Ust Ali Muda: ASTORA PENDUSTA AGAMA 6

Primary tabs

Menghina Rasulullah s.a.w. dan Generasi Sahabat r.a.
Oleh: Ustaz Ali Muda

BismiLlahirRahmanirRahim.
Menulis tentang Islam memerlukan rasa tanggungjawab yang amat berat, kerana seseorang itu seolah-olah menjadi wakil Allah dan Rasul-Nya apabila berwacana tentang Islam. Imam Ibn Qayyim al-Jawziyyah (691-751H=1292-1350M) menamakan golongan ini sebagai al-Muwaqqi`in `an Rabbil `Alamin (orang yang menandatangani perjanjian dengan Allah s.w.t.). Maka beliau mengarang sebuah kitab yang diberi tajuk I`lam al-Muwaqqi`in `an Rabbil `Alamin untuk memberi garis panduan kepada alim ulama yang hendak menyampaikan syariat Islam kepada orang awam. Secara ringkasnya, garis panduan itu ialah kefahaman yang tepat berdasarkan hujah yang teguh terhadap nas-nas al-Quran dan hadis sahih yang berpaksikan pengetahuan yang mendalam dalam Bahasa Arab dan disiplin-disiplin ilmu Islam.

Setakat pemerhatian saya terhadap tulisan-tulisan dan ucapan seorang wartawan akhbar perdana yang meletakkan dirinya sebagai `Pembicara Agama’, Astora Jabat, beliau tidak mengikuti garis panduan yang diletakkan oleh ulama dan sarjana Islam terdahulu yang muktabar seperti Ibn al-Qayyim dalam kitab yang tersebut di atas atau Abu Ishaq al-Syatibi (mati 790H=1388M) dalam kitabnya al-Muwafaqat fi Usul al-Syari`ah atau Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi (www.qaradawi.net) di zaman kini dalam bukunya al-Marji`iyyah al-`Ulya fi al-Islam li al-Qur`an wa al-Sunnah, atau pun para ulama muktabar yang lain.

Astora mempunyai metodologi rekaan sendiri ketika berwacana tentang Islam, iaitu metodologi ‘cacamerba dan Lubsu al-Haq bi al-Batil’ (mencampuradukkan antara hak dan batil). Beliau mengambil mana-mana ayat al-Quran yang disukai untuk menyokong hawanya sehingga kadang-kadang terpaksa menyelewengkan terjemahan ayat al-Quran ke dalam Bahasa Melayu, dan membuang mana-mana ayat yang tidak menepati seleranya dengan menyembunyikannya daripada kandungan wacana walaupun ayat terbabit sepatutnya digunakan dalam wacana itu. Sila lihat rencana saya bertajuk `Astora Jabat Pendusta Agama (Siri I)` di laman http://members.tripod.com/mindarakyat2 (ruang Debat Cyber) sebagai bukti.

Beliau juga akan memetik terjemahan hadis tanpa mengira kedudukan hadis itu sama ada sahih atau dhaif ataupun mawdhu` (rekaan) apabila sesuatu hadis itu boleh menyokong propagandanya dan mendiamkan diri daripada hadis-hadis sahih (bahkan kadang-kadang mutawatir) yang tidak menyelerakannya dengan alasan mudah kononnya hadis itu hanyalah hadis ahad (bukan mutawatir) maka dakwanya, ianya tidak muktamad dan boleh dipertikaikan (ini pun kaedahnya sendiri dalam menerima atau menolak hadis, yang bertentangan sama sekali dengan disiplin seluruh ulama Islam sepanjang zaman). Untuk meneliti lebih lanjut metodologi Astora dalam berinteraksi dengan hadis Nabi s.a.w.dan betapa cacamerbanya beliau dalam mengambil atau menolak hadis, sila lihat rencana saya yang bertajuk `Awas! Astora Anti-hadis` di laman web yang sama.

Selain itu beliau kerap menceduk dan menciplak pemikiran puak orientalis seperti Ignaz Goldziher (seorang Yahudi German), Joseph Schact, Zweimer dan lain-lain yang telah diadun semula oleh penulis-penulis Islam sekular dari Timur Tengah di abad 20 seperti Qasim Amin (1863-1908M), Ahmad Amin (1878-1954M) dan anaknya Hussain Amin, Taha Hussain (1889-1973M), Farag Fouda (mati ditembak 1991M), Sa`id al-`Asymawi, Fuad Zakaria, Jamal al-Banna, Ahmad Subhi Mansour dan lain-lain. Qasim Amin, Taha Hussain, Ahmad Amin dan anaknya dan Farag Fouda telah bersemadi bersama pemikiran sekular kebaratannya di alam barzakh, manakala yang lain-lain itu adalah anak-anak didik mereka yang masih tinggal, termasuklah salah seorang anak didik tak langsung mereka yang cemerlang bergelar Astora Jabat.

Sekiranya Astora menyebutkan dalam tulisannya bahawa pandangannya itu berdasarkan `para cerdik pandai Islam`, maka mereka yang saya sebutkan itulah antara yang dimaksudkannya. Beliau tidak berani menyebut nama-nama mereka itu kerana mereka telah dikenali di kalangan umat Islam sebagai puak pemikir Secularism atau Westernism atas nama Islam, kerana jika disebutkan, menyebabkan tulisannya ditolak mentah-mentah oleh pembaca. Namun kadang-kadang Astora menyandarkan juga pandangannya kepada mereka bila beliau mengira `cerdik pandai` itu belum diketahui oleh khalayak umat Islam sebagai pemikir Islam sekular, di samping mempotretkannya sebagai `sarjana al-Azhar` untuk menambat pembaca. Hal ini pernah berlaku ketika Astora menfitnah Imam al-Awza`ie (88-157H=707-774M) yang merupakan seorang Tabi` al-Tabi`in, sebagai pereka hadis berkenaan hukum ke atas orang murtad, dengan menyandarkan asas tuduhannya itu kepada `kajian ilmiah` oleh seorang `sarjana al-Azhar` yang bernama Dr. Ahmad Subhi Mansour. Lihat sanggahan terhadap fitnah Astora ini secara lebih lanjut dalam rencana saya bertajuk `Hukum Murtad: Apakah Relevan Dengan Prinsip Kebebasan Beragama’ dalam laman web yang sama.

Untuk melariskan lagi pasaran pemikiran sekularnya, selalunya Astora menulis dengan lagak sebagai seorang `pemikir Islam yang independent` dan tidak menceduk idea daripada orang lain dalam menghidangkan santapan `Islam moden dan progresif’ (meminjam istilah Awang Sulung dalam Bisik-bisik Mingguan) kepada pembaca. Astora memang seorang murid `sekolah sekularisme’ yang cemerlang.

