Artikel Yang Paling Tak Masuk Akal Tentang Penindasan Di Syiria!

Primary tabs

Basyar + NasrallahPerangkap anti-Assad Amerika jerat Pemuda PAS
Oleh Amin Iskandar

Untuk terus mengukuhkan kedudukan Israel di Timur Tengah, satu persatu halangan perlu dihapuskan.

Semua negara-negara Arab sudah tunduk kepada Amerika Syarikat sekali gus kepada Israel.

Dengan ini, Amerika Syarikat dan Israel telah menguasai hampir keseluruhan minyak di Timur Tengah.

Arab Saudi telah menjadi penyumbang minyak mentah kepada Amerika Syarikat sejak lama dahulu. Begitu juga Kuwait dan Qatar.

Iraq kuasa besar Timur Tengah dirampas menggunakan perang melawan keganasan.

Walaupun kini terbukti Saddam Hussein tidak menyimpan senjata pembunuh massa seperti yang dihebohkan oleh Bush dan Blair, nasi sudah menjadi bubur.

Tinggallah Syria menjadi batu penghalang kepada cita-cita untuk menguasai Timur Tengah dan menjamin keselamatan Israel.

Bashar Al-Assad tegak berdiri melawan Amerika Syarikat dan Israel yang mahu mewujudkan New World Order.

Selain itu, Syria juga sekutu rapat kepada Iran dan payung kepada Hamas dan Hezbollah. Syria juga melindungi aktivis-aktivis kiri yang antiimperialisme Amerika-Israel.

Guling Assad seperti Gadafi
Strategi Amerika-Israel yang diguna pakai dalam berhadapan dengan Bashar A-Assad kali ini tidak berbeza dengan apa yang dilakukan terhadap Muammar Gaddafi di Libya.

Oleh kerana gagal mewujudkan kebangkitan rakyat Syria melawan Assad seperti di Mesir dan Tunisia, Amerika Syarikat-Israel menaja kumpulan pemberontak bersenjata.

Ini disahkan dengan kenyataan dua senator Republikan dari Amerika yang Malaysia baru-baru ini.

"Ini masanya untuk bertindak. Ini masanya memberikan senjata kepada pembangkang Syria bagi mempertahankan diri mereka.

"Situasi Syria tidak akan bertambah baik sehingga seluruh dunia sekurang-kuranya memberikan senjata kepada pemberontak Syria," kata Senator McCain dan Liberman pada 30 Mei lalu.

Dengan menggunakan media, persetujuan dunia diolah seperti mana dunia diyakinkan bahawa Iraq mempunyai senjata pembunuh massa pada tahun 2003 dahulu.

Media seperti CNN, Fox News dan Al-Jazeera menggambarkan Bashar Al-Assad sebagai pembunuh kejam dan mesti dihapuskan.

Kita harus bertanya, jika benar rakyat Syria bangkit melawan pemerintahan Bashar Al-Assad, mengapa tidak terjadi demonstrasi besar-besaran seperti di Tunisia dan Mesir?

Mengapa pula kebangkitan rakyat Syria dengan menggunakan senjata?

Jika tidak ada tajaan kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Israel, kumpulan pemberontak tidak akan mampu mempunyai bekalan senjata canggih.

Sunni-Syiah
Persengketaan mahzab antara Sunni-Syiah sekali lagi digunakan, seperti yang pernah Amerika dan Israel gunakan semasa perang IranIraq sekitar tahun 1980-an dahulu.

Ini menyebabkan ramai umat Islam terpengaruh, terutamanya daripada kalangan ektrimis mahzab.

Di Malaysia ada juga yang terpengaruh. Dewan Pemuda PAS mengambil garis untuk bersama-sama menjatuhkan Bashar Al-Assad.

Sama ada mereka benar-benar memahami polemik di belakang isu Syria ini atau semata-mata bencikan Assad yang dikatakan seorang Syiah, tidak pula saya ketahui.

Yang jelas, pemuda PAS bawah kepimpinan Nasrudin Hassan (kanan) terperangkap dalam isu Syria yang dijuarai oleh Amerika-Israel ini.

Baru-baru ini mereka berdemonstrasi di hapan kedutaan Syria dan meminta kerajaan Malaysia menghalau duta Syria pulang.

Sebaliknya, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu meminta rakyat Malaysia agar berhati-hati berhadapan dengan isu Syria ini.

"Negara-negara Islam yang menyokong kempen menjatuhkan Bashar Al-Assad seperti Qatar dan Arab Saudi sendiri negara yang tidak mengamalkan demokrasi.

"Oleh itu, bila berhadapan dengan isu Syria ini, umat Islam di Malaysia perlu berhati-hati agar tidak terperangkap sehingga menjalankan kerja-kerja yang dimahukan oleh Amerika dan Israel," kata Mohamad yang mesra dengan panggilan Mat Sabu.

Sebab utama Amerika Syarikat 'melanggar' Syria
Tulisan Prof Michel Chossudovsky yang bertajuk Confronting Iran, Protecting Israel: The Real Reason for America's War on Syria dengan jelas menghuraikan tentang niat utama Amerika dan Israel melanggar Syria.

Jatuhnya Bashar Al-Assad akan mengukuhkan pengaruh Israel di Timur Tengah.

Syria sekutu rapat Iran di Timur Tengah. Apabila Syria dapat dikuasai, dengan mudah Hamas dan Hezbollah dihapuskan sekali gus melemahkan Iran.

Isu tentang kononnya masyarakat antarabangsa prihatin dengan nasib rakyat Syria yang terbunuh dalam konflik antara pemerintahan Bashar Al-Assad dan kumpulan pemberontak tidak timbul sama sekali.

Yang paling penting bagaimana untuk "memotong" akses Iran ke Timur Tengah.

Jika kempen menjatuhkan Bashar Al-Assad berjaya, boneka baru akan dinaikkan dan selepas itu Iran akan diserang.

Jika Amerika-Israel menyerang Iran tanpa menjatuhkan Bashar Al-Assad, Syria akan menjadi tempat kepada pergerakan Hamas dan Hezbollah untuk berlindung.

Israel akan diserang dari pelbagai sisi. Sebab itu Iran tidak akan diserang oleh Amerika Syarikat selagi Assad memimpin Syria.

Konflik Timur Tengah mempengaruhi Malaysia secara langsung. Sebagai negara yang bergantung kepada import minyak dari Timur Tengah, sebarang peperangan yang berlaku akan menjejaskan ekonomi negara akibat dari kenaikan harga minyak.

Jika tidak arif dengan politik antarabangsa, banyak-banyakanlah membaca. Dengan adanya Internet, kita sudah boleh mengakses kepada gedung ilmu yang luas.

Jangan kerana terlalu ekstrim dengan mahzab Sunnah Wal Jamaah, kita terpengaruh dengan agenda Amerika Syarikat-Israel untuk mewujudkan new world order.

Inilah Dajjal sebenar yang bakal muncul tidak lama lagi. [malaysiakini.com]


AMIN ISKANDAR menerima anugerah zamalah Intelektual Awam Asia (API) 2009-10 untuk menjalankan kajian tentang sejarah pemantauan pilihan raya di Filipina dan Indonesia. Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Kategori Berita: 

Artikel Berkaitan