedua-duanya ini adalah semata-mata dua keadaan yang dirasakan oleh al-Haqq (Allah) sendiri. Ertinya Allah yang ternyata dalam bentuk dan rupa hamba-Nya. Tegasnya, bagi ibn-'Arabi tidak ada balasan ni'mat dan azab di akhirat kelak seperti mana yang difaham dalam agama. Bagi ibn-'Arabi, semua makhluk akan memperolehi ni'mat yang tetap. Sama ada mereka yang ditakdirkan masuk syurga atau yang ditakdirkan masuk neraka, maka ni'mat bagi mereka adalah satu sahaja sekalipun rupa dan nama ada bermacam-macam. Perbezaan di antara penghuni syurga dengan penghuni neraka adalah perbezaan di antara dua golongan itu tentang ma'rifat mereka kepada Allah dan martabat mereka dalam pencapaian kesatuan dzati dengan al-Haqq (Allah).
Ni'mat sebenar ialah keadaan seorang insan itu selepas matinya dan kembali kepada asal dari manakah dia datang. Di sana nanti setiap orang dengan darjat masing-masing mendapat perdampingan dengan Allah. Bagi orang yang mencapai kesatuan yang sempurna dalam masa hidupnya dan mengenali rahsia kesatuan dengan Allah, maka mereka akan memperolehi ni'mat yang besar. Tetapi sesiapa yang diselubungi hijab dari kesatuan dengan al-Haqq dan tahu hanya sebahagian sahaja daripada rahsianya, maka ni'matnya sekadar itulah sahaja. Rahmat Ilahi ialah anugerah-Nya kepada sekalian yang ada. Yang disembah ialah al-Haqq maha Tunggal sekalipun ada beraneka ragam jenis 'aqidah manusia maka semuanya itu adalah lahiriah belaka. Pada hakikatnya semua agama adalah satu dan sama belaka.
Syurga dan neraka adalah dua nama bagi ni'mat berdampingan dengan Allah manakala azab ialah terhijab daripada-Nya. Ta'at dan ma'siat adalah dua nama tanpa ada erti apa-apa kecuali pada pandangan beban taklif Syara'.
Inilah wahdat al-wujud, dengan ini maka ranaplah kota 'aqidah dan syari'ah Islam. Di atas keruntuhan 'aqidah dan syari'at Islam ini maka wahdat al-wujud tegak berdiri. Begitulah wahdat al-wujud, dengan begitu maka da'wah Rasulullah s.a.w. dan umatnya kepada Islam dengan pengorbanan yang besar sama ada darah, harta benda dan nyawa, semuanya tiada bererti, kerana bagi wahdat al-wujud semua agama adalah sama dan serupa belaka.
Kata-kata ibn-'Arabi berputar di sekitar Wujud Mutlak iaitu tiada satu apa selain Allah. Tuhan ialah hakikat keseluruhan yang sebenarnya tidak ada kecuali apa yang terkandung dalam semua bahagian dari segala yang menyeluruh itu. Selanjutnya beliau berusaha mencabut agama daripada akar umbinya. Beliau cuba membuang 'aqidah yang dianut oleh orang ramai. Yang dikatakan jalan yang lurus itu tidak wujud. Janji berbuat jahat dibalas seksa tidak wujud. Kalau dikatakan ada seksa tetapi sebenarnya ialah ni'mat dan selesa...
Pengikut ibn-'Arabi mengembangkan lagi teori tajalli Ahadiyah, Wahidiyah dan Wahdah dengan menambahkan kata-kata istilah yang dikenali dirantau ini dengan Martabat Tujuh yang memang tidak ada dalil dalam al-Qur'an dan Hadith Sahih. Jadi, Martabat Tujuh ini adalah satu ekoran daripada teori tanazzul ibn-'Arabi semata-mata dan bukanlah ia daripada sumber Islam malah sebaliknya amat jelas ada persamaan dengan teori falsafah emanasi Neoplatonism, Lahut - nasut al-Hallaj dan jauhar - `aradh Asy'ariyah. Bagaimanakah penerimaan kaum Muslimin dan bukan Muslimin terhadap ibn-'Arabi ini? Golongan Ahli Sunnah sudah tentu tidak dapat menerimanya. Malah mengeluarkan fatwa-fatwa yang amat mengerikan, contohnya berbunyi:
لما دخلت سنة سبعمائة وأربع وأربعين، وفيها مزقنا كتاب فصوص الحكم بالمدرسة العصفورية بحلب عقب الدرس وغسلناه وهو من تصانيف محي الدين بن عربي تنبيها علي قنيته ومطالعته.... وفتوى من قبل أحد ملوك بني عثمان بتحريم قراءة كتب ابن عربي بحجة أن اليهود قد دسوا فيها ما يخالف الشريعة الاسلامية.