Dr. Mustafa al-Siba`ie menulis dalam kitabnya al-Sunnah wa Makanatuha fi al-Tasyri` al-Islami bahawa Dr. Ali Hasan Abd. Kadir telah mengarang sebuah kitab (bertajuk Nazarah `Ammah fi Tarikh al-Fiqh) yang dipenuhi dengan idea dan pandangan sarjana-sarjana orientalis (terutama Goldziher) terhadap Islam dan sunnah serta fitnah mereka bahawa Imam al-Zuhri (50-124H=670-742M, seorang Tabi`ie) yang kononnya mula-mula mereka cipta sunnah atau hadis dalam Islam. Akibat perbuatan menceduk idea orientalis secara terang-terangan itu, Dr. Ali Hasan Abd Kadir dikecam keras oleh Universiti al-Azhar dan dilucutkan kesarjanaannya.

Sebagai reaksi terhadap tindakan al-Azhar ini, Ahmad Amin membuat komentar, “Al-Azhar tidak menerima pandangan ilmiah yang bebas, maka sebaik-baik cara untuk menceduk idea orientalis yang kamu rasa munasabah ialah dengan tidak menyandarkan secara terus terang kepada mereka, sebaliknya kamu tonjolkanlah kepada ilmuan al-Azhar seolah-olah idea itu merupakan hasil kajian ilmiah kamu sendiri dan sarungkanlah idea itu dengan `baju yang cantik’ supaya mereka tidak ragu-ragu untuk menerimanya, seperti yang aku lakukan dalam (buku) Fajr al-Islam dan Dhuha al-Islam.” (Lihat Dr. Ali al-Salus, Qissah al-Hujum `ala al-Sunnah, Dar al-Salam, Kaherah, 1987, m.s: 38)

Inilah dia formula yang dipakai oleh murid orientalis sekular yang cemerlang, Astora Jabat ketika menjamukan para pembaca dengan wacananya tentang Islam. Jangan nak berselindung lagi Astora, semakin banyak kamu menulis dan bercakap, semakin terserlah tembelangmu yang busuk dan hampak itu. Sekilas ikan di air, kita telah tahu jantan betinanya.

Namun, tidak dapat dinafikan bahawa Astora juga banyak membawa pandangan ulama Islam yang muktabar di zaman pertengahan seperti Ibn Qayyim al-Jawziyah, Ibn Qudamah (541-620H=1146-1223M), al-Syatibi dan juga ulama dan pemikir Islam zaman moden seperti Syeikh Muhammad al-Ghazali (mati 1996M), Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi, Fahmi Huweidi dan lain-lain. Cuma kita kena sedar bahawa murid orientalis sekular ini juga menggunakan metodologi yang sama dengan metodologinya ketika berinteraksi dengan nas-nas al-Quran dan hadis, di mana dia mengambil dan membuang sesuka hati berdasarkan hawa nafsunya, iaitu metodologi cacamerba dan Lubsu al-Haqq bi al-Batil.

Dia mengambil pandangan al-Ghazali (dalam kitabnya al-Sunnah al-Nabawiyyah bayna Ahlil Fiqh wa Ahlil Hadith dan Turathuna al-Fikri) yang mengkritik beberapa hadis sahih yang ahad (ini sudah pun disanggah oleh Syeikh Mustafa Salamah dalam kitabnya Bara-ah Ahlil Fiqh wa Ahlil Hadith min Awham Muhammad al-Ghazali, Maktabah Ibn Hajar, Kaherah, cet. 1 dan 2 1990). Ini bertujuan untuk menjustifikasikan mazhab `separa anti-hadis`nya (Astora). Dalam masa yang sama dia (Astora) menolak atau menanam ke dalam bumi pandangan al-Ghazali tentang kewajipan berhukum dengan hukum Allah, hijab (menutup aurat) dan lain-lain. Dia menggoreng tulisan al-Qaradawi tentang perlaksanaan hukuman hudud di zaman Nabi s.a.w. yang amat sukar dipraktikkan, tetapi dia mengkuburkan dan menyembunyikan tulisan al-Qaradawi dalam kitabnya yang sama (Malamih al-Mujtama` al-Muslim) tentang kewajipan pemerintah umat Islam melaksanakan hukum hudud dengan cara memperundangkannya (taqnin) sebagai akta atau kod prosedur, dan juga saranan ‘penyelesaian secara Islam’ oleh beliau. Dan demikianlah juga perangainya terhadap tulisan-tulisan Fahmi Huweidi. Ini bukanlah satu yang pelik bagi seorang anak murid orientalis sekular yang terlatih. Tidak sempurna kecemerlangannya jika tidak ada ramuan `dusta secukup rasa` ketika memindahkan idea dan pandangan ulama Islam itu. Dan ini memang telah menjadi trend puak Islam sekular dalam penulisan seperti perbuatan Dr. Ahmad Subhi Mansour yang kononnya merujuk kepada Imam Ibn Kathir melalui kitab al-Bidayah wa al-Nihayah apabila menfitnah Imam al-Awza`ie sebagai pereka hadis murtad.

Demikianlah metodologi Astora yang dapat saya cungkilkan berdasarkan study saya terhadap wacana-wacananya dalam ruang `Bicara Agama` (Mingguan Ahad) atau `Debat` (Utusan Jumaat). Satu metodologi yang sama digunakan oleh puak penulis Islam sekular di Timur Tengah.

Dan selepas itu….. sampailah kita kepada perbincangan berkenaan tajuk di atas iaitu `Astora Pendusta Agama –siri VI: Menghina Rasulullah s.a.w. dan GenerasiSahabat r.a.’. Sebenarnya rencana ini ditulis sebagai satu usaha menyingkap praktis Astora terhadap metodologi tersembunyi yang kita telah cungkilkan di atas. Ia juga merupakan jawapan dan sanggahan terhadap wacananya yang tersiar dalam Mingguan Malaysia 17/9/2000 yang lalu di bawah tajuk `Kejahilan Pas tentang jenayah’.

Kita tahu bahawa Astora telah dipasang siap untuk memerangi Pas dan gerakan dakwah yang dibawa olehnya. Maka tidak hairanlah jika dalam setiap tulisannya pasti ada serangan terhadap Pas walaupun dengan `peluru kosong’, kerana kerap kali beliau menyerang Pas; ulama, pemimpin, ahli, hatta penyokongnya dengan tuduhan yang tidak berasas sama sekali.

Dalam rencana tersebut Astora telah menuduh penceramah dan ulama Pas berkata Malaysia bukan negara Islam, bahkan sekular kerana tidak pernah sunyi daripada jenayah, jika Malaysia negara Islam sudah tentu tiada kejadian jenayah.

