Bolehkah Melaungkan Azan Untuk Selain Solat? Contoh: Mahu Musafir & Kebakaran?

Primary tabs

Azan 2

Terjemahan: zain-ys

Soalan: Kita tahu bahawa azan adalah untuk solat. Apakah boleh azan untuk selain solat seperti azan untuk bayi dan ketika ketakutan.

Jawab:

بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله، وبعد:

Asal azan hanyalah disyariatkan untuk memberitahu manusia masuknya waktu solat fardu yang lima dan solat Jumaat.

Manakala untuk solat sunat seperti solat dua hariraya dan solat minta hujan (Istisqa'), azan tidak disyariatkan dikumandangkan.

Para fuqaha' berselisih pendapat mengenai masalah mengumandangkan azan untuk selain solat.

Ada yang melarangnya dan ada yang membenarkan. Dan ulama Syafi'iyah ialah golongan yang memperluaskan keharusan azan untuk selain solat di dalam beberapa perkara.

Menurut Ensiklopedia Feqh Kuwait (الموسوعة الفقهية الكويتية):

Azan disyariatkan pada asalnya untuk memberitahu berkenaan solat. Hanya sahaja kadangkala disunnahkan azan untuk selain solat sebagai tabarruk (mengambil keberkatan), untuk menenangkan atau untuk menghilangkan dukacita. Dan mereka yang memperluaskan masalah ini ialah dari kalangan para fuqaha' al-Syafi'iyah.

Disunnahkan azan:

  • Ketika bayi baru dilahirkan
  • Pada telinga orang yang berdukacita kerana ia dapat menghilangkan kedukaannya
  • Ketika orang hendak bermusafir
  • Waktu kebakaran
  • Ketika tentera bertempur
  • Ketika diganggu syaitan
  • Ketika sesat dalam musafir
  • Ketika ketakutan
  • Sedang marah
  • Untuk manusia atau haiwan yang buruk akhlaknya atau tingkahlakunya.
  • Ketika mayat diturunkan ke kubur. Ia dikiaskan dengan azan ketika mula lahir ke dunia.

 

Dan telah diriwayatkan dalam hal ini di dalam sebahagian hadis. Antaranya ialah riwayat Abu Rafi': Saya melihat Nabi s.a.w. mengazankan di telinga al-Hasan ketika Fatimah melahirkannya.

Diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda:

"Barangsiapa yang melahirkan, lalu diazankan di telinga kanannya dan diiqamahkan di telinga kirinya, nescaya tidak akan dimudaratkan oleh Ummu Shibyan (sejenis syaitan)."

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda:

"Sesungguhnya syaitan apabila diserukan solat (azan), ia akan pergi melarikan diri...."

Ulama bermazhab Hanbali (Hanabilah) menyebutkan, di dalam masalah azan (selain untuk solat) hanyalah azan pada bayi yang baru dilahirkan sahaja.

Para ulama mazhab Hanafi telah menukilkan apa telah disebutkan oleh al-Syafi'i dan tidak menentangnya. 

Ibnu Abidin berkata: Kerana kesahihan khabar tanpa ragu lagi adalah merupakan mazhab seorang mujtahid sekalipun ia tak menashkannya.

Imam Malik memakruhkan dalam perkara ini dan menganggapnya sebagai bid'ah. Hanya sahaja, sebahagian ulama Malikiah menukilkan pendapat ulama al-Syaif'iah kemudian mereka berkata: Tidak mengapa beramal dengannya. (selesai)

[Sumber: www.onislam.net]

 


Kesimpulan:

  • Azan pada asalnya hanya untuk pemberitahuan waktu solat fardhu.
  • Untuk selain solat: 
  1. Ulama Syafi'iah: Disunnahkan dalam beberapa hal.
  2. Ulama Hanbali: Hanya untuk bayi yang baru dilahirkan.
  3. Ulama Hanafi: Sependapat dengan al-Syafi'iyah
  4. Ulama Maliki: Makruh dan menganggapnya sebagai bid'ah
  5. Sebahagian ulama Maliki: Sependapat dengan al-Syafi'iyah.
  • Ulama al-Syafi'iyah - Sunnah azan untuk berikut ini:
  1. Ketika bayi baru dilahirkan
  2. Pada telinga orang yang berdukacita kerana ia dapat menghilangkan kedukaannya
  3. Ketika orang hendak bermusafir
  4. Waktu kebakaran
  5. Ketika tentera bertempur
  6. Ketika diganggu syaitan
  7. Ketika sesat dalam musafir
  8. Ketika ketakutan
  9. Sedang marah
  10. Untuk manusia atau haiwan yang buruk akhlaknya atau tingkahlakunya.
  11. Ketika mayat diturunkan ke kubur. Ia dikiaskan dengan azan ketika mula lahir ke dunia.

 


Tambahan:

Masalah azan ketika mayat diturunkan ke kubur, sebahagian ulama al-Syafi'i menolak pendapat ini. Menurut kitab I'anah Tholibiin:

واعلم أنه لا يسن الأذان عند دخول القبر، خلافا لمن قال بنسبته قياسا لخروجه من الدنيا على دخوله فيها

Ertinya: Ketahuilah bahawa tidak disunnahkan azan ketika dimasukkan ke kubur, ini menyalahi mereka yang berpendapat bahawa penisbahannya itu dikiaskan kepada keluar manusia ke dunia (meninggal dunia) dengan lahirnya mereka ke dunia (kelahiran bayi).

Rujuk: http://shamela.ws/browse.php/book-963/page-263

Ibnu Hajar al-Haitami juga membantahnya di dalam kitab al-Fatawa al-Fiqhiyah al-Kubro:

( وَسُئِلَ ) نَفَعَ اللَّهُ بِهِ بِمَا لَفْظُهُ مَا حُكْمُ الْأَذَانِ وَالْإِقَامَةِ عِنْدَ سَدِّ فَتْحِ اللَّحْدِ ؟ ( فَأَجَابَ ) بِقَوْلِهِ هُوَ بِدْعَةٌ وَمَنْ زَعَمَ أَنَّهُ سُنَّةٌ عِنْدَ نُزُولِ الْقَبْرِ قِيَاسًا عَلَى نَدْبِهِمَا فِي الْمَوْلُودِ إلْحَاقًا لِخَاتِمَةِ الْأَمْرِ بِابْتِدَائِهِ فَلَمْ يُصِبْ وَأَيُّ جَامِعٍ بَيْنَ الْأَمْرَيْنِ وَمُجَرَّدُ أَنَّ ذَاكَ فِي الِابْتِدَاءِ وَهَذَا فِي الِانْتِهَاءِ لَا يَقْتَضِي لُحُوقَهُ بِهِ 

Rujuk: http://islamport.com/w/ftw/Web/1716/1166.htm

 

Kategori Berita: 

Artikel Berkaitan