Marwan Bukhari (Universiti Yarmouk) | Abduh Study Group, Islamic Renaissance Front (IRF)
Romantisisme Khilafah dan Demokrasi
Saya boleh menerima sekiranya terdapat seruan untuk mencontohi ketelusan dan kebijaksanaan para pemimpin Muslim yang terdahulu seperti Umar Abdul Aziz, Abdul Rahman al-Naashir (Sepanyol), Sultan Muhammad al-Fateh dan lain-lain, namun sungguh ajaib apabila masih kedengaran suara yang menyatakan bahawa masalah umat Islam pada hari ini hanya boleh diselesaikan menerusi satu kalimah, Khilafah!
Simplistik dan keterlaluan dalam romantis terhadap zaman kegemilangan umat Islam hingga lupa bahawa zaman sudah terlalu banyak berlaku perubahan, begitu juga keadaan sesebuah negara, peraturan antarabangsa, sosio-ekonomi, sosio-budaya dan sebagainya.
Justeru perubahan zaman dan tempat sewajarnya disambut dengan perubahan pengamalan dalam hal ehwal kenegaraan kerana urusan politik hanya berpandukan prinsip-prinsip umum seperti syura, keadilan, ihsan, al-amr al-makruf wa al-nahy ‘an al-munkar dan lain-lain bukannya terhad dengan teks-teks yang terdapat pada nas semata-mata.
Ibnu Khaldun pernah menyatakan dalam Kitab Muqaddimah:
“Kemudian sistem khilafah itu menjadi sistem beraja. Ciri-ciri keagamaan dan manhaj yang benar masih kekal. Tidak ada perubahan kecuali semangat agama yang telah berubah kepada kepuakan dan kuasa senjata. Begitulah keadaannya pada zaman Muawiyah, Marwan, anaknya Abdul Malik, kelompok awal daripada pemimpin Bani Abbas sehinggalah ar-Rasyid dan sebahagian anak-anaknya.”
“Setelah itu, ciri-ciri khilafah telah hilang dan yang kekal hanyalah nama. Sistem raja yang mutlak mengambil tempat, lalu tampillah tekanan dan paksaan tanpa batasan, digunakan untuk kepentingan diri, syahwat dan kelazatan. Hal inilah keadaannya anak Abdul Malik dan raja-raja setelah ar-Rasyid daripada golongan Bani Abbas”.
“Kekalnya nama Khilafah pada mereka kerana kekalnya kepuakan bangsa Arab, Khilafah dan raja dalam senario tersebut berbaur di antara satu sama lain. Setelah itu lenyaplah gambaran Khilafah dan kesannya dengan hilangnya semangat kepuakan Arab, Khilafah dan kepupusan generasi mereka dan terhakislah kualiti mereka. Lalu yang kekal hanyalah raja yang mutlak sepertimana keadaan raja-raja bukan Arab di Timur yang menganuti bahawa mentaati Khalifah itu perlu untuk mendapat berkat, dan raja dengan segala gelarannya. Khalifah tidak ada bahagian di sini.”
Ali Abdul Raziq boleh dianggap sebagai aktor penting dalam berbicara soal pergolakan pemikiran dalam politik Islam pada abad ke-20. Karyanya “al-Islam wa Usul al-Hukm” barangkali di”radd” (ditolak) oleh kebanyakan ulama pada bahagian-bahagian tertentu (khasnya melibatkan pemisahan antara agama dan politik), namun malangnya ramai yang tidak mengkaji dengan kritis dan objektif berhubung kritikannya terhadap sikap romantisisme Khilafah yang dianuti sebahagian umat Islam.
Ali Abdul Raziq juga memetik pandangan Ibnu Khaldun di atas seawal bab pertama lagi dalam buku kontroversinya tersebut. Beliau juga menulis, “Apabila merujuk kepada kebanyakan karya ulama terutamanya tulisan-tulisan selepas kurun kelima hijrah, anda akan dapati mereka mengangkat para raja dan pemerintah melebihi kedudukan manusia dan meletakkannya tidak jauh dari kedudukan mulia Tuhan.” (Anda boleh merujuk contoh-contoh yang diberikan Ali Abd Raziq khasnya dalam bab pertama dan ketiga buku “al-Islam wa Usul al-Hukm” yang diterjemahkan oleh Institut Kajian Dasar (IKD) sebagai “Islam dan Dasar Pemerintahan”).