Kita tidak tahu siapa penceramah atau ulama Pas yang berkata begitu (negara jadi sekular kerana tidak pernah sunyi daripada jenayah). Kalau pun ada yang berkata begitu (…Astora suka putar kaset ceramah Pas sebagai bukti dakwaannya…), kenapalah Astora bebal sangat sampai tidak faham maksud mereka itu. Tidak mungkin mereka bermaksud `negara jadi sekular semata-mata kerana wujud jenayah’, kerana mereka sendiri kerap membawa contoh Nabi s.a.w. melaksanakan hukum hudud atau ta`zir ke atas orang-orang yang sabit kesalahan jenayahnya di zaman negara Islam Madinah itu. Kalau penceramah Pas berpegang kepada `negara Islam tiada jenayah’, maka sudah tentu mereka tidak akan bawa cerita-cerita Nabi s.a.w. dan para khalifah kemudiannya melaksanakan hukuman ke atas penjenayah. Jangan jadi bebal sangat Astora…! Maka jelaslah maksud penceramah Pas bahawa Malaysia ini dikatakan mengamalkan dasar sekular kerana mengecualikan sebahagian besar pentadbiran negara (yang selain ibadat dan hal ehwal kekeluargaan) daripada hukum Islam dan menggunakan hukum lain yang diwarisi daripada penjajah atau yang dibikin oleh kerajaan memerintah, bukan kerana di Malaysia ini ada jenayah maka ia dikatakan sekular.

Seterusnya Astora menulis, “Jika kita merujuk kepada zaman Rasululah s.a.w. dan Khulafa Rasyidun, kita akan mendapati bahawa masyarakat Madinah tidak begitu berbeza daripada masyarakat di negara ini dan di mana-mana negara Islam”, sambil menambah “Memang benar negara Islam Rasulullah adil dan saksama, tetapi keadilan dan kesaksamaan itu tidak sempurna seperti mana-mana zaman termasuk zaman ini…” kerana “…keadilan dan kesaksamaan yang sempurna secara mutlak hanya terdapat di akhirat…”

Terlalu banyak penyelewengan dan ajaran sesat yang dibawa oleh Astora dalam tulisan tersebut. Peliknya, ajaran sesat Astora ini dibawa semasa Perdana Menteri baru sahaja `mencegah kemungkaran’ satu ajaran sesat yang kononnya Pas berkata Rasulullah s.a.w. pemimpin parti Islam yang pertama dan kononnya dengan itu, Pas telah menyamakan pemimpin mereka dengan Rasulullah s.a.w.

Astora telah membawa ajaran sesat yang amat menyesatkan apabila mendakwa masyarakat Madinah di bawah pimpinan Nabi s.a.w. dan Khulafa al-Rasyidin tidak begitu berbeza dengan masyarakat hari ini. Berdasarkan contoh-contoh jenayah zaman Nabi s.a.w. yang beliau bawa (selepas ini akan diulas satu persatu), jelas beliau mengatakan generasi Sahabat (r.a.) lebih kurang sahaja (tidak jauh berbeza atau hampir sama) dengan masyarakat Islam kini.

Di mana sesatnya tulisan Astora itu? Berdasarkan al-Quran dan hadis-hadis sahih kita membuat justifikasi. Lihat terjemahan nas-nas di bawah:

1. Surah Ali `Imran: 110: “Kamu adalah sebaik-baik umat yang pernah dikeluarkan untuk (meminpin) manusia, (kerana) kamu menyeru makruf dan mencegah mungkar dan kamu benar-benar beriman kepada Allah….”

Di sini Allah s.w.t. telah mengisytiharkan bahawa generasi Sahabat (r.a.) adalah sebaik-baik umat yang pernah wujud di kalangan manusia kerana amanah yang telah mereka laksanakan, iaitu benar-benar beriman kepada Allah, menyeru makruf dan mencegah mungkar (berdakwah). Jadi bagaimana Astora boleh mendakwa dengan dakwaan yang bertentangan dengan dakwaan Allah s.w.t. di dalam al-Quran? Sungguh sesat lagi menyesatkan!

2. Surah al-Anfal: 74: “Dan orang-orang yang beriman, berhijrah dan berjihad di jalan Allah (para sahabat) serta orang-orang yang menyokong dan membantu mereka; mereka itulah orang-orang yang sebenar imannya, bagi mereka itu keampunan dan rezeki yang mulia (syurga).”

Alah s.w.t. telah menjanjikan keampunan dan syurga untuk mereka dan penyokong mereka kerana kebenaran iman, hijrah dan jihad mereka.

3. Surah al-Tawbah: 100: “Dan orang-orang yang terdahulu dan terawal (iaitu) daripada al-Muhajirin dan al-Ansar serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah mereka dengan sempurna (generasi al-Tabi`in); Allah telah redha terhadap mereka dan mereka pun redha dengan Allah, dan Allah telah sediakan bagi mereka itu syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, mereka kekal di dalamnya, yang demikian itulah kemenangan yang terbesar.”

Allah s.w.t. telah menegaskan bahawa Dia telah redha dan menyediakan syurga untuk para Sahabat (r.a.).

4. Surah al-Fath: 18: “Sesungguhnya Allah telah redha terhadap orang-orang yang beriman ketika mereka bersumpah setia (bai`ah) di bawah sepohon pokok, maka Allah mengetahui isi hati mereka, lalu menurunkan sakinah (ketenangan) ke atas mereka dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat.”

Allah s.w.t. menegaskan bahawa Dia telah meredhai para Sahabat (r.a.) yang berbai`ah untuk menuntut bela ke atas Saydina `Uthman yang dikhabarkan telah dibunuh oleh musyrikin ketika beliau masuk ke Mekah untuk memberitahu tentang kedatangan Nabi s.a.w. dan Sahabat r.a. secara aman. Peristiwa tersebut dinamakan Bay`ah al-Ridhwan.

5. Surah al-Fath: 29: “Muhammad itu adalah pesuruh Allah, dan orang-orang yang bersamanya (para Sahabat) itu amat berkeras terhadap orang-orang yang kafir dan amat berlemah lembut sesama mereka…”

Allah s.w.t. memuji para Sahabat (r.a.) kerana sikap mereka yang bertegas terhadap golongan ingkar dan berlembut terhadap golongan beriman.

Manakala hadis-hadis yang membuktikan kelebihan generasi Sahabat r.a. ke atas seluruh manusia adalah banyak, antaranya:

1. Daripada Abu Sa`id al-Khudri, Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: “Jangan kamu mencela sesiapa pun di kalangan sahabatku, sesungguhnya walaupun seseorang daripada kamu bersedekah emas sebesar bukit Uhud sekalipun, tidak akan mencapai secupak pahala mereka dan tidak juga sebahagiannya (cupak).” Hadis Sahih dikeluarkan oleh Imam Muslim (204-261H=820-875M) dalam kitab al-Sahih: 4/1968.

2. Daripada `Abdullah bin Mughaffal bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Allah…Allah… para sahabatku… jangan kamu jadikan mereka sasaran selepasku, maka sesiapa yang mencintai mereka maka cinta itu adalah kerana aku, sesiapa yang membenci mereka maka benci itu juga hendaklah kerana aku, sesiapa yang menyakiti mereka sesungguhnya dia telah menyakiti aku, sesiapa yang menyakitiku sesungguhnya dia telah menyakiti Allah, sesiapa yang menyakiti Allah ditakuti Allah akan menghukumnya.”