Terjemahannya: "Di kala masuk tahun 744 kami koyakkan Kitab Fusus al-Hikam di Madrasah al-'Usfuriah di Halab (Siria) selepas pelajaran, dan kami membasuhnya. Kitab ini adalah salah satu daripada karangan Muhyiddin ibn Arabi. (Tindakan kami ini) sebagai ingatan jangan menyimpan dan membacanya Seterusnya (tersiar) fatwa daripada salah seorang raja dinasti Uthman mengharamkan membaca semua kitab ibn-'Arabi dengan alasan (perkhianatan) orang-orang Yahudi menyusup masuk ke dalam kitab-kitab yang memang menyalahi Syari'at Islam."
Ibn-'Arabi mendapat tentangan hebat daripada kalangan Ahli Sunnah sejak dulu hingga sekarang, terutama di kalangan Ahli Hadith atau Salaf. Banyak kitab ditulis menentang ibn-'Arabi seperti kitab (مصرع التصوف أو تنبيه الغبي الى تكفير ابن عربي) (Kehancuran Tasawuf atau Ingatan Kepada Si Bodoh Pandir tentang Ibn-'Arabi itu Kafir) kitab ini ditulis oleh Burhanuddin al-Buqa'i (809 - 880 Hijrah). Manakala yang mengagongkannya juga tidak kurang. Ibn -'Arabi mendapat liputan meluas di Barat, "his influence was immense on both Islamic and Christian mysticism. He was called the Great Sheikh." (Pengaruhnya tiada terbatas sama ada di kalangan sufi - mistik Islam dan Kristian. Dia digelar Syaikh Akbar). Ijma' ahli tasawuf mengelar Ibn -'Arabi dengan gelaran (الشيخ الأكبر) (Maha Guru Agong) dan dia menganggap dirinya sendiri Maha Wali Terakhir (خاتم الأولياء).
Al-Jili. Asal kejadian alam menurut wahdat al-wujud : Martabat Tujuh atau teori tajalli atau emanation: (الفيض) Sebagaimana tersebut di atas tentang falsafah wahdat al-wujud, bahawa alam ini, atau, ada selain Allah dengan Allah adalah seperti ombak dengan laut atau cahaya matahari dengan matahari, atau seperti anggota badan dengan badan, semuanya itu pada hakikatnya Allah belaka tetapi dalam bentuk tajalli. Tajalli ini satu jua tetapi berlapis-lapis. Al-Jili membilangnya 40 lapis, kemudian diringkas menjadi 7 sahaja. Maka dikenalilah dirantau ini dengan nama Ilmu Martabat Tujuh atau Martabat Alam Tujuh. Teori yang mula diciptakan oleh ibn-'Arabi ini yang mana beliau menggunakan 3 sahaja seperti tersebut di atas iaitu Ahadiyah, Wahidiyah, dan Wahdah atau Syuhud al-Haqq. Martabat 40 al-Jili ialah seperti berikut:
- Martabat Dzat Ilahi yang hanya boleh disebut Ghaib Mutlak yang tidak ada jalan dapat mengenalinya sama sekali. Menurut al-Jili, martabat ini Rasulullah menamakannya al Ama' (kabus), ibn-'Arabi juga ada menggunakan istilah ini.
- Martabat Al-Ahadiyah, atau Wujud Mutlak tajalli pertama daripada al-'Ama' itu.
- Martabat Al-Wahidiyah, daripada sinilah bermulanya ada banyak, dan di dalamnyalah lenyap dan lesap segala yang banyak.