Tidak hairanlah satu masa dahulu pergerakan politik Islam berlangsung penuh pasif kerana rakyat telah digula-gulakan bahawa “Khilafah merupakan wakil Tuhan di muka bumi” (khalifatullah fi al-Ardh), ataupun “bayangan Allah di muka bumi” (zhillullahi fi al-Ardh)”.
Kita juga boleh temui hal tersebut dalam sejarah kesultanan Melayu Islam satu masa dahulu. Boleh jadi itulah sebabnya watak Hang Jebat dan Laksamana Bentan diulang-ulang sebagai penderhaka kerana mereka membantah wakil Tuhan di bumi mereka! Adapun di dunia Arab pula, para penyair yang sememangnya berpengaruh besar dalam masyarakat sana mencipta syair-syair memuji dan “mengTuhankan” khalifah sebagaimana syair daripada Farazdaq (Abu Firas Humam b Ghalib b Sa’sa’ah) ini:
“Hisyam (khalifah Umawi ke-10) itu pilihan Allah untuk manusia, dengannya tersingkap kegelapan daripada seluruh muka bumi, engkaulah bagi manusia ini selepas Nabi, ibarat langit yang ditujukan munajat mereka, agar engkau hilangkan awan gelapnya.”
Perkara tersebut telah berlaku dalam jangka masa yang sangat panjang, sementara umat Islam masih belum mempunyai sistem alternatif kepada kekeliruan tersebut, menyebabkan kezaliman pemerintah gagal dibendung melainkan pemberontakan pada masa-masa tertentu.
Demi menyelamatkan darah orang ramai daripada tumpah angkara pemberontakan, maka para ulama ikhlas memfatwakan haramnya bughah (pemberontakan). Adapun ulama kerajaan menjadi pembela kezaliman dengan mengangkat Khalifah menjadi kuasa Tuhan di muka bumi.
Zaman terus berlalu, akhirnya tersebar mengenai kewujudan demokrasi, tetapi sungguh menghairankan apabila demokrasi pula ditolak sebahagian aktivis Islam, tetap nostalgia dengan Khilafah yang mirip dengan konsep totalitarian bawaan Thomas Hobbes. Mereka menuduh demokrasi sebagai agenda Barat, walhal totalitarianisme atas nama Khilafah itu jauh lebih menyimpang daripada Islam.
Kajian Kritis terhadap Teks-teks Klasik Politik Islam
Saya berpandangan, punca kekeliruan dan pra-matang dalam menyantuni politik Islam ialah apabila kesilapan dalam memahami penulisan-penulisan klasik politik Islam. Penulis buku “Who Needs an Islamic State”, Dr Abdel Wahab el-Affendi dalam bab kedua buku itu telah menulis satu sub-topik bertajuk “Problems with the Classical Theory”. Beliau mengulas salah satu kekeliruan dan masalah teks klasik berhubung politik Islam sebagaimana berikut:
“Al-Mawardi memetik kisah Abu Bakr melantik Umar menjadi penggantinya sebagai dalil bahawa adalah sah untuk mana-mana pemerintah memilih penggantinya. Beliau mengabaikan hakikat bahawa tindakan sedemkian adalah sah bukan kerana individu menentukannya, tetapi juga kerana tindakan itu disahkan oleh umat-umat Islam yang utama pada masa itu. Beliau turut terlepas pandang, perbezaan ketara antara perlantikan Umar oleh Abu Bakr dan paksaan melalui kekerasan Muawiya melantik anaknya sebagai pengganti. Ini merupakan kekurangan di dalam mana-mana teori.”
Teks Imam al-Mawardi yang dimaksudkan sudah tentu “al-Ahkam al-Sultaniyyah” yang sejak berzaman telah menjadi rujukan penting umat Islam. Kesilapan dalam memahami politik menyebabkan wujudnya golongan yang mengimani teks walhal politik Islam berubah pantas sebagaimana zaman dan tempat berubah.
Selain contoh pandangan al-Mawardi yang dinyatakan Affendi di atas, para ulama lain seperti al-Amidi dan Ibnu Khaldun juga mengkritik pandangan al-Mawardi yang menyebut “Hendaklah imam (Khalifah) itu berketurunan Quraish disebabkan ada nas yang menyebutnya dan telah berlaku ijma’ (consensus)”. Al-Amidi dan Ibnu Khaldun menolak bahawa hadith “al-aimmah min quraish” merupakan pengsyariatan (tasyri’) sebaliknya ia berubah menurut maslahah (al-amr al-maslahi), sebagaimana dinyatakan cendikiawan Muslim yang lain.