Hadis ini dikeluarkan oleh al-Tirmidzi (209-279H=824-892M) dalam al-Jami`: hadis no. 3862 dan menghukumkannya sebagai Hasan Gharib, juga dikeluarkan oleh Ibn Hibban al-Busti (mati 245H=860M) dalam al-Sahih: hadis no. 2283 dan Syeikh Nasiruddin al-Albani (mati 1996M) dalam Silsilah al-Dha`ifah: hadis no. 2901. Walaupun al-Albani menghukumkan hadis ini sebagai Dha`if, namun ianya tidak sedikit pun mencacatkan kelebihan Sahabat r.a. seperti yang dinyatakan oleh al-Quran, apatah lagi Ibn Hibban telah memasukkannya ke dalam kumpulan hadis sahih dan ada ulama hadis telah mengatakan bahawa karya hadis yang paling sahih selepas Sahih al-Bukhari dan Muslim ialah Sahih Ibn Khuzaymah (223-311H=838-924M) dan Sahih Ibn Hibban. (Dr. Muhammad al-Zuhayli, Marji` al-`Ulum al-Islamiyyah, Dar al-Ma`rifah, Beirut, t.t., m.s:291).

3. Daripada `Imran bin Husoin, Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sebaik-baik generasi ialah generasiku, kemudian generasi yang seterusnya, kemudian generasi yang berikutnya, kemudian selepas mereka itu tersebarlah pendustaan sehingga seseorang itu amat mudah bersumpah walaupun belum diminta bersumpah dan amat mudah memberi persaksian walaupun belum diminta menjadi saksi.”

Hadis Sahih dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari (194-256H=810-870M) dan Imam Muslim, Ibn Hibban daripada `Umar bin al-Khattab (Ibn Hajar al-`Asqalani, Talkhis al-Habir 4:224, Maktabah Ibn Taymiyyah, Kaherah, t.t).

Demikianlah maksud nas-nas daripada al-Quran dan hadis-hadis sahih yang dengan itu, mazhab Ahl al-Sunnah wal Jamaah telah bersepakat mengatakan bahawa para Sahabat r.a. semuanya adalah `udul (tidak fasiq dan boleh dipercayai) dan mereka adalah kumpulan manusia yang terbaik yang pernah wujud atas muka bumi ini. Apatah lagi jika kita membuka kitab-kitab sirah (sejarah hidup Rasulullah s.a.w.) maka kita dapati pengorbanan mereka untuk Islam tiada tolok bandingnya. Mereka berhijrah meninggalkan kampung halaman di Mekah sehelai sepinggang semata-mata kerana Islam, ada yang membelanjakan semua hartanya ke jalan Allah tanpa tinggal sedikit pun seperti Abu Bakar al-Siddiq r.a., ada yang menjadikan belakang mereka sebagai perisai untuk menadah tikaman anak panah, pedang dan lembing musuh ketika perang daripada terkena jasad Nabi s.a.w. yang mulia seperti Abu Dujanah r.a. dan bermacam pengorbanan untuk Allah, Rasul-Nya dan Islam, yang sekiranya kita hayati dengan hati yang bersih lagi murni, nescaya akan menitislah air mata kerana mengenangkan mereka. Apabila mereka terlanjur melakukan dosa, mereka bertaubat dengan taubat yang luar biasa sehingga sanggup menyerah diri untuk dihukum bunuh seperti Ma`iz al-Aslami dan wanita al-Ghamidiyyah. Masih adakah manusia seperti mereka itu pada hari ini?

Tapi apa yang telah Astora gambarkan tentang masyarakat Sahabat dan Sahabiat (radhiAllahu `anhum)??? Ya SubhanaLlah…!! Betapa celupar dan kurang ajarnya dia terhadap generasi didikan Nabi s.a.w.! Dia menceritakan keburukan-keburukan Sahabat dan Sahabiat r.a. dengan cerita-cerita yang tidak sabit lagi batil. (Kita akan buktikan kebatilannya selepas ini).

Siapakah Astora ini pada timbangan al-Quran, sunnah dan umat Islam? Lihat apa kata Imam Abu Zur`ah al-Razi (mati 280H=893M) tentang orang yang bersikap seperti Astora: “Apabila kamu melihat seseorang merendah-rendahkan salah seorang daripada para Sahabat Rasulullah s.a.w., maka ketahuilah bahawa orang itu adalah zindiq (atheist). Rasul itu benar, al-Quran itu benar, apa yang datang melalui kedua-duanya adalah benar dan Sahabatlah yang menyampaikan semua kebenaran itu kepada kita. Puak zindiq itu berniat untuk mencemarkan nama baik saksi-saksi kita (Sahabat r.a.) demi untuk merosak (ajaran) al-Quran dan sunnah, sepatutnya mereka itu (zindiq) lebih wajar dicaci maki.” (Dr. Muhd. `Ujjaj al-Khatib, Abu Hurayrah Rawiyatu al-Islam, Maktabah Wahbah, Kaherah, 1982, m.s: 34 dan juga al-Sunnah qabla al-Tadwin).

Memang benar Sahabat r.a. tidak maksum, kerana mereka bukan nabi, bukan juga keturunan malaikat dan Nabi s.a.w. diutuskan bukan untuk me`malaikat’kan mereka, tetapi untuk mendidik mereka untuk menjadi manusia yang terbaik dan menjadi contoh yang boleh diharapkan untuk membawa Islam agama rahmat ke seluruh alam. Tidak dapat dinafikan antara mereka ada yang terlanjur melakukan dosa, tetapi mereka semua bertaubat dan Allah s.w.t. telah menjanjikan pengampunan dan syurga untuk mereka sebagai balasan pengorbanan mereka untuk Islam, seperti dalam ayat-ayat al-Quran di atas tadi. Bukankah apabila sesuatu makhluk itu bernama manusia maka sudah pasti melakukan kesalahan? Tetapi sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan ialah orang yang bertaubat, seperti satu hadis yang dikeluarkan oleh al-Tirmidzi dalam al-Jami`: hadis no. 2499 yang disahihkan oleh al-Albani dalam Sahih Jami` al-Tirmidzi. Maka Sahabat r.a. adalah sebaik-baik manusia, yang memang sifat manusia itu melakukan kesalahan.

Bagaimana pula Astora hendak menyamakan taraf generasi Sahabat r.a. dengan masyarakat hari ini? Siapa guru yang mengajarkannya ilmu sesat ini?

Lebih dahsyat lagi apabila Astora mendakwa keadilan dan kesaksamaan yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. tidak sempurna kerana kesempurnaan hanya terdapat di akhirat. Kenapa neraca di dunia diukur dengan neraca di akhirat? Apa yang Rasulullah s.a.w bawa dan laksanakan di dunia ini adalah paling adil dan saksama sehingga Allah s.w.t. sendiri mengiktirafnya seperti dalam ayat 3 Surah al-Maidah, iaitu antara ayat-ayat yang terakhir yang diturunkan sebagai pengisytiharan tugas Nabi s.a.w. sudah selesai dan sempurna dan tidak perlu kepada ajaran lain lagi. Bagaimana Astora berani mendakwa keadilan Nabi s.a.w. tidak sempurna? Apakah Astora hendak berkata bahawa Nabi s.a.w. gagal membawa mesej keadilan dan kesaksamaan sejagat? Jaga-jaga iman kamu Astora!

