[Sahih al-Bukhari] Kitab al-Fitan - 1. Bab: Firman Allah: Takutilah fitnah..

Primary tabs

Disediakan oleh: zain-ys

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

كِتَاب الْفِتَنِ

Bermacam-macam Fitnah

 

Penjelasan:

1. Makna fitnah:

  1. Siksaan
  2. Sesuatu yang diperolehi semasa siksaan
  3. Ujian
  4. Kesulitan dan kelapangan yang menimpa manusia

(Fathul Bari)

 

2. Ada yang berkata, fitnah itu ialah ujian, azab siksaan dan setiap apa sahaja yang tidak disukai serta sesuatu yang cenderung kepadanya seperti kufur, dosa, kehuru-haraan, kemaksiatan, musibah dan sebagainya. (Irsyadus Sari, juz 10, hal. 159)

3. Kalau fitnah itu dari Allah, maka ada hikmah di sebaliknya. Kalau ia dari manusia yang bukan urusan Allah maka ia tercela. Allah mencela mereka yang menimbulkan fitnah (al-Baqarah: 191). (Fathul Bari & Irsyadus Sari)

4. Fitnah, umum digunakan untuk cubaan atau ujian. Dan umum juga digunakan untuk sesuatu yang tidak baik. Namun, ia tidak selalu begitu. Ia barangkali merupakan perkara yang baik yang kita suka atau ia barangkali juga perkara yang tidak baik yang kita tidak suka.

5. Kesimpulannya: Ujian dari Allah ada yang berbentuk baik dan tidak baik. Firman Allah Taala (Surah al-Anbiya’: 35)


 


  1.  بَاب مَا جَاءَ فِي قَوْلِ اللَّهِ تَعَالَى
    { وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً }
    وَمَا كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُحَذِّرُ مِنْ الْفِتَنِ

1. Bab: Firman Allah: Takutilah fitnah yang samasekali tidak akan mengenai orang-orang yang zalim di kalangan kamu sahaja.

Dan Hadis Nabi s.a.w. yang mengingatkan tentang fitnah-fitnah.

 

Penjelasan:

1. Ayat al-Quran di atas dari surah al-Anfal: 25

 2. Ayat al-Quran dan al-Hadis yang dikemukakan oleh al-Bukhari isyarat kepada: Seruan agar berjaga-jaga dengan fitnah ini bukan sahaja terdapat di dalam al-Quran tetapi juga di dalam al-Hadis.

 3. Berjaga-jaga dengan ancaman fitnah  kerana akibatnya akan menimpa semua ; samada orang yang melakukan ataupun tidak.



Hadis-hadis di dalam bab ini (3 hadis):

 

1 - حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ حَدَّثَنَا بِشْرُ بْنُ السَّرِيِّ حَدَّثَنَا نَافِعُ بْنُ عُمَرَ عَنْ ابْنِ أَبِي مُلَيْكَةَ قَالَ قَالَتْ أَسْمَاءُ
عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَنَا عَلَى حَوْضِي أَنْتَظِرُ مَنْ يَرِدُ عَلَيَّ فَيُؤْخَذُ بِنَاسٍ مِنْ دُونِي فَأَقُولُ أُمَّتِي فَيُقَالُ لَا تَدْرِي مَشَوْا عَلَى الْقَهْقَرَى
قَالَ ابْنُ أَبِي مُلَيْكَةَ اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ أَنْ نَرْجِعَ عَلَى أَعْقَابِنَا أَوْ نُفْتَنَ

Aku akan berada di kolamku menunggu orang yang datang kepadaku. Tiba-tiba dipegang / diambil beberapa orang dari hadapanku. Akupun berkata: Itu umatku. Maka dikatakan: Engkau tidak tahu mereka telah berundur ke belakang / berpaling tadah.

Ibnu Mulaikah telah berkata: Ya Allah! Sesungguhnya kami berlindung denganMu daripada berpaling tadah atau kami difitnah.

 

2 - حَدَّثَنَا مُوسَى بْنُ إِسْمَاعِيلَ حَدَّثَنَا أَبُو عَوَانَةَ عَنْ مُغِيرَةَ عَنْ أَبِي وَائِلٍ قَالَ قَالَ عَبْدُ اللَّهِ
قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَا فَرَطُكُمْ عَلَى الْحَوْضِ لَيُرْفَعَنَّ إِلَيَّ رِجَالٌ مِنْكُمْ حَتَّى إِذَا أَهْوَيْتُ لِأُنَاوِلَهُمْ اخْتُلِجُوا دُونِي فَأَقُولُ أَيْ رَبِّ أَصْحَابِي يَقُولُ لَا تَدْرِي مَا أَحْدَثُوا بَعْدَكَ

Diriwayatkan daripada Abdullah, beliau berkata, Nabi s.a.w. bersabda: Aku mendahuluimu ke haudh / telaga. Sesungguhnya beberapa orang daripada kamu benar-benar dikemukakan kepadaku sehingga aku telahpun membongkok untuk memberikan kepada mereka tiba-tiba mereka diseret dari hadapanku. Akupun berkata: Oh Tuhan! Mereka itu adalah sahabat-sahabatku. Tuhan berkata: Kamu tidak tahu apakah perkara baru yang mereka telah ada-adakan selepasmu / sepeninggalanmu.