Isu ahlu al-dzimmah dalam menghuraikan bab kewarganegaraan bukan Islam juga menjadi kabur disebabkan salah faham terhadap teks. Sebagaimana Rachid Ghannouchi yang menolak konsep pembahagian kewarganegaraan (rujuk buku Rachid Ghannouchi: A Democrat within Islamism, m/s 77), Dr Tariq Ramadhan juga menyatakan hal sedemikian dalam bukunya “Radical Reform” tatkala mengulang pandangan para pemikir Muslim yang lain berkenaan Muwatonah (kewarganegaraan).
Beliau menyebut:
“Konsep kewarganegaraan (al-muwatanah) kini merupakan rujukan yang diterima umum, walaupun sesetengah fuqaha literalis atau tradisionalis ragu-ragu untuk menggunakannya atau menolaknya secara keseluruhan (hanya kerana ia bukan sebahagian daripada istilah klasik Islam)” (untuk lanjutan, sila lihat Radical Reform, m/s 270)
Ideolog terkenal daripada Sudan, Dr Hasan Turabi juga telah menulis berkenaan ketidak- relevanan konsep ahlu al-dzimmah. Pandangan beliau telah diperkemas oleh Fahmy Huwaydi (penulis dan pemikir terkenal Mesir) menerusi bukunya “Muwaathinun La Dzimmiyyun”.
Kajian kritis terhadap teks klasik berlangsung malap menyebabkan salah faham makin berterusan, ataupun ia mungkin berlangsung deras cuma masih gagal disampaikan kepada masyarakat umum (khasnya aktivis gerakan Islam) menyebabkan pandangan-pandangan klasik mendominasi pemikiran politik Islam.
Selain contoh ahlu al-dzimmah, saya mendatangkan contoh terakhir iaitu berkaitan perbahasan antara Darul Islam dan Darul Harb dalam konteks hubungan antarabangsa antara negara-negara. Dr Jasser Auda mengulas hal ini sebagaimana di bawah:
“Di waktu itu, segala hal berkenaan 'politik antarabangsa', menggunakan istilah moden, adalah berkenaan perperangan! Oleh itu, tafsiran berkaitan dan pandangan yang diperkenalkan ahli fiqh adalah tertakluk kepada sempadan politik dan kesan kepada agama, keselamatan, sosial dan ekonomi mereka. Hal ini semua mempunyai alasan yang kukuh. Yang tidak dapat dijustifikasi adalah sesetengah ahli fiqh hari ini berkeras untuk menggunakan istilah yang sama dan membina hukum fiqh (hukum dan fatwa-fatwa) keatasnya!”
“Mereka memperkatakan istilah-istilah ini seolah-olah ia adalah 'nusus' (nas-nas) dan menyalin apa yang ahli fiqh sebelumnya telah berhukum berdasarkan nas-nas tersebut ribuan tahun dahulu lalu mengaplikasi hukum itu kepada dunia dan politik hari ini! Hakikatnya dunia tidak lagi terbahagi mengikut pemisahan binari simplistik, iaitu sahabat dan musuh. Malah hari ini, ahli fiqh yang menyalin daripada fatwa-fatwa lama ketegori ketiga yang pertengahan (dar al-'ahad, atau tanah perjanjian, yang diperkenalkan beberapa abad lalu) masih tidak mampu berlaku adil pada realiti hubungan antarabangsa dan kompleksitinya hari ini.”
Keperluan kepada Penilaian Semula Politik Islam
Demikian sebahagian contoh yang saya petik berhubung kekeliruan yang muncul lantaran terlalu simplistik dalam mengimplementasikan teks-teks klasik. Lebih membimbangkan, wujudnya kelompok manusia yang melarang sebarang kritikan terhadap teks-teks lama sedangkan ia hanya pemahaman manusia dan tertakluk dengan zeitgeist (semangat zaman), konteks sosio-politik dan budaya pemerintahan pada masa silam.
Agenda islah yang lebih radikal (radical reform) sebagaimana dilaungkan oleh Dr Tariq Ramadhan dalam bukunya wajar disambut oleh kita semua. Justeru dalam menyelesaikan isu ini, saya mencadangkan supaya penulisan dan penterjemahan berhubung pengkajian pemikiran politik Islam moden diperbanyak. Begitu juga silibus halaqah ilmu gerakan poltik Islam dan seumpamanya seharusnya sentiasa berubah dalam memastikan teori-teori moden politik Islam berjaya dibumikan.