Dakwaan jahat lagi menghina Nabi s.a.w. ini tidaklah menghairankan jika keluar daripada Astora kerana sebelum ini pun (Mingguan Malaysia 22/8/99) beliau telah mendakwa Rasulullah s.a.w. ‘melaksanakan hukuman menyalahi yang diperuntukkan dalam al-Quran’ dan menfitnah Saydina `Umar telah ‘mengubah hukum hudud yang terdapat dalam al-Quran’ (Mingguan Malaysia 15/8/99). (Lihat rencana sanggahan saya bertajuk `Astora Jabat Melakukan Perkara Yang Merosakkan Aqidah` dan `Umar Pelaksana Hudud, Bukan Pengubah’ di laman web yang tersebut.) Apakah hukumnya membuat dakwaan sedemikian walau atas apa alasan sekali pun? Apakah Datuk Seri Panglima Dr. Abd Hamid Othman, Brig. Jen. (B) Dato` Abdul Hamid Zainal Abidin, Dato` Zainal Abidin Abdul Kadir, Dato’ Dr. Ismail Ibrahim dan ulama lain dalam kerajaan tidak nampak penyelewengan dan kesesatan tulisan Astora Jabat itu?

Apabila saya membaca rencana `Kejahilan Pas tentang jenayah’ itu pertama kali dan melihat betapa buruknya gambaran Astora terhadap generasi Sahabat r.a., saya berkata pada diri saya sendiri: “Pemikiran orang ini telah ditimpa malapetaka yang besar, kepalanya telah dimasuki hantu dan syaitan. Nampaknya orang `Siam’ seorang ini telah menjadi `sial’ !!” (Tidak hairan jika selepas ini akan ada yang menyoal saya, beginikah akhlak Islam dengan tulisan maki hamun? Saya akan jawab, sepatutnya saya menggunakan perkataan yang lebih kasar daripada itu berdasarkan kebiadaban Astora terhadap Nabi s.a.w dan para Sahabat r.a.)

Baiklah, seterusnya kita melihat bagaimana Astora ‘memaki hamun’ para Sahabat r.a. dengan berselindung di sebalik sebuah rencana yang ditajukkan untuk menghentam Pas (Kejahilan Pas tentang jenayah).

Beliau menulis, “Sesungguhnya Rasulullah seorang saja yang maksum, tetapi orang-orang berada di keliling baginda tidak maksum.” Ini kita terima pada prinsipnya, tetapi walaupun Sahabat r.a. itu tidak maksum, mereka tidak sama sekali sama atau hampir sama taraf dengan masyarakat hari ini, berdasarkan nas-nas yang telah disebutkan di atas tadi. Sesiapa yang mendakwa sebaliknya, ia telah melanggar kehendak al-Quran dan hadis sahih.

Sebagai membuktikan dakwaan jahatnya itu, Astora menyebutkan hadis tentang `kejadian tidak senonoh’ (lihat betapa biadab bahasanya) Sahabat r.a. yang diriwayat dan dikatakan bersanad sahih oleh al-Hakim, iaitu hadis tentang seorang wanita yang sangat cantik pergi bersolat di masjid Nabi s.a.w. menyebabkan sebahagian Sahabat r.a. maju ke depan untuk mengelakkan godaan wanita itu dan sebahagian yang lain sengaja bersolat di saf terkebelakang untuk melihat wanita itu melalui bawah ketiak ketika mereka sedang rukuk, lalu turunlah ayat 24 Surah al-Hijr yang diterjemahkan oleh Astora sebagai; “Dan sesungguhnya Kami (Allah) mengetahui mereka yang maju ke depan (al-Mustaqdimin) dan mereka yang undur ke belakang (al-Musta’khirin) daripada kamu…”

Saya merujuk tafsiran ayat tersebut dalam Tafsir al-Qurtubi dan Tafsir Ibn Kathir dan hasilnya adalah seperti berikut:

Astora tidak amanah kerana menyembunyikan tujuh lagi tafsiran yang dibawa oleh al-Qurtubi (mati 671H=1273M) tentang perkataan `al-Mustaqdimin’ dan `al-Musta’khirin’ dalam ayat tersebut dan hanya membawa tafsiran yang terakhir (iaitu orang yang ke depan dan ke belakang dalam saf solat) pada pandangan al-Qurtubi. Memang al-Qurtubi mengatakan bahawa apa yang berlaku antara wanita cantik dan Sahabat yang bersolat di saf belakang itu adalah menjadi punca sebab turunnya ayat al-Hijr: 24 itu, tetapi beliau (al-Qurtubi) sendiri menyatakan kelemahan riwayat itu, di mana di hujung hadis yang dikatakan diriwayatkan oleh Abu al-Jawza’ daripada Ibn `Abbas itu, al-Qurtubi menyatakan bahawa: “Ia diriwayatkan juga daripada Abu al-Jawza’ tanpa melibatkan Ibn `Abbas, itulah yang paling sahih.”

Al-Hafiz Ibn Kathir (701-774H=1301-1373M) pula berkata ketika mentafsirkan ayat tersebut (al-Hijr: 24) bahawa tafsiran yang paling tepat daripada Ibn `Abbas ialah `al-Mustaqdimin’ itu bermaksud `manusia yang telah mati semenjak zaman Adam a.s.’ dan `al-Musta’khirin’ itu bermaksud `manusia yang masih hidup dan yang akan datang sehingga Kiamat’, bukannya bermaksud orang yang `terkehadapan’ dan ‘terkebelakang’ dalam saf solat seperti yang didakwa Astora untuk menggambarkan Sahabat r.a. `tidak senonoh’ hatta ketika solat.

Tafsiran Ibn `Abbas yang disebutkan oleh Ibn Kathir ini juga yang dipakai oleh ulama tafsir zaman al-Tabi`in seperti `Ikrimah, Mujahid, al-Dhahhak, Qatadah, Muhammad bin Ka`ab, al-Sya`bi dan lain-lain. Beliau (Ibn Kathir) juga menyebutkan bahawa ia adalah tafsiran yang dipilih oleh Imam Ibn Jarir al-Tabari sambil menyatakan bahawa hadis (yang dibawa oleh Astora) itu sebagai Hadith Gharib Jiddan (hadis yang terlalu janggal).

Berkata Ibn Kathir lagi, bahawa hadis tersebut `fii hi nakarah syadidah’ (ada unsur ketidakboleh percayaan yang amat sangat terhadap sanadnya kerana di dalamnya ada perawi yang tidak thiqqah dan tidak kuat ingatan meriwayatkan secara bersendirian tanpa disokong oleh sanad yang lain). `Abd al-Razzaq dalam kitab al-Musannaf dengan sanadnya daripada `Amru bin Malik bahawa Abu al-Jawza’lah yang mengatakan ayat al-Hijr: 24 itu tentang saf solat, lalu Ibn Kathir menambah, “Yang nyata hadis tersebut adalah daripada kata-kata Abu al-Jawza’ dan tiada kena mengena dengan tafsiran Ibn `Abbas.”