 

3 - حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ بُكَيْرٍ حَدَّثَنَا يَعْقُوبُ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَنْ أَبِي حَازِمٍ قَالَ سَمِعْتُ سَهْلَ بْنَ سَعْدٍ يَقُولُ
سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ أَنَا فَرَطُكُمْ عَلَى الْحَوْضِ فَمَنْ وَرَدَهُ شَرِبَ مِنْهُ وَمَنْ شَرِبَ مِنْهُ لَمْ يَظْمَأْ بَعْدَهُ أَبَدًا لَيَرِدُ عَلَيَّ أَقْوَامٌ أَعْرِفُهُمْ وَيَعْرِفُونِي ثُمَّ يُحَالُ بَيْنِي وَبَيْنَهُمْ
قَالَ أَبُو حَازِمٍ فَسَمِعَنِي النُّعْمَانُ بْنُ أَبِي عَيَّاشٍ وَأَنَا أُحَدِّثُهُمْ هَذَا فَقَالَ هَكَذَا سَمِعْتَ سَهْلًا فَقُلْتُ نَعَمْ قَالَ وَأَنَا أَشْهَدُ عَلَى أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ لَسَمِعْتُهُ يَزِيدُ فِيهِ قَالَ إِنَّهُمْ مِنِّي فَيُقَالُ إِنَّكَ لَا تَدْرِي مَا بَدَّلُوا بَعْدَكَ فَأَقُولُ سُحْقًا سُحْقًا لِمَنْ بَدَّلَ بَعْدِي

Daripada Sahl bin Sa’d, beliau berkata, aku mendengar Nabi s.a.w. bersabda: Aku akan mendahuluimu ke haudh. Sesiapa yang sampai ke situ, dia akan minum daripada airnya. Dan sesiapa yang meminum sedikit sahaja daripadanya dia tidak akan dahaga sampai bila-bila. Sesungguhnya pasti akan dating kepadaku beberapa golongan orang yang mana aku mengenali mereka dan mereka juga mengenaliku. Kemudian dihalang di antaraku dan mereka.

Abu Hazim berkata: Nu’man bin Abi ‘Iyash mendengar saya ketika saya menceritakan hadis ini kepada mereka, terus dia berkata: Beginikah engkau telah mendengar Sahl? Saya berkata: Ya. Beliaupun berkata: Aku bersaksi terhadap Abu Sa’id al-Khudri sesungguhnya aku telah mendengar dia ada menambahkan dalam meriwayatkan hadis ini,  katanya: Mereka itu adalah dari kalanganku. Maka dikatakan: Sesungguhnya engkau tidak tahu apakah yang telah mereka tukar gantikan sesudahmu. Ketika itu berkatalah aku: Pergi jauhlah.. Pergi jauhlah.. Kepada orang yang telah menukar ganti sesudahku.

 


Penjelasan:

Masalah 1: Apa maksud al-haudh/telaga?

Jawab: Maksud kolam/al-haudh ialah telaga al-Kautsar

 

Masalah 2: Apakah maksud ‘umatku’?

Jawab: Umatku bermaksud: Sahabat Nabi s.a.w. dan boleh juga bermaksud umatnya selepas zamannya hingga hari kiamat.

 

Masalah 3: Para sahabat Nabi s.a.w. berpaling tadah atau murtad selepas kewafatan baginda s.a.w.?

Jawab: Sahabat yang dimaksudkan ialah mereka yang munafik, di mana pada zahirnya mereka adalah sebagai sahabat Nabi s.a.w. namun di sebaliknya mereka adalah kafir. Nanti di padang mahsyar Allah Taala akan menunjukkan wajah sebenar mereka.

 

Masalah 4: Siapakah mereka yang dihalang atau tidak dapat minum air di telaga al-Kautsar?

Jawab: Mereka yang munafik itulah yang tidak dapat dan dihalang dari minum dari air telaga Nabi s.a.w. Di mana mereka ini ketika di dunia tidak meminum apa yang dihidangkan oleh Nabi s.a.w., iaitu al-Quran dan al-Sunnah.

 

Masalah 5: Apa kelebihan telaga al-Kautsar?

Jawab: Mereka yang minum dari telaga al-Kautsar sedikitpun tidak akan dahaga selama-lamanya.

 

 


Video Syarah oleh Maulana Mohd Asri Yusof:

Terjemahan Hadis:

{google}4015817440449969915{/google}

Syarah:

Video 1:

{google}2419556878764350421{/google}

Video 2:

{google}-6667098900353659801{/google}