- Martabat al-Uluhiyah iaitu lahir semata dengan memberikan segala hakikat hak masing-masing daripada yang ada, dan daripada hadrat inilah ternyatanya segala yang banyak.
- Martabat al-Rahmaniyah yang digambarkan dengan adanya pe-nyerapan yang diisyaratkan dengan nafs al-Rahman,
- Martabat al-Rububiyah di dalamnya sudah adanya ubudiyah.
- Martabat al-Malikiyah iaitu pelaksanaan suruh dan tegah.
- Martabat segala nama dan segala sifat dan asma' Nafsiyah.
- Martabat nama-nama al-Jalaliyah seperti al-Kabir, al-'Azim, al-Jalil...
- Martabat al-Jamaliyah seperti nama al-Rahim, al-Salam...
- Martabat al-Asma' al-Fi'liyah sama ada perbuatan kebesaran seperti al-Mumit, al-Muntaqim, dan nama perbuatan seperti al-Muhyi, al-Razzaq
- Martabat alam al-Imkan iaitu martabat tengah di antara Allah dengan makhluk (al-Haqq wa al-khalq).
- Martabat al-'Aql al-Awal (Akal Pertama) seperti sabda Rasulullah, "Mula pertama Allah jadikan ialah akal." (Tetapi ini bukan hadith sahih).
- Martabat al-Ruh al-A'zam (Roh Agong) iaitu al-Nafs al-Kulliyah iaitu Lauh Mahfuz.
- Martabat `Arasy iaitu jism kulli (menyeluruh) bagi alam semesta srna seperti tulang rangka bagi badan manusia.
- Martabat al-Kursi dengan pengertian tahap perbuatan.
- Martabat alam arwah bahagian atas mereka ialah mala'ikat
- Martabat al-tabi'ah al-mujarradah (nature abstract) seperti da'wat bagi huruf-huruf angka dan suara bagi huruf-huruf lafaz.
- Martabat al-hayula (benda pertama) untuk kejadian bentuk dan rupa-rupa yang lahir seperti ombak daripada laut.
- Martabat al-haba' (dedebu) bertambat pada anggapan bukan kenyataan.
- Martabat al-jauhar al-fard (atom) yang menjadi asal bagi segala jisim.
- Martabat al-falak al-Atlas (cakerawala Atlas) yang memang ada berpusing mengelilingi di bawah Kursi dan di atas segala cakerawala yang lain.
- Martabat cakerawala al-Jauza' (Gemini) iaitu planet yang ada pada anggapan belum ada pada kenyataan.
- Martabat Falak al-Aflak (Cakerawala bagi segala cakerawala) iaitu cakerawala yang berpelenit-pelenit...
- Martabat langit Zuhal (Saturn) iaitu langit ketujuh. Jauhar langit ini gelap seperti malam iaitu langit Nabi Ibrahim.
- Martabat langit Musytari (Jupiter). Jauhar langit ini biru iaitu langit Nabi Musa.
- Martabat langit Marikh (Mars). Warnanya merah seperti darah iaitu langit Nabi Yahya.
- Martabat langit Matahari berwarna kuning iaitu langit Nabi Idris.
- Martabat langit Zuhrah (Venus). Jauhar langit ini berwarna hijau iaitu langit Nabi Yusuf.
- Martabat langit `Utarid (Mercury). Jauhar langit ini berwarna kelabu iaitu langit Nabi Nuh.
- Martabat langit dan Bulan. Jauharnya berwarna lutsinar iaitu langit Nabi Adam.
- Martabat cakerawala al-athir (ether) yang dinamakari bola api.
- Martabat cakerawala al-ma'thur yang dinamakan bola udara.
- Martabat cakerawala al-musta'thir yang dinamakan bola air.
- Martabat cakerawala al-muta'aththir yang dinamakan bola tanah.
- Martabat galian yang ada bermacam-macam.
- Martabat tumbuhan.
- Martabat haiwan.
- Martabat insan.
- Martabat 1 - 3 menampakkan ada pengambilan daripada ibn-'Arabi.
- Martabat 4 - 11 menyentuh perkara-perkara ketuhanan.