Jadi kesimpulannya, hadis tersebut (yang disebut Astora untuk menuduh Sahabat r.a. sebagai tidak senonoh) adalah sebuah hadis yang Dha`if Jiddan (teramat dhaif) kerana kewujudan ‘nakarah syadidah’ itu walaupun dikeluarkan oleh al-Tirmidzi dan al-Nasa-i.

Bagaimana pula dengan dakwaan Astora yang mengatakan hadis itu disifatkan oleh al-Hakim (321-405H=933-1014M) dalam kitab al-Mustadrak sebagai sahih sanadnya?

Bagi ilmuan yang biasa dengan pengajian hadis secara serius, mereka telah maklum bahawa pensahihan al-Hakim terhadap satu-satu hadis dalam kitab al-Mustadrak itu tidak boleh diterima secara mutlak seperti penerimaan terhadap Sahih al-Bukhari dan Muslim. Ini kerana al-Hakim terkenal di kalangan ulama hadis dengan sikap ‘Tasahul’ (berwenang dan tidak teliti) ketika mendakwa sesuatu hadis itu sahih ataupun mengikut syarat al-Bukhari dan/atau Muslim. Oleh sebab itu, ramai al-Nuqqad (ulama pengkritik mutu hadis) telah mengkritik dan memperbetulkan kesilapan al-Hakim, seperti al-Hafiz al-Dzahabi (625-702H=1228-1302M), Ibn Mulqan (mati 804H=1400M), al-Suyuti (849-911H=1445-1505M) dan lain-lain.

Syeikhul Islam al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asaqalani (773-852H=1372-1449M) berkata, “Berlaku ketidak telitian dalam (kitab) al-Hakim kerana beliau asalnya berhasrat untuk menyuntingkannya semula hadis-hadis itu tetapi malangnya kematian telah menjemputnya lebih dahulu, ataupun ada sebab-sebab selain itu lagi.” (Dr. Muhammad al-Zuhayli, Marji` al-`Ulum al-Islamiyyah, m.s: 289).

Dengan pembentangan fakta ini, kita mempunyai dua kesimpulan terhadap sikap Astora, iaitu sama ada beliau menyembunyikan fakta di atas daripada pengetahuan pembaca dengan tujuan menegakkan fahaman batilnya terhadap masyarakat Sahabat r.a. ataupun beliau sememangnya seorang yang jahil lagi buta tentang `Ulum al-Hadith, walaupun mendabik dada sebagai tinggal lama dan mengajar di negara Arab. Kita juga tidak lupa pengakuannya bahawa beliau sebenarnya pernah melanjutkan pelajaran peringkat sarjana dalam bidang hadis tetapi tidak tamat belajar, jadi sahlah ilmunya dalam bidang hadis hanya sesuku masak atau kurang daripada itu. Sepatutnya Astora belajar lagi tentang ilmu hadis. Kalau tidak berupaya ke universiti, beliau sepatutnya menadah di depan pakar-pakar hadis di Malaysia seperti Dr. Abdul Hayei Abdul Syukur, seorang kolumnis mingguan di sebelah kolumnya.

Lihat lagi bagaimana Astora menggambar burukkan para Sahabat r.a. dengan cerita-cerita batil lagi dongeng. Sebagai muslim sebenar, kita sepatutnya memuliakan para Sahabat r.a. sebagai generasi yang mula-mula menyambung risalah Nabi s.a.w. seperti yang dianjurkan oleh al-Quran, tetapi bagaimana dengan ‘keIslaman’ Astora ini? Sebelum ini hanya puak kafir orientalis dan murid-murid Islam sekular mereka sahaja yang bersikap demikian terhadap Sahabat r.a.

Dengan gaya cerita yang umum tanpa menyebutkan rujukan Astora memburukkan Sahabat r.a. kononnya al-Bayhaqi dan perawi-perawi lain “menceritakan beberapa buah hadis yang panjang mengenai kejadian rogol seorang wanita yang sedang dalam perjalanan untuk menunaikan sembahyang Subuh di Masjid Nabawi. Malah ada juga beberapa kejadian isteri sahabat yang berada di medan perang melakukan perbuatan sumbang dengan lelaki lain seperti yang disebut dalam beberapa hadis.”

Untuk cerita ‘al-Bayhaqi dan perawi-perawi lain’ ini, kita tidak mahu menuduh Astora berdusta lagi, kerana amat susah untuk kita merujuk apabila Astora menggunakan ‘serkap jarang’ secara keterlaluan begitu. Tetapi gaya sebegitu bukanlah satu akhlak seorang Islam, apatah lagi cerita yang dibawa adalah terhadap Sahabat r.a. yang merupakan semulia-mulia generasi manusia. Al-Quran menyifatkan khabar atau cerita sebegitu sebagai ‘berita orang fasiq’ yang wajib orang Islam selidiki terlebih dahulu untuk mempercayainya supaya tidak berlaku penganiayaan terhadap pihak yang kena tuduh (di sini Sahabatlah yang dituduh). (Lihat Surah al-Hujurat: 6)

Satu lagi cerita yang dibawa Astora untuk memburukkan gambaran terhadap masyarakat Sahabat r.a. ialah kisah yang kononnya menjadi sebab turunnya ayat 135 Surah Ali `Imran (“Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka…”) iaitu cerita “kejadian seorang lelaki cuba mencabuli isteri seorang rakannya yang berada di medan perang… …apabila menyaksikan isteri rakannya sedang mandi.”

Begitu juga dengan cerita “seorang penjual kurma bernama Nabhan memeluk dan mencium seorang wanita cantik di kedainya menjadi punca turun ayat yang sama.”

Saya juga merujuk kepada kitab Tafsir al-Qurtubi, Tafsir Ibn Kathir, Tafsir al-Jalalayn dan kitab Lubab al-Nuqul fi Asbab al-Nuzul (kedua-duanya oleh Imam al-Suyuti) berkenaan ayat yang disebutkan itu, dan hasilnya seperti berikut:

Al-Qurtubi menyebutkan tanpa sanad berkata, “Pada riwayat `Ato’ , ayat ini (Ali `Imran: 135) turun berkenaan kisah Nabhan penjual kurma…” (lalu al-Qurtubi membawakan kisah tersebut).

