SJ-13-0590 : I'tikaf Ramadan separuh hari

Primary tabs

2 posts / 0 new
Last post
Anonymous (not verified)
SJ-13-0590 : I'tikaf Ramadan separuh hari

:salam

Maaf jika soalan berulang.

1. Adakah seseorang yang ingin beri'tikaf pada malam hari sahaja perlu masuk ke tempat i'tikaf menjelang Maghrib dan keluar setelah Subh atau boleh mengikut masa2 yang diingininya?

2. Adakah boleh memilih untuk i'tikaf di malam hari sahaja sedang di siang harinya dia membuat perkara lain: pulang menguruskan rumah (jarak 30min perjalanan), membeli-belah atau bekerja dipejabat (jika tak dapat cuti)? Atau ada antara sebab tersebut yang akan membatalkan i'tikaf?

3. Jika i'tikafnya batal, adakah bermakna amalan yang telah dilakukan tidak diterima atau dia tidak mendapat pahala i'tikaf, hanya pahala ibadat solat dll nya sahaja?

Jazakallah khayr atas pencerahan yang akan diberi.

Re: I'tikaf Ramadan separuh hari

Wa’alaikumussalam

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan anda dengan kadar kemampuan yang ada, InSyaAllah.

Persoalan mengenai I’tikaaf boleh dilihat pada tautan di bawah :-

SJ-13-0313 : Permasalahan i`tikaf
http://al-ahkam.net/forum09/viewtopic.php?f=103&t=33816&hilit=iktikaf

SJ - 3047 : Iktikaf - 10 Akhir Ramadhan
http://al-ahkam.net/forum09/viewtopic.php?f=99&t=20112&hilit=iktikaf

Secara umumnya ibadat I’tikaaf boleh dikategorikan kepada 2 jenis I’tikaaf :-

1. I’tikaf umum – seseorang yang datang ke masjid lalu berniat i’tikaf disana. Selama mana dia berada didalam masjid, maka dia mendapat pahala i’tikaaf.

2. I’tikaf khusus – biasanya i’tikaaf ini merujuk kepada perbuatan i’tikaf di masjid yang dilakukan terutamanya pada 10 malam terakhir Ramadhan. Didalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Abu Hurairah ra. Bahawa Nabi :saw akan beri’tikaaf selama 10 hari pada setiap Ramadhan, dan sebelum kematian beliau, baginda telah beri’tikaf selama 20 hari.

Soalan :

1. Adakah seseorang yang ingin beri'tikaf pada malam hari sahaja perlu masuk ke tempat i'tikaf menjelang Maghrib dan keluar setelah Subh atau boleh mengikut masa2 yang diingininya?

Ulama’ berbeza pendapat mengenai kadar lamanya i’tikaf. Segelintir ulama’ yang mengatakan kadar minima i’tikaaf ialah satu hari. Jumhur ulama berpendapat kadar lamanya adalah kadar ’seketika’ ( لحظة ). Ini merupakan padangan Mazhab Syafie, Hanafi dan Ahmad. Berkata Imam al-Nawawi rh :

وَأَمَّا أَقَلُّ الاعْتِكَافِ فَالصَّحِيحُ الَّذِي قَطَعَ بِهِ الْجُمْهُورُ أَنَّهُ يُشْتَرَطُ لُبْثٌ فِي الْمَسْجِدِ , وَأَنَّهُ يَجُوزُ الْكَثِيرُ مِنْهُ وَالْقَلِيلُ حَتَّى سَاعَةٍ أَوْ لَحْظَةٍ
“Mengenai kadar minima i’tikaf, sahih jumhur ulama’ memutuskan bahawa syarat i’tikaaf adalah di masjid, dan dibolehkan untuk melakukan dengan kadar banyak atau sedikit, hatta satu jam atau sebentar (seketika)” [al-Majmu Sharh Muhazzab, 6/514].

Seseorang itu boleh masuk masjid dan niat i’tikaaf pada bila-bila masa sahaja. Menurut Dr Sayyid Sabiq didalam Fiqh al-Sunnah, amalan i’tikaaf tidak ada masa yang dihadkan. Ia boleh dilakukan apabila berada di masjid dengan niat i’tikaaf untuk masa yang pendek atau panjang.

Telah berkata Ya’la ibn Umaiyah : “Aku mengasingkan diri didalam masjid buat seketika”. ‘Ata telah memberitahu beliau :”Itu adalah i’tikaf, selama mana anda mengasingkan diri anda disana”.

Bagi i’tikaaf kafiat Nabi :saw untuk 10 malam terakhir pula adalah bermula sebelum maghrib Ramadhan yang ke 20 dan berakhir pada pagi Subuh Eid al-Fitr. Didalam al-Umm juga Imam Syafie rh menjelaskan bahawa hidupnya suasana menghidupkan malam Eid di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, yang dikatakan telah bermula malam yang ke 21 Ramadhan (yang bukan dikhususkan untuk malam Eid sahaja).

2. Adakah boleh memilih untuk i'tikaaf di malam hari sahaja sedang di siang harinya dia membuat perkara lain: pulang menguruskan rumah (jarak 30min perjalanan), membeli-belah atau bekerja dipejabat (jika tak dapat cuti)? Atau ada antara sebab tersebut yang akan membatalkan i'tikaf?

Tidak ada masalah untuk memilih bila masanya untuk beri’tikaf. Istimewa didalam bulan Ramadhan ialah i’tikaaf juga merupakan amalan menunggu LailatulQadar, maka sudah tentulah dilakukan i’tikaaf pada waktu malam.

Sebagaimana yang dinyatakan didalam tautan diatas, i’tikaaf tidak terbatal jika ia melibatkan perkara-perkara keperluan, seperti mandi, membeli makanan untuk i’tikaaf, dsb. Akan tetapi, jika seseorang itu keluar dari masjid selain dari keperluan tersebut, contohnya untuk pergi kerja, maka ketika itu i’tikafnya akan tamat.

3. Jika i'tikafnya batal, adakah bermakna amalan yang telah dilakukan tidak diterima atau dia tidak mendapat pahala i'tikaf, hanya pahala ibadat solat dll nya sahaja?Jazakallah khayr atas pencerahan yang akan diberi.

Selagi seseorang itu beragama Islam, menamatkan i’tikaaf bukan bermaksud ‘batal’ amalan i’tikaaf tersebut. Cuma orang yang murtad semasa ber’iktikaaf akan membatalkan amalan i’tikaf. Bagi seseorang Islam, setiap ketika i’tikaaf itu diambil kira. Dia cuma menamatkan sahaja amalan i’tikaafnnya.

Menurut Dr Sayyid Sabiq, ganjaran i’tikaf adalah menurut berapa lama seseorang itu duduk di masjid. Jika dia keluar dan masuk semula masjid, hendaklah dia memperbaharui niatnya. WA.

Sekian, wassalam

خيرالأمين