- Martabat 12 - 14 meminjam istilah-istilah falsafah. Pada martabat 14 nampak idea-idea falsafah mahu disesuaikan dengan perkara ghaib.
- Martabat 15 - 16 `Arasy dan Kursi mahu ditafsirkan sebagai lembaga alam semesta.
- Martabat 17 - 22 mengenai mala'ikat dan falsafah fizika dan metafizika.
- Martabat 23 - 36 mengenai alam angkasa lepas yang menurut fahaman dalam zaman al-Jili bumi ini pusat alam semesta atau geocentric bukan heliocentric seperti yang difaham pada zaman sekarang.
- Martabat 37 - 40 mengenai planet bumi kita ini iaitu ada galian, tumbuhan, binatang dan manusia.
Al-Midrasi. Martabat 40 susunan al-Midrasi al-Sufi adalah ringkas dan sedikit atau banyak berbeza dengan al-Jili iaitu:
- Dzat semata
- `Ama' (kekabusan)
- Kanz (perbedeharaan)
- Ahadiyah
- Wahidiyah
- Uluhiyah (ketuhanan)
- Rahmaniyah
- Rabbiyah
- `Arasy
- Surah (rupa) Muhammad
- Qalam tertinggi
- Akal kulli (menyeluruh)
- Nafs kulliyah,
- hayula (benda)
- Haba' (dedebu)
- Falak (cakerawala)
- Anasir
- Falak Atlas
- Buruj (gugusan bintang)
- Zuhal
- Musytari
- Marikh
- Matahari
- Zuhrah
- 'Utarid
- Bulan
- Bola api
- Udara
- Air
- Tanah
- Kembangan jauhar bersahaja
- 'Aradh Lazim
- Susunan galian
- tumbuhan
- Alam haiwan
- Alam insan
- Alam rupa
- Alam segala idea
- - 40. Syurga - neraka dan tumpukan-tumpukan pasir putih.
Susunan yang disampaikan oleh al-Midrasi ini jelas kelihatan ada mengandungi unsur-unsur astrologi (ilmu tilik nasib) astronomi (sains angkasa lepas) geologi, sam'iyat dan lain. Dalam zaman kita ini, astrologi sudah dianggap sains palsu (pseudo science), sains angkasa lepas dalam zaman kita ini juga tidak cocok dengan apa yang diutarakan oleh al-Midrasi.
Martabat 40 ini menampakkan ada pengaruh falsafah dan sains angkasa lepas dan geologi dan lain. Contohnya Martabat 13 al-Midrasi dan al-Jili ialah al-Nafs al-Kulliyah yang digelar juga akal pertama, (the primal intelligence) iaitu lempahan atau emanasi pertama dari Allah. Martabat 19 bagi al-Jili ialah al-hayula (The Prime Matter) maka ini adalah kalimah Arab yang berasal dari Greek yang bererti "benda pertama..." dalam falsafah Aristotle. Martabat 21 jauhar al-fard (atom), menurut kepercayaan falsafah Greek purba bahawa alam ini terjadi daripada atom. Teori atom ini juga termasuk dalam perbincangan limu Kalam. Penulis merasakan komen yang sedikit ke atas teori Martabat 40 al-Jili dan al-Midrasi ini memadai. Yang mana keduanya menggunakan imaginasi dan tidak ada nas daripada al-Qur'an dan Sunnah yang sahih.
Isikandungan Buku:
- Ilmu Martabat 7: Muka Hadapan
- Martabat 7: Isikandungan
- BAB 1: AHLI SUNNAH DAN MARTABAT TUJUH
- BAB 2: ISU MARTABAT TUJUH
- BAB 3: MENGAPA TIADA BANTAHAN?
- BAB 4: BENDA PERTAMA YANG DIJADIKAN MENURUT AHLI SUNNAH WA AL-JAMAAH
- BAB 5: IBN `ARABI (1165 - 1240M) AI-JILI, AL-MIDRASI
- BAB 6: MARTABAT TUJUH
- BAB 7: KEGUNAAN MARTABAT TUJUH
- Martabat 7: Lampiran - Terdapat 5 Rajah
- Martabat 7: Bahan Rujukan
- Ilmu Martabat 7: Baca online atau DOWNLOAD pdf