Kita tidak tahu di mana sanad al-Qurtubi dalam membawa kisah ini dan kitab hadis yang manakah daripada kitab-kitab hadis yang enam (al-Sunan al-Sittah) atau selainnya yang digunakan oleh al-Qurtubi sebagai rujukan. Kita maklum bahawa jarak zaman antara al-Qurtubi (mati 671H=1273M) dan `Ato’ bin Abi Rabah (mati 114H= 732M, seorang Tabi`ie terkenal) itu amat jauh iaitu lebih daripada lima ratus tahun. Jadi bagaimana mungkin beliau membawa riwayat `Ato’ seolah-olah beliau mendengar sendiri daripada `Ato’ (membawanya tanpa sanad dan rujukan)? Jadi jelaslah kisah Nabhan penjual kurma ini tidak boleh dipakai dan tidak laku langsung di kalangan ulama hadis kerana ia merupakan satu riwayat yang munqati`ah (terputus) selama lebih 500 tahun. Tetapi bagi ‘ulama’ seperti Astora, riwayat ini amat laku !! Untuk mendakwanya sebagai kisah di zaman Sahabat r.a.!!

Apa yang pelik, Astora menyembunyikan satu riwayat yang sahih tentang sebab turun ayat tersebut iaitu yang diriwayatkan oleh `Ali bin Abi Tolib bahawa Abu Bakr al-Siddiq memberitahunya bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Tiadalah seorang hamba yang telah melakukan dosa lalu dia berwudhu’, bersolat dua rakaat dan meminta ampun daripada Allah, melainkan Allah akan ampunkan dosanya” lalu baginda membacakan ayat ini… “(Ali `Imran: 135). Hadis ini dikeluarkan oleh Abu Dawud al-Toyalisi dalam kitab al-Musnad dan al-Tirmidzi dalam al-Jami` dan berkata: Hadith Hasan.

Kenapa Astora mempamirkan riwayat batil dan menyembunyikan riwayat sahih untuk menjustifikasi masyarakat Sahabat r.a.? Hantu dan syaitan apa yang telah memasuki otak dan hatinya? Inilah dia praktis ‘metodologi cacamerba atau Lubs al-Haq bi al-Batil’ yang digunakan Astora! Selalunya hanya puak orientalis kafir dan penulis Islam sekular yang menggunakan metodologi ini.

Manakala cerita tentang seorang lelaki (Sahabat) yang mencabul isteri rakannya yang keluar ke medan perang merupakan satu lagi praktis metodologi ajaran syaitan itu. Al-Qurtubi membawa kisah itu dengan lafaz yang jelas menunjukkan kedhaifan dan kebatilannya, iaitu dengan lafaz ta`ridh (qiila )– yang bermaksud “dikatakan”, tanpa diketahui siapa yang berkata. Maksudnya, riwayat ini lebih batil daripada riwayat Nabhan penjual kurma tadi, kerana tidak diketahui langsung siapa yang berkata.

Dalam masalah sebegini, kemahiran Bahasa Arab semata-mata tidak mencukupi untuk memahami kitab-kitab klasik ulama Islam jika tidak menguasai bahasa yang telah dijadikan istilah oleh mereka. Kita akui Astora tinggal lama di negara Arab, tetapi kita lihat penguasaan Bahasa Arabnya amat jelek. Saya yang masih bodoh Bahasa Arab ini, boleh memetik beberapa contoh kedangkalannya dalam bahasa al-Quran itu. Sebahagiannya telah saya sebutkan dalam rencana-rencana terdahulu, seperti kesalahan menyebut nama kitab Ibn al-Qayyim dan kesalahan tatabahasa Arab ketika menyebut nama satu bab dalam kitab al-Mughni. Dan tidak berapa lama sebelum ini, ketika menterjemahkan beberapa perenggan tulisan Syeikh Muhammad al-Ghazali, Astora menyebutkan nama kitab Ibn Hazm al-Zohiri sebagai ‘al-Mahalli’ sedangkan sebetulnya nama kitab itu disebut sebagai ‘al-Muhalla’ iaitu singkatan kepada nama penuhnya ‘al-Muhalla bi al-Athar’ (bermaksud ‘kitab yang dihiasi dengan athar’ – ucapan Nabi s.a.w. dan Sahabat r.a.). Astora juga didapati terkeliru antara lafaz al-Hallu (yang bermaksud ‘penyelesaian’) dan al-Hillu (yang bermaksud ‘halal’) dalam salah satu tulisannya.

Bagi orang yang selalu mendabik dada sebagai mahir Bahasa Arab, banyak membaca kitab sehingga memperlecehkan orang lain, dan tinggal lama di negara Arab; ini adalah satu kesilapan yang amat mengaibkan. Jika demikianlah kualiti Bahasa Arab Astora, kita curiga akan pemahamannya terhadap tulisan-tulisan ulama Islam terutama yang klasik, ditambah lagi dengan sikapnya yang tidak amanah sambil mengaplikasikan ‘metodologi cacamerba atau Lubs al-Haq bi al-Batil’.

Kita berbalik kepada perbincangan tentang kisah-kisah yang dibawa Astora, yang kononnya sebagai sebab turun ayat 135 Surah Ali `Imran itu.

Kita telah selesai mengulas dan menganalisis kisah itu berdasarkan Tafsir al-Qurtubi. Sebelum kita berpindah kepada Tafsir Ibn Kathir dan al-Suyuti, amat perlu untuk ditekankan bahawa tidak semua kitab (tafsir, feqah, tasauf dan sebagainya) boleh digunakan secara mutlak sebagai sumber hadis atau riwayat yang sahih. Selain daripada kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim, hadis atau riwayat dalam kitab selainnya hendaklah ditapis dan diteliti supaya kita tidak terlanjur menggunakan riwayat yang dhaif atau batil, apatah lagi riwayat itu kita hendak sandarkan kepada Nabi s.a.w. atau para Sahabat r.a. Ini kerana, ulama Islam (terutama yang mahir dalam bidang hadis) mendapati bahawa periwayat hadis selain daripada al-Bukhari dan Muslim agak kurang teliti dalam riwayat mereka. Ada antara mereka yang nampaknya seolah-olah membawa riwayat hanya sekadar untuk menebalkan kitab tulisan mereka sahaja dengan mengaut semua riwayat yang mereka dengar, walaupun tanpa sanad.

Apatah lagi bila sesebuah kitab itu ditulis oleh ulama yang tidak tersohor kebolehannya dalam bidang hadis seperti al-Qurtubi dalam kitab Tafsirnya, dan lebih-lebih lagi dalam kitabnya yang bernama al-Tadzkirah fi Ahwal al-Mawta wa Ahwal al-Akhirah, yang amat banyak mengandungi hadis dha`if dan mawdhu`. Dan sebuah lagi kitab yang digunakan oleh ramai umat Islam tetapi banyak mengandungi hadis dha`if dan mawdhu` ialah kitab Ihya `Ulum al-Din karangan Imam al-Ghazzali (450-505H=1058-1111M). Kita tidak katakan kitab mereka itu tidak berguna, tetapi kita katakan boleh diguna dengan syarat ‘bertapis’ dan oleh orang yang berkeahlian. Kalau tidak ‘bertapis’ dan tidak berkeahlian, kesalahan seperti Astora boleh berlaku.

Namun, ada kitab tafsir yang lebih selamat digunakan untuk mendapatkan riwayat yang sahih. Antara yang amat dicadangkan ialah Tafsir Ibn Kathir, kerana beliau merupakan seorang ulama hadis yang terkemuka dan tersohor dengan intelektualismenya dalam bidang hadis berdasarkan karya-karya hadisnya yang banyak, di samping terkenal sebagai ahli tafsir, feqah, usul feqah, sejarah dan lain-lain.

Berdasarkan kitab Tafsir Ibn Kathir, tiada satu pun riwayat seperti yang dibawa oleh Astora tentang sebab turun ayat 135 Surah Ali `Imran itu, disebutkan oleh imam tafsir itu. Ini memperkuatkan lagi bukti bahawa semua riwayat yang dibawa Astora adalah riwayat yang dhaif dan batil, dan dalam masa yang sama beliau meninggalkan (menyembunyikan) riwayat yang sahih. Demikian juga dengan kitab Tafsir al-Jalalayn dan kitab Lubab al-Nuqul fi Asbab al-Nuzul, yang langsung tidak menyebutkan riwayat-riwayat batil Astora itu sebagai sebab turun ayat 135 Surah Ali `Imran.

Setelah membawa riwayat karut untuk menggambarkan keburukan generasi Sahabat r.a., Astora menyimpulkan, “Semua itu berlaku pada zaman masyarakat mempunyai banyak jalan keluar untuk melayan kemahuan seks. Selain mudah untuk berkahwin empat orang wanita bagi lelaki yang berkemampuan, perkahwinan dengan amah atau hamba dapat dilakukan secara tidak terbatas.”

“Bayangkan masyarakat yang mempunyai jalan keluar yang begitu luas bagi masalah seks juga berlaku jenayah zina?”

Cuba perhatikan betul-betul, anda akan dapat merasakan betapa tidak hormatnya Astora terhadap Sahabat r.a. dengan sindirannya yang sungguh sinis berlandaskan riwayat-riwayat yang karut. Apakah layak Sahabat r.a. disiniskan sedemikian rupa?

Astora menambah, “Jika merujuk kepada zaman Khulafa Rasyidun di mana negara Madinah lebih besar dan lebih maju, maka jenayah dalam masyarakat sudah tentu lebih hebat lagi.”

Di sini kebebalan logik Astora jelas kelihatan. Beliau membuat satu logik yang nampaknya boleh diterima; semakin besar dan maju sesuatu negara maka semakin bertambahlah jenayahnya. Tetapi logiknya ini telah ditolaknya sendiri apabila mendakwa sebelum itu “…masyarakat Madinah tidak begitu berbeza daripada masyarakat di negara ini dan mana-mana negara Islam.” Bagaimana mungkin terjadi; setiap zaman jenayah makin meningkat dan hebat dengan bertambah besar dan majunya sesebuah negara, tetapi bila tiba zaman sekarang, tiba-tiba masyarakat Islam sekarang tidak jauh bezanya atau hampir sama dengan masyarakat Islam Madinah yang pertama dari segi jenayah yang berlaku. Ini satu kebebalan Astora yang amat jelas. Dia telah menyanggah dirinya sendiri!

Astora telah melaksanakan sepenuhnya metodologi ‘cacamerba dan Lubs al-Haq bi al-Batil’ dalam wacananya ini. Beliau telah menceduk riwayat-riwayat yang menepati nafsunya daripada kitab-kitab ulama terdahulu walaupun riwayat itu lemah dan batil, dan meninggalkan atau menyembunyikan riwayat-riwayat yang sahih lagi berautoriti. Ini semua kerja orang yang dipandu oleh syaitan. Kalau beliau jujur, paling kurang beliau membawa semua riwayat untuk dipertimbangkan, bukan mengambil riwayat yang menepati hawanya sahaja.

Jika sekira Perdana Menteri mengatakan Pas (tanpa membuktikan pembabitan Pas) telah menyebar ajaran sesat dengan mendakwa Rasulullah s.a.w presiden parti Islam pertama (walaupun ungkapan sebegitu bukanlah salah jika memahami makna ‘parti’), adakah mengatakan masyarakat Madinah di zaman Rasulullah s.a.w. tidak jauh beza dengan masyarakat hari ini (maksudnya masyarakat yang dibentuk oleh pemerintahan UMNO/BN di Malaysia) dan mengatakan keadilan yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. tidak sempurna itu, tidak sesat lagi menyesatkan??

Sebenarnya maksud tersirat yang cuba disaji oleh Astora untuk pembaca ialah, masyarakat Islam hari ini sudah cukup Islamnya dan tidak perlu kepada Islam yang lebih baik lagi dan tidak perlulah pemerintah umat Islam hari ini dikritik sebagai tidak Islamik dan tidak ikut al-Quran dan sunnah, kerana masyarakat Islam Madinah pun lebih kurang sama saja dengan kita. Walaupun Astora menamatkan rencananya itu dengan satu back-up bahawa Islam menuntut kita memerangi segala bentuk jenayah, tetapi maksud tersirat itu telah menjadi seakan tersurat dan difahami oleh semua pembaca. Back-up itu hanyalah seperti ‘gula-gula untuk kanak-kanak’. Itu semua cakap tak serupa bikin.

Yang agak pelik juga ialah Astora cuba menyembunyikan kisah-kisah yang sahih tentang keterlanjuran sebahagian Sahabat r.a. melakukan dosa besar zina (seperti Ma`iz al-Aslami, wanita al-Ghamidiyyah, al`Asif dengan isteri majikannya), qazaf (tuduhan zina tanpa saksi seperti kes `Aisyah r.a. diqazaf), mencuri (seperti kisah seorang wanita al-Makhzumiyyah yang didapati mencuri), lalu mereka yang terlibat itu bertaubat sebenar-benarnya sehingga mengaku dan menyerahkan diri untuk dihukum hudud dan mereka pun dihukum oleh Nabi s.a.w.

Kenapa Astora tutup riwayat-riwayat yang sahih ini dan menggantikan di tempatnya dengan riwayat-riwayat karut untuk menceritakan hal jenayah di zaman Nabi s.a.w? Sebabnya, riwayat-riwayat yang sahih itu mengandungi kisah keterlanjuran sebahagian Sahabat r.a. beserta kisah taubat dan kisah mereka dihukum oleh Nabi s.a.w. sebagai melaksanakan hukum al-Quran. Jadi riwayat-riwayat sahih itu tidak bagus jika ditampilkan kerana ia boleh menjadi hujah kepada pembangkang untuk mengkritik kerajaan sekarang yang tidak melaksanakan apa yang Nabi s.a.w laksanakan ke atas penjenayah. Jika riwayat-riwayat sahih itu dipakai, hasrat Astora hendak menyamakan Islam sekarang dengan Islam zaman Nabi s.a.w. tidak akan tercapai kerana jelas ada perbezaan ketara di dalam kisah-kisah riwayat sahih itu antara Islam zaman Nabi s.a.w. dan Islam Malaysia sekarang.

Sekian, wassalam `ala man ittaba`a al